Terapi kognitif dan tingkah laku berasaskan internet untuk gangguan tekanan pasca trauma (PTSD)

Mengapa ulasan ini penting?

Gangguan tekanan pasca trauma, atau PTSD, ialah penyakit mental yang lazim berlaku selepas sesuatu trauma yang serius. Gejalanya termasuklah mengalami semula trauma seperti mimpi buruk, imbasan kembali, dan gangguan perasaan yang menyedihkan; mengelak peringatan kejadian traumatik; mengalami perubahan negatif pada fikiran dan mood; dan hyperarousal, termasuklah rasa gelisah, mudah terkejut, rasa marah, sukar tidur, dan masalah menumpukan perhatian. PSTD boleh dirawat dengan berkesan melalui terapi bercakap yang memfokuskan trauma. Beberapa terapi yang paling berkesan adalah yang berasaskan terapi kognitif tingkah laku(CBT). Malangnya, terdapat sedikit ahli terapi berkelayakan yang dapat memberikan terapi ini. Terdapat juga faktor-faktor lain yang menghadkan akses rawatan, seperti keperluan mengambil cuti dari kerja untuk menghadiri temujanji, dan isu pengangkutan.

Satu alternatif adalah terapi psikologi disampaikan melalui internet, dengan atau tanpa bimbingan ahli terapi. Terapi kognitif dan tingkah laku berasaskan internet (I-C/BT) telah mendapat perhatian yang meluas dan kini diguna secara rutin untuk merawat kemurungan dan keresahan. Terdapat sedikit kajian I-C/ BT untuk PTSD, namun penyelidikan berkembang dan terdapat bukti yang semakin meningkat tentang keberkesanannya.

Siapakah yang akan berminat dalam ulasan ini?

– Orang yang mempunyai PTSD dan keluarga dan rakan mereka.

– Profesional yang bekerja dalam perkhidmatan kesihatan mental.

– Pengamal perubatan umum.

– Pesuruhajaya.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Dalam kalangan dewasa dengan PTSD, kami cuba mengetahui sama ada I-C/BT:

– lebih berkesan berbanding tiada terapi (senarai menunggu);

– sama berkesan seperti terapi psikologi yang diberi oleh ahli terapi;

– lebih berkesan daripada terapi psikologi lain yang disampaikan melalui atas talian; atau

– lebih berkesan daripada pendidikan tentang keadaan yang disampaikan atas talian, dalam mengurangkan gejala PTSD, dan memperbaiki kualiti hidup; atau

– kos efektif, berbanding terapi bersemuka?

Manakah kajian yang termasuk dalam ulasan?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang menilai I-C/BT untuk dewasa dengan PSTD, yang diterbitkan antara 1970 dan 5 Jun 2020.

Kami memasukkan 13 kajian dengan 808 peserta.

Apa yang diberitahu oleh bukti dari ulasan tersebut?

– Analisis melibatkan 10 kajian mendapati bahawa I-C/BT adalah lebih berkesan daripada tiada terapi (senarai menunggu), untuk mengurangkan PTSD. Namun, kepastian bukti adalah sangat rendah, yang bermaksud kami sangat kurang yakin dengan penemuan ini.

– Analisis melibatkan dua kajian mendapati tiada perbezaan antara I-C/BT dan terapi psikologi jenis lain yang disampaikan atas talian. Namun, kepastian bukti adalah sangat rendah, yang bermaksud kami sangat kurang yakin dengan penemuan ini.

– Satu kajian mendapati bahawa sesi bersemuka bukan CBT adalah lebih berkesan daripada I-C/BT. Namun, tahap awal gejala PTSD adalah tidak dikawal dan kepastian bukti ini adalah sangat rendah, yang mengehadkan keyakinan kami terhadap penemuan ini.

– Kami mendapati tidak ada kajian yang menggunakan ukuran penerimaan yang piawai atau disahkan untuk memberitahu kami sama ada orang yang menerima I-C/BT merasakan itu adalah rawatan yang boleh diterima.

– Kami tidak menemui kajian yang melaporkan keberkesanan kos I-C/BT.

Apa yang patut berlaku selepas ini?

Pangkalan bukti semasa berkembang tetapi masih kecil. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada I-C/BT patut digunakan sebagai rawatan rutin PTSD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information