Kesan penambahan makanan dengan pelbagai mikronutrien pada kesihatan

Soalan ulasan
Adakah penambahan pelbagai mikronutrien menambahbaik kesihatan?

Latar belakang
Vitamin dan mineral penting untuk pertumbuhan dan fungsi badan. Kekurangan mikronutrien adalah umum di banyak populasi, dan tambahan makanan adalah salah satu intervensi untuk mengurangkan beban kekurangan mikronutrien dan menambahbaik kesihatan pada populasi umum. Memperkayakan makanan melibatkan menambah mikronutrien kepada makanan yang diproses. Terdapat kajian dengan penambahan satu mikronutrien, penambahan dua mikronutrien dan penambahan pelbagai mikronutrien, termasuk zink, besi, selenium, vitamin A, vitamin B kompleks, vitamin C dan vitamin E. Kami mengkaji bukti kesan penambahan makanan dengan pelbagai mikronutrien (MMNs) berkenaan kesihatan dalam populasi umum.

Ciri-ciri kajian
Kami melibatkan 43 kajian (48 kertas) dalam 19,585 peserta (17,878 kanak-kanak) dalam ulasan ini. Bukti adalah terkini hingga Ogos 2018. Kebanyakan kajian terlibat menilai kesan penambahan makanan dengan MMN berbanding dengan plasebo atau tiada intervensi; dua kajian membandingkan penambahan makanan dengan MMN dengan garam iodisasi dan satu kajian membandingkan penambahan makanan dengan MMN dengan penambahan makanan dengan kalsium sahaja. Kebanyakan kajian (36 daripada 43) mensasarkan kanak-kanak. Dua puluh kajian telah dijalankan di negara-negara yang sedang membangun. Makanan yang diperkayakan termasuk makanan ruji, seperti beras dan tepung; produk tenusu, termasuk susu dan yogurt; minuman bukan tenusu; biskut; sapuan; dan garam. Sebahagian besar kajian telah dibiayai oleh sumber komersial (seperti pengilang mikronutrien), yang boleh dikaitkan dengan mencari lebih banyak kesan yang bermanfaat daripada kajian yang dibiayai secara bebas.

Hasil-hasil utama
Penambahan makanan dengan MMN boleh mengurangkan anemia sebanyak 32%, kekurangan zat besi sebanyak 72%, kekurangan mikronutrien (termasuk kekurangan zat besi sebanyak 56%, kekurangan vitamin A sebanyak 58%, kekurangan vitamin B2 sebanyak 64%, kekurangan vitamin B6 sebanyak 91% dan kekurangan vitamin B12 sebanyak 58%). Penambahan MMN juga boleh meningkatkan pertumbuhan kanak-kanak dengan mengukur berat badan untuk umur dan berat badan untuk ketinggian / panjang. Kami tidak pasti kesan penambahan MMN terhadap kekurangan zink dan pertumbuhan kanak-kanak yang diukur sebagai ketinggian / panjang untuk umur. Kajian yang disertakan tidak melaporkan sebarang kesan sampingan yang berkaitan dengan penambahan MMN, termasuk kematian dan penyakit. Kami tidak pasti kesan penambahan makanan dengan MMN berbanding garam iodium untuk anemia kekurangan zat besi dan kekurangan vitamin A.

Kualiti bukti kajian
Kualiti bukti adalah rendah hingga sangat rendah, kerana batasan dalam kaedah kajian yang dapat memperkenalkan risiko berat sebelah, heterogeniti tinggi (variasi dalam hasil dari kajian ke kajian), dan saiz sampel yang kecil.

Walaupun ulasan menunjukkan beberapa kesan positif dari penambahan MMN berbanding dengan tiada intervensi, beberapa faktor lain juga perlu dipertimbangkan. Pertama sekali, tidak ada maklumat mengenai kemungkinan kesan sampingan MMN. Kedua, kita tidak boleh melakukan pelbagai analisis subkelompok untuk mengenal pasti sama ada penambahan MMN lebih berkesan dalam kumpulan penduduk yang berlainan, penyampai makanan, dos, tempoh intervensi dan wilayah geografi, kerana bilangan kajian yang terhad dalam setiap subkumpulan. Kami melakukan analisis subkumpulan untuk membandingkan kajian yang dibiayai oleh komersial dan bukan komersil dan tidak mendapati perbezaan yang ketara antara hasilnya, walaupun kami tetap berhati-hati terhadap penemuan ini. Keputusan kami tidak dapat dipastikan, kerana kualiti bukti yang rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information