Kontrasepsi - kaedah atau peranti yang diguna untuk mencegah kehamilan - mempunyai manfaat signifikan untuk kesihatan wanita dan kanak-kanak. Walaupun ia bermanfaat, dianggarkan 225 juta wanita di negara membangun tidak menggunakan kaedah kontraseptif moden pada 2014 walaupun ingin mengelak kehamilan. Penggunaan telefon bimbit yang meluas dalam tahun-tahun kebelakangan ini meningkatkan minat dalam penyampaian penjagaan kesihatan melalui telefon bimbit dan potensi menyampaikan sokongan di mana seseorang berada, bila-bila ia diperlukan, dan boleh sampai kepada populasi dengan akses perkhidmatan yang terhad. Intervensi berasaskan telefon bimbit telah menunjukkan ia berkesan dalam bidang kesihatan lain, tetapi masih belum dalam bidang kontrasepsi.
Pada 2014, kami menjalankan carian komputer untuk kajian rawak yang menilai intervensi berasaskan telefon bimbit untuk meningkatkan penggunaan kontrasepsi. Kami menemui lima kajian. Tiga kajian menggunakan pesanan teks untuk menyokong wanita terus menggunakan kaedah kontrasepsi yang tertentu. Dua kajian bertujuan meningkatkan pengambilan dan penggunaan berterusan kontrasepsi - satu dengan pesanan suara dan satu lagi dengan pesanan teks. Ulasan kami menyediakan bukti terhad intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit memperbaiki penggunaan kontrasepsi. Satu kajian di AS melaporkan wanita lebih cenderung untuk mengambil pil kontraseptif dari intervensi yang terdiri daripada pelbagai pesanan teks pendidikan. Satu kajian di Kemboja melaporkan peningkatan penggunaan kontrasepsi empat bulan selepas keguguran dari intervensi yang terdiri daripada pesanan suara dan sokongan kaunselor telefon. Kajian lain di AS melaporkan peningkatan kehadiran untuk temu janji pertama suntikan kontraseptif tetapi tidak untuk temu janji seterusnya dari intervensi yang terdiri daripada pesanan teks peringatan dan pengurusan kendiri yang sihat. Peringatan pil kontraseptif melalui pesanan teks ringkas tidak mengurangkan pil yang tertinggal dalam satu kajian kecil di AS. Tiada perbezaan dalam penggunaan kontrasepsi dilaporkan dalam kalangan pengguna isotretinoin (ubat yang diguna untuk jerawat) dari intervensi yang memnyediakan maklumat kesihatan melalui pesanan teks dan surat.
Kesimpulannya, bukti menunjukkan pesanan suara bersiri dan sokongan kaunselor dapat memperbaiki kontrasepsi dalam kalangan wanita yang mencari perkhidmatan pengguguran yang tidak mahu hamil lagi pada waktu semasa, dan data menunjukkan bahawa pesanan teks pendidikan harian boleh memperbaiki penggunaan pil kontraseptif berterusan. Walau bagaimanapun, nilai kos dan keberkesanan jangka panjang intervensi masih tidak diketahui. Lebih kajian berkualiti baik diperlukan untuk membuktikan keberkesanan intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit bagi meningkatkan penggunaan kontrasepsi.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disuntinig oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my