Latar belakang
Hipertensi portal ditakrifkan sebagai peningkatan tekanan darah dalam satu sistem vena (sejenis saluran darah) yang dipanggil sistem vena portal, yang mengalirkan darah dari saluran gastrousus (perut) dan limpa ke dalam hati. Hipertensi portal biasanya beserta dengan penyakit hati teruk dan sering menimbulkan komplikasi yang mengancam nyawa, termasuk perdarahan dari esofagus (kerongkong) dan varises gastrousus (vena yang membesar atau bengkak).
Berikutan pelbagai kajian klinikal rawak (kajian di mana peserta dibahagikan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang menunjukkan keberkesanan ubat-ubatan yang dipanggil penyekat-beta tidak selektif dan pengikatan variseal endoskopik (yang mana salur darah yang membesar akan diikat atau diligat oleh gegelang getah) untuk mengurangkan kejadian perdarahan variseal, rawatan untuk mencegah perdarahan variseal dalam kalangan dewasa (dipanggil profilaksis primer) telah menjadi standard penjagaan yang mantap.
Ciri-ciri kajian
Pengulas menjalankan tinjauan sistematik mengenai kajian klinikal rawak untuk menilai manfaat dan kemudaratan pengikatan gegelang berbanding penyekat-beta untuk mencegah perdarahan variseal esofagus dalam kalangan kanak-kanak dengan penyakit hati kronik atau trombosis vena portal (vena portal yang tersumbat atau menyempit (saluran darah yang membawa darah ke hati daripada usus) oleh darah beku). Pengulas telah mencari kajian-kajian sehingga 26 Disember 2018.
Keputusan utama
Pengulas tidak menemui kajian klinikal rawak untuk dimasukkan ke dalam tinjauan sistematik ini. Oleh itu, pengulas kekurangan keputusan dari kajian klinikal rawak untuk menyimpulkan jika pengikatan gegelang berbanding penyekat-beta mungkin bermanfaat atau tidak dalam kalangan kanak-kanak dengan varises esofagus. Terdapat keperluan untuk kajian yang direka dengan baik harus merangkumi hasil klinikal yang penting seperti kematian, kegagalan untuk mengawal perdarahan, dan kesan sampingan.
Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my