Apakah faktor yang mempengaruhi pelaksanaan strategi penggantian doktor-jururawat dalam penjagaan primer?

Apakah tujuan ulasan ini?

Dalam Ulasan Cochrane berkenaan kajian kualitatif ini ('sintesis bukti kualitatif'), pengulas telah meneroka pandangan dan pengalaman individu berkenaan pemindahan tugas daripada doktor kepada jururawat dalam penjagaan kesihatan primer. Pengulas mengumpul kajian yang berkaitan dengan topik ini dan memasukkan 66 kajian (69 penerbitan).

Sintesis ini berhubungan dengan satu Ulasan Cochrane lain yang menilai keberkesanan pemindahan tugas daripada doktor kepada jururawat dalam penjagaan primer.

Mesej-mesej utama

Pesakit, doktor dan jururawat mungkin dapat menerima penggunaan jururawat untuk memberikan perkhidmatan yang biasanya diberikan oleh doktor. Tetapi hal ini mungkin bergantung kepada jenis perkhidmatan. Jururawat yang memikul tugas tambahan mahukan penghormatan dan kerjasama daripada doktor; sumber yang berpatutan; sistem rujukan yang baik; pemimpin yang berpengalaman; peranan yang jelas; dan insentif, latihan dan penyeliaan yang mencukupi. Walau bagaimanapun, keperluan-keperluan ini tidak selalunya dipenuhi.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Ramai orang tidak mendapat penjagaan kesihatan yang diperlukan disebabkan kekurangan pekerja penjagaan kesihatan di tempat mereka tinggal. Kerajaan di seluruh dunia sedang cuba mengambil langkah penyelesaian yang berbeza untuk menangani masalah ini. Satu langkah penyelesaian yang mungkin adalah dengan memindahkan tugas daripada pekerja kesihatan yang lebih khusus kepada yang kurang khusus, contohnya dengan memindahkan tugas-tugas tertentu daripada doktor kepada jururawat.

Dalam ulasan ini, pengulas melihat kepada kajian yang meneroka bagaimana pesakit, jururawat, doktor dan pihak lain memandang dan menerima langkah-langkah penyelesaian ini, dan apa yang boleh mempengaruhi kejayaan langkah ini.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Pengulas memasukkan 66 kajian (69 penerbitan) dalam ulasan mereka, 11 dari negara berpendapatan rendah atau sederhana dan 55 dari negara berpendapatan tinggi. Kajian-kajian ini mendapati sebilangan faktor yang mempengaruhi pelaksanaan strategi penggantian doktor-jururawat. Faktor-faktor berikut adalah berdasarkan penemuan yang pengulas nilai sebagai berkeyakinan sederhana atau tinggi:

Pesakit dalam banyak kajian kurang mengetahui peranan jururawat dan perbezaan antara penjagaan yang diterajui oleh jururawat dengan yang diterajui oleh doktor. Mereka juga mempunyai pandangan yang bercampur-campur mengenai jenis tugas yang harus dilaksanakan oleh jururawat. Mereka memilih doktor untuk tugas-tugas 'perubatan' tetapi menerima jururawat untuk jagaan pencegahan dan rawatan susulan. Doktor dalam kebanyakan kajian juga memilih sekiranya jururawat hanya menjalankan tugas 'bukan perubatan' sahaja. Jururawat merasa selesa dengan pelbagai tugas, dan percaya mereka adalah kompeten untuk menyampaikannya, tetapi secara khusus menekankan kepada tugas yang lebih bersifat promosi / pencegahan.

Pesakit dalam kebanyakan kajian berpendapat bahawa jururawat lebih mudah diakses berbanding dengan doktor. Doktor dan jururawat juga melihat penggantian dan kerjasama jururawat-doktor sebagai satu cara bagi meningkatkan akses orang ramai kepada penjagaan, serta meningkatkan kualiti dan kesinambungan penjagaan.

Jururawat berpendapat bahawa hubungan rapat doktor-jururawat serta kepercayaan dan penerimaan yang diberikan oleh doktor terhadap jururawat adalah penting untuk membentuk peranan mereka. Tetapi jururawat yang bekerja secara berseorangan kadang-kala didapati sukar untuk berkomunikasi dengan doktor.

Jururawat merasakan mereka mendapat kemahiran baharu apabila mengambil tugas-tugas baharu. Tetapi jururawat memahukan latihan yang lebih banyak dan lebih baik. Mereka berpendapat ini akan meningkatkan kemahiran, kepuasan kerja dan motivasi mereka, dan akan menjadikan mereka lebih berdikari.

Jururawat yang mengambil tugas doktor melihat ini sebagai peluang untuk maju secara peribadi, untuk mendapatkan lebih penghormatan dan meningkatkan kualiti penjagaan yang boleh mereka tawarkan kepada pesakit. Suasana kerja yang lebih baik dan insentif kewangan juga memotivasikan jururawat untuk mengambil tugas baharu. Doktor menghargai kerjasama dengan jururawat apabila ini mengurangkan beban kerja mereka sendiri.

Doktor dan jururawat menunjukkan pentingnya mempunyai akses kepada sumber, seperti kakitangan, peralatan dan bekalan yang mencukupi; sistem rujukan yang baik; pemimpin yang berpengalaman; peranan yang jelas; serta latihan dan penyeliaan yang mencukupi. Tetapi mereka sering menghadapi masalah dengan isu-isu ini. Mereka juga menunjuk kepada sejumlah besar dokumen yang perlu dilengkapkan apabila tugas-tugas dipindahkan daripada doktor kepada jururawat.

Setakat manakah ulasan ini dikemaskinikan?

Pengulas mencari kajian yang diterbitkan sebelum 28 Jun 2018.

Nota terjemahan: 

iterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my)

Tools
Information