Rawatan utama kanser paru-paru yang teruk bukan sel kecil yang dikenal pasti mutasi positif EGFR

Latar belakang

Kanser paru-paru adalah kanser yang paling lazim di dunia. Ia sering telah merebak apabila dikesan. Oleh itu, pembedahan adalah tidak mungkin, dan rawatan ubat, biasanya kemoterapi, diperlukan. Jenis kanser paru-paru yang lazim adalah kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC). Sekitar 10% hingga 15% orang dengan NSCLC akan mempunyai sejenis kanser yang dikenali sebagai reseptor faktor pertumbuhan epidermis positif (EGFR M+) di mana terdapat perubahan sel kanser dalam gen yang mengawal pertumbuhan tumor wujud pada sel-sel kanser. Di dalam ulasan ini, kami melihat kepada rawatan baharu yang boleh menyasarkan NSCLC EGFR M+ untuk mengetahui sebaik mana rawatan tersebut berkesan.

Objektif

Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada orang yang diberi rawatan yang menyasarkan NSCLC EGFR M+ hidup lebih lama dan mempunyai kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan lebih baik daripada mereka yang diberi kemoterapi piawai.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 22 percubaan yang melihat lima ubat yang disasarkan EGFR yang berbeza dan membandingkannya dengan rawatan kemoterapi standard: erlotinib, gefitinib, afatinib, icotinib dan antibodi cetuximab. Kami memasukkan kajian yang melaporkan keputusan sehingga 27 Julai 2020.

Hasil kajian

Keputusan kami menunjukkan orang yang diberi erlotinib, gefitinib, afatinib atau icotinib mempunyai masa yang lebih lama sebelum kanser berkembang dan mengalami kurang kesan sampingan berbanding mereka yang diberi kemoterapi piawai. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat memastikan sama ada orang yang diberi erlotinib, afatinib atau icotinib hidup lebih lama berbanding mereka yang menerima kemoterapi piawai.

Kesimpulan

Erlotinib, gefitinib, afatinib dan icotinib melambatkan penyebaran kanser paru-paru EGFR M+ dan meningkatkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. Memberi cetuximab bersama dengan kemoterapi tidaklah lebih baik untuk mengawal kanser jenis ini ataupun memanjangkan hayat berbanding kemoterapi sahaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information