Program pendidikan berasaskan sekolah bagi pencegahan kecederaan yang tidak disengajakan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda

Mengenai soalan ulasan

Kami melihat bukti tentang kesan program di sekolah yang bertujuan untuk mencegah kecederaan tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda. Mencegah kecederaan dalam kalangan kanak-kanak adalah penting kerana kecederaan adalah lazim dalam kumpulan usia ini dan kesan kepada kanak-kanak dan keluarga boleh menjadi teruk dan berpanjangan. Sekolah berpotensi menjadi persekitaran yang baik untuk menyediakan program pendidikan yang bertujuan mencegah kecederaan tersebut. Walau bagaimanapun, belum dinilai secara terperinci sama ada ia berfungsi atau tidak. Kami menemui 27 kajian untuk membantu menangani persoalan ini.

Latar belakang

Kami ingin mengetahui sama ada mengajar kanak-kanak tentang pencegahan kecederaan di sekolah akan mengurangkan kecederaan, memperbaiki pengetahuan tentang pencegahan kecederaan, dan memperbaiki tingkah laku berkaitan dengan keselamatan. Kami juga ingin menilai sama pendekatan ini berbaloi dengan harga.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2015. Ini merangkumi keputusan dari 27 kajian dengan 73,557 kanak-kanak. Ia memasukkan kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat hingga 18 tahun. Kajian-kajian membandingkan pendidikan pencegahan kecederaan dengan kurikulum biasa atau program alternatif yang tidak berkait dengan kecederaan. Kajian-kajian yang kami sertakan bertujuan untuk mencegah pelbagai kecederaan. Kami mengecualikan program yang memfokuskan hanya satu penyebab kecederaan. Ulasan ini mengukur kesan program pendidikan terhadap kecederaan dalam kalangan kanak-kanak, kemahiran keselamatan, tingkah laku dan pengetahuan mereka. Ulasan ini juga melihat sama ada pendekatan berasaskan sekolah berbaloi dengan harga.

Keputusan utama

Hanya beberapa kajian melaporkan kesan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak dan kesan-kesan ini tidak muktamad. Ini tidak bermaksud program berasaskan sekolah tidak berkesan tetapi lebih banyak bukti diperlukan. Ulasan itu menemui bukti program pendidikan pencegahan kecederaan berdasarkan sekolah boleh memperbaiki kemahiran keselamatan, tingkah laku keselamatan dan pengetahuan keselamatan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, bukti adalah tidak konsisten, beberapa kajian menunjukkan kesan positif dan yang lain tidak menunjukkan kesan. Hanya satu kajian melaporkan keberkesan kos program berasaskan sekolah dan sekali lagi sukar untuk membuat kesimpulan dari bukti ini sahaja.

Kualiti bukti

Secara am, kajian-kajian berkualiti rendah untuk semua ukuran keberkesanan program terutamanya untuk tingkah laku dan pengetahuan. Ini adalah kerana maklumat tentang perlaksanaan kajian tidak dilapor dengan jelas dalam laporan kajian atau terdapat kelemahan besar dalam cara kajian tersebut dibuat. Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Wing (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Dikemaskini oleh Nila Pillai. (Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save