Cara-cara untuk menggalakkan pekerja memakai peralatan perlindungan untuk menghalang mereka menyedut bahan-bahan yang membahayakan kesihatan

Ruang udara di kebanyakan tempat kerja mempunyai bahan yang boleh memudaratkan kesihatan. Ini termasuklah pelbagai jenis bakteria, virus, gas, asap dan debu serta partikel seperti asbestos atau bijirin. Akibat kesihatan mungkin berbeza bergantung kepada apa dan berapa banyak bahan yang disedut. Risiko kesihatan kadang kala ringan, namun ada yang boleh mengancam nyawa. Kesannya meliputi kesan yang ringan seperti perasaan kerengsaan sehingga kepada penyakit jangka pendek dan jangka panjang termasuklah kanser. Dalam banyak situasi kerja, peralatan perlindungan pernafasan (RPE) digunakan untuk mengelakkan pekerja daripada menyedut bahan yang berbahaya. Pelbagai cara telah diperkenalkan untuk mengajar pekerja tentang cara untuk menggunakan RPE secara berkesan. Walaubagaimanapun, masih tidak jelas keberkesanannya. Oleh itu, kami ingin mengetahui jika terdapat intervensi atau strategi yang boleh digunakan dalam menggalakkan pekerja menggunakan RPE dengan betul dan lebih kerap.

Kajian yang ditemui
Kami telah mencari hasil penyelidikan terkini yang relevan sehingga 20 November 2016. Kami mendapati 14 kajian yang menilai keberkesanan intervensi tingkah laku dalam menggalakkan penggunaan RPE. Kami juga menjumpai satu kajian yang masih berjalan. Kajian-kajian ini telah dijalankan di 2052 ladang, pusat penjagaan kesihatan, kilang pengeluaran, pekerja pejabat dan ketuhar kok (coke oven), pelajar kejururawatan serta mereka yang mempunyai pelbagai pekerjaan. Kami tidak menjumpai sebarang kajian yang menilai sesuatu intervensi yang melibatkan seluruh peringkat organisasi.

Apakah hasil penyelidikan
Semua kajian yang terlibat membuat perbandingan keberkesanan pelbagai cara pendidikan dan latihan intervensi dalam menggalakkan pekerja menggunakan RPE dengan betul serta dengan lebih kerap. Kami mendapati bukti yang berkualiti rendah bahawa intervensi tingkah laku seperti pendidikan dan latihan tidak menambahkan jumlah pekerja yang menggunakan RPE atau menggunakan RPE secara betul.

Apakah kesimpulannya
Berdasarkan bukti yang berkualiti rendah hingga sangat rendah, kami telah menyimpulkan bahawa intervensi tingkah laku tidak mampu untuk menggalakkan pekerja menggunakan RPE dengan betul atau dengan lebih kerap. Kesimpulan kami mungkin akan berubah apabila kajian-kajian baru diterbitkan. Kami memerlukan kajian yang lebih berkualiti dalam membandingkan keberkesanan pelbagai jenis intervensi dalam menangani masalah ini. Intervensi yang ingin dijalankan perlulah mensasarkan kedua-dua individu dan organisasi dalam memperbaiki penggunaan RPE dengan lebih berkesan. Disamping itu, kajian lanjut perlu mengambil kira halangan-halangan kepada penggunaan RPE, seperti pengalaman dalam menghadapi risiko kesihatan, jenis RPE yang berbeza dan sikap majikan terhadap penggunaan RPE.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia ). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi Cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information