Menggunakan sampel yang diperolehi melalui bronkoskopi bagi menentukan pilihan rawatan jangkitan kuman paru-paru dikalangan pengidap cystic fibrosis

Mesej-mesej utama

Kami menemui bukti daripada dua kajian kecil yang hanya menyertakan kanak-kanak.

Kami tidak tahu cara yang terbaik untuk mendapatkan sampel yang akan menjadi panduan pemilihan antibiotik bagi rawatan jangkitan paru-paru .

Apakah latar belakang ulasan?

CF adalah keadaan genetik yang menyebabkan kerosakan pada paru-paru, sistem pencernaan dan organ yang lain . Masalah pernafasan dikalangan pengidap cystic fibrosis selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman di paru-paru yang berulang. Membiakkan kuman daripada sampel kahak yang keluar apabila batuk daripada saluran pernafasan dalam membolehkan para doktor mengenalpasti dengan cepat kuman yang menyebabkan jangkitan paru-paru tersebut dan rawatan dapat diberikan lebih awal. Jika pesakit tidak boleh mengeluarkan kahak dengan batuk, sampel lendir akan diambil daripada bahagian atas tekak untuk mengenalpasti kuman yang menyebabkan jangkitan di bahagian bawah saluran pernafasan, tetapi kaedah ini bukan yang paling boleh dipercayai.

Semasa bronkoskopi, doktor memeriksa saluran pernafasan bawah/dalam menggunakan tiub yang nipis, panjang dan fleksibel yang mempunyai lampu dan kamera di bahagian hujung; mereka juga boleh mengambil mukus menggunakan alat ini. Pesakit perlu diberi ubat untuk tenang atau dibius sepenuhnya. Kami tidak tahu sama ada rawatan berdasarkan sampel yang diambil semasa bronkoskopi lebih baik daripada rawatan berdasarkan sapuan daripada tekak.

Ulasan ini mengemas kini ulasan pertama yang diterbitkan pada tahun 2013.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada perlu menggunakan sampel yang diperoleh melalui bronkoskopi apabila menentukan rawatan jangkitan paru-paru dikalangan penghidap cystic fibrosis (CF).

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang melibatkan semua individu dengan CF tanpa batasan umur. Kami membuat ringkasan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti yang dijumpai berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menyertakan dua kajian dalam ulasan ini, yang melibatkan 186 kanak-kanak. Satu kajian memasukkan 170 bayi di bawah umur enam bulan yang didiagnosis dengan CF dan memantau mereka sehingga usia lima tahun. Kajian kedua menyertakan 30 kanak-kanak dengan CF berumur antara lima dan 18 tahun dan memantau mereka selama dua tahun. Dalam kedua-dua kajian, para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan sepenuhnya secara rawak, dengan satu kumpulan diberikan antibiotik berdasarkan sampel yang diambil melalui bronkoskopi dan kumpulan yang lain diberi antibiotik berdasarkan sampel yang diambil dari kerongkong. Dalam kajian yang lebih besar, kanak-kanak akan menjalani bronkoskopi apabila mereka menunjukkan ciri gejala dada yang semakin teruk, manakala kanak-kanak dalam kajian yang lebih kecil akan menjalani bronkoskopi apabila mereka menunjukkan peningkatan dalam Indeks Pembersihan Paru-paru, yang merupakan penanda awal penyakit paru-paru yang mengukur seberapa baik pergerakan udara di dalam paru-paru.

Keputusan utama

Tiada kajian menunjukkan sebarang perbezaan antara kumpulan dari segi fungsi paru-paru , berat badan, indeks jisim badan atau dalam skor yang dikira dengan imbasan tomografi (CT) paru-paru apabila diukur pada sama ada dua atau lima tahun. Kajian yang lebih panjang juga menunjukkan tiada perbezaan pada bilangan kanak-kanak dalam setiap kumpulan yang mempunyai jangkitan Pseudomonas aeruginosa pada usia lima tahun, atau setiap tahun susulan, atau kekerapan kanak-kanak ini kurang sihat disebabkan oleh masalah paru-paru. Dalam kajian yang panjang ini, kanak-kanak dalam kumpulan bronkoskopi dimasukkan ke hospital lebih kerap, walaubagaimanapun kemasukan mereka biasanya lebih pendek daripada kumpulan perbandingan. Tiada perbezaan diantara kumpulan dalam kos keseluruhan penjagaan dan skor kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.

Kesan-kesan sampingan yang dilaporkan semasa, dan selepas bronkoskopi adalah tidak serius; kesan sampingan paling lazim ialah peningkatan simptom batuk (satu pertiga daripada jumlah peserta).

Pada masa ini tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong pengunaan bronkoskopi secara tetap untuk mendiagnosis dan merawat jangkitan paru-paru dikalangan kanak-kanak yang mempunyai CF.

Apakah batasan bukti?

Bukti terhad kepada dua kajian sahaja. Walaupun kajian ini direka dengan baik, kami tidak dapat menggabungkan keputusan mereka kerana mereka menggunakan kaedah pengukuran berbeza . Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap kebolehpercayaan bukti untuk kebanyakan hasil, dan keyakinan sederhana dalam keputusan untuk dua hasil (pemarkahan tomografi berkomputer resolusi tinggi dan analisis kos penjagaan). Kami tidak pasti terhadap keputusan kajian tersebut kerana jumlah kanak-kanak disertakan adalah kecil. Selain itu, kajian hanya menyertakan kanak-kanak kecil, jadi kami tidak tahu sama ada keputusannya akan sama pada individu dewasa dengan CF. Oleh kerana rawatan jangkitan paru-paru pertama disebabkan oleh Pseudomonas aeruginosa sangat berjaya, kajian yang lebih besar dan lama diperlukan untuk mengesan perbezaan-perbezaan kecil antara kedua-dua kumpulan tersebut. Menjalankan kajian besar sedemikian adalah amat sukar dan langkah-langkah yang lebih teliti harus digunakan.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Kali terakhir carian bukti adalah pada bulan Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information