Akupunktur untuk sindrom ovari polisistik

Soalan ulasan

Apakah keberkesanan dan keselamatan rawatan akupunktur untuk gangguan ovulasi dalam kalangan wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS)?

Latar belakang

PCOS ialah keadaan di mana wanita mempunyai beberapa sista di ovari (pundi berisi cecair) di dalam ovari (organ yang menghasilkan telur) dan dicirikan oleh tanda-tanda klinikal haid yang jarang-jarang sekali atau haid yang sangat sedikit (tempoh), kegagalan untuk hamil (mengandung) dan pertumbuhan rambut yang berlebihan. Wanita mungkin atau mungkin tidak menunjukkan simptom-simptom. Rawatan standard di barat kini bagi wanita dengan PCOS adalah ubatan yang dipreskrib, pembedahan dan perubahan gaya hidup. Terdapat bukti yang mencadangkan akupunktur mungkin mempengaruhi ovulasi (pembebasan telur) dengan mempengaruhi paras pelbagai hormon. Akupunktur adalah terapi China di mana jarum-jarum kecil dimasukkan ke dalam kulit di bahagian-bahagian tertentu. Mekanisme sebenar bagaimana akupunktur bertindak untuk PCOS tidak diketahui dan kami berhasrat meneroka penggunaannya untuk PCOS di dalam ulasan ini.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan perubatan untuk kajian-kajian di mana orang diletakkan secara rawak ke dalam satu dari dua atau lebih kumpulan rawatan termasuk rawatan akupunktur bagi wanita dengan PCOS yang mengalami ovulasi yang jarang-jarang sekali atau tidak pernah. Akupunktur dibandingkan dengan akupunktur lakonan (palsu), tiada rawatan, perubahan gaya hidup (contoh relaksasi) dan rawatan konvensional.

Kami memasukkan lapan kajian dengan 1546 wanita di dalam ulasan ini. Kajian-kajian tersebut membandingkan akupunktur sebenar dengan akupunktur palsu, clomiphene (ubatan untuk menggalakkan ovulasi), relaksasi dan Diane-35 (pil kontraseptif oral gabungan); dan akupunktur elektrik berfrekuensi rendah (di mana arus elektrik rendah dilalukan melalui jarum-jarum akupunktur) berbanding senaman fizikal. Kami memasukkan wanita yang ingin hamil dan mereka yang mahukan ovulasi dan kawalan simptom yang regular sebagai dua kumpulan populasi utama yang penting.

Keputusan utama

Kepentingan utama kami ialah kadar kelahiran hidup, kadar kehamilan berbilang (untuk wanita yang ingin hamil) dan kadar ovulasi (bagi wanita yang mahu ovulasi/kawalan simptom regular). Oleh kerana kualiti bukti yang sangat rendah dan keputusan yang tidak tepat, kami tidak dapat pasti kesan akupunktur ke atas kadar kelahiran hidup, kadar kehamilan berbilang dan kadar ovulasi berbanding akupunktur palsu. Untuk sebab-sebab yang sama, kami juga tidak pasti kesan akupunktur ke atas kehamilan klinikal dan kadar keguguran. Akupunktur mungkin menambahbaik restorasi haid yang regular. Akupunktur mungkin memburukkan kesan-kesan sampingan berbanding akupunktur palsu.

Tiada kajian yang melaporkan data mengenai kadar kelahiran hidup dan kadar kehamilan berbilang bagi perbandingan-perbandingan lain: senaman fizikal atau tiada intervensi, relaksasi dan clomiphene. Kajian-kajian termasuk Diane-35 tidak mengukur hasil kesuburan kerana wanita hanya berminat dalam mengawal simptom.

Kami tidak pasti sama ada akupuntur menambahbaik kadar ovulasi berbanding relaksasi atau Diane-35 (diukur dengan ultrabunyi, yang menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk mencipta imej, tiga bulan selepas rawatan). Perbandingan-perbandingan lain tidak melaporkan kadar ovulasi.

Kesan-kesan sampingan direkod dalam kumpulan akupunktur bagi perbandingan-perbandingan latihan fizikal atau tiada intervensi, clomiphene dan Diane-35. Ini termasuk pening kepala, loya (rasa tidak sihat) dan kelebaman.

Bukti keseluruhan adalah berkualiti rendah atau sangat rendah. Pada masa ini tiada bukti cukup untuk menyokong penggunaan akupunktur bagi rawatan gangguan ovulasi dalam kalangan wanita dengan PCOS.

Kualiti bukti

Kebolehpercayaan bukti adalah dari sangat rendah hingga sederhana, kekangan utama adalah tidak melaporkan keputusan-keputusan klinikal yang penting dan data tidak cukup.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save