Pakej pendidikan penjagaan ibu dan bayi baru lahir yang berasaskan komuniti untuk meningkatkan kesihatan neonatal dan kelangsungan hidup di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Soalan ulasan

Adakah intervensi pendidikan kesihatan komuniti untuk penjagaan bayi baru lahir berkesan dalam meningkatkan kesihatan neonatal dan kelangsungan hidup di negara berpendapatan rendah dan sederhana?

Latar belakang

Di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana, penggunaan perkhidmatan kesihatan adalah rendah dan kadar kematian serta morbiditi neonatal adalah tinggi. Namun begitu, penambahbaikan hasil neonatal telah didokumentasikan dalam beberapa kajian yang menggunakan intervensi pendidikan kesihatan yang mudah. Ulasan ini telah menilai keberkesanan strategi pendidikan kesihatan yang disampaikan kepada para ibu atau ahli keluarga mereka dalam persekitaran komuniti negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Selain it, kesan strategi-strategi pendidikan kesihatan ke atas kadar kematian neonatal, morbiditi neonatal, akses kepada perkhidamatan kesihatan dan kos, juga telah dinilai.

Ciri-ciri kajian

Sejumlah 33 kajian eksperimen telah dijalankan di seluruh Afrika dan Amerika Tengah dan Selatan, dengan paling banyak dilaporkan dari Asia, terutamanya India, Pakistan dan Bangladesh. Dalam kalangan 33 intervensi pendidikan komuniti tersebut, terdapat 16 yang memerlukan penglibatan ahli keluarga, selalunya ibu mertua atau ayah bayi tersebut. Kebanyakan kajian (n=14) melibatkan kaunseling secara satu-kepada-satu antara pelbagai kakitangan sektor kesihatan komuniti dengan ibu-ibu, dan terdapat 12 kajian melibatkan kaunseling secara berkumpulan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan ibu yang kadangkala terlibat ahli keluarga; tujuh kajian yang lain pula mempunyai unsur kedua-dua kaunseling satu-kepada-satu dan berkumpulan.

Keputusan-keputusan utama

Ulasan ini mendapati bahawa intervensi pendidikan kesihatan komuniti telah secara ketaranya mengurangkan kematian bayi baru lahir, kadar kematian awal dan lewat bayi baru lahir, serta kematian dalam tempoh perinatal. Intervensi-intervensi ini juga memberi kesan positif kepada penggunaan dalam masa sebelum bersalin (antenatal), penjagaan semasa mengandung, dan permulaan penyusuan susu badan dalam masa satu jam selepas lahir. Ulasan ini juga menunjukkan bahawa intervensi pendidikan yang disampaikan kepada kedua-dua ibu dan ahli keluarga yang lain secara berkumpulan mempunyai kesan yang lebih besar ke atas hasil ini. Intervensi pendidikan yang disampaikan dalam tempoh penjagaan antenatal lebih berkesan untuk mengurangkan kematian awal neonatal, dan intervensi yang disampaikan dalam kedua-kedua tempoh antenatal (sebelum bersalin) dan postnatal (selepas bersalin) lebih berkesan untuk mengurangkan kematian lewat neonatal dan kematian perinatal. Intervensi pendidikan dalam tempoh postnatal paling berkesan untuk menambahbaik amalan penyusuan susu badan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah untuk hasil mengenai kematian bayi baru lahir dan sangat rendah untuk kematian awal, lewat dan perinatal. Ini mencerminkan kebimbangan bias, ketidakselarasan (perbezaan hasil yang tidak dijelaskan), dan ketidaktepatan (perbezaan dalam kajian-kajian menunjukkan kedua-dua faedah dan bahaya daripada intervensi) dalam percubaan rawak terkawal yang termasuk dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Chan MW (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information