Perbandingan sekatan saraf anggota badan bahagian atas menggunakan anaestetik setempat dengan opioid analgesia untuk melegakan kesakitan selepas pembedahan bahu major.

Kesakitan selepas pembedahan kadang-kadang boleh menambahkan insiden komplikasi didalam badan. Adalah penting untuk menguruskan kesakitan ini dengan berkesan. Pembedahan bahu major boleh menyebabkan kesakitan yang serius. Merawat kesakitan ini dengan berkesan boleh mengurangkan komplikasi dan membantu pergerakan awal. Pelbagai kaedah digunakan untuk merawat kesakitan selepas pembedahan bahu major, termasuk pemberian opioid (diperolehi daripada opium) dan ubat penahan sakit bukan-opioid dan pemberian ubat-ubatan yang menyebabkan kekebasan, dan oleh itu melegakan kesakitan di bahu dan sekitar sendi bahu atau di sekeliling saraf di anggota bahagian atas. Kami membandingkan tentang bergunanya sekatan saraf anggota badan bahagian atas yang berterusan yang dilakukan secara menyuntik anaestetik setempat ke dalam leher, berhampiran dengan tempat di mana saraf bermula (sekatan interscalene brachial plexus-kumpulan ISBBI) dengan memasukkan ubat penahan sakit opioid ke dalam vena, ke dalam otot atau di bawah kulit (mana-mana laluan selain daripada mulut)-kumpulan parenteral opioid.

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2012. Kami meneliti 2 kajian yang melibatkan 147 peserta. 17 peserta kajian dikeluarkan (16 daripada kumpulan SDBPB dan 1 daripada kumpulan yang satu lagi), menjadikan jumlah peserta hanya seramai 130 orang. 66 orang adalah di dalam kumpulan ISBPB dan 64 di dalam kumpulan parenteral opioid. Kajian-kajian ini adalah pada tahap sederhana ke kualiti rendah disebabkan isu rekabentuk kajian, dan satu daripada kajian tersebut ditaja oleh sebuah syarikat ubat-ubatan.

Tahap keseriusan kesakitan dinilai oleh pesakit dengan menggunakan skala nombor di mana 0 dianggap sebagai tiada kesakitan dan 10 atau 100 sebagai kesakitan yang paling teruk yang boleh dibayangkan dalam tempoh 72 jam dalam satu kajian, dan 48 jam dalam kajian yang satu lagi. Tahap keseriusan kesakitan selepas pembedahan adalah kurang secara signifikan bagi kumpulan ISBPP pada setiap titik masa dalam satu kajian dan pada setiap masa kecuali satu titik masa dalam kajian yang satu lagi

Tiada kesimpulan yang konkrit dapat dibuat disebabkan bilangan kajian yang kecil, yang juga bukan pada tahap kualiti yang tinggi. Walaubagaimanapun, daripada bukti yang ada, salah satu kajian mendapati bahawa keperluan bagi ubat penahan sakit tambahan (piritramide) adalah lebih tinggi secara signifikan dalam kalangan kumpulan parenteral opioid. Ini tidak dinyatakan dalam kajian yang lagi satu. Insiden loya dan muntah-muntah adalah kurang secara signifikan dalam kumpulan ISBPB apabila dibandingkan dengan kumpulan parenteral opioid. Komplikasi yang berkait dengan ISBPB tidak kelihatan apabila ultrasound digunakan untuk melakukan ISPBP.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information