Satu ulasan aktiviti-aktiviti untuk membantu profesional penjagaan kesihatan berkongsi keputusan mengenai penjagaan dengan pesakit mereka

Apakah matlamat ulasan ini?

Ahli profesional penjagaan kesihatan kerap tidak melibatkan pesakit mereka dalam membuat keputusan mengenai penjagaan mereka. Dengan perkongsian membuat keputusan, ahli profesional penjagaan kesihatan memaklumkan pesakit mengenai pilihan-pilihan mereka dan menjemput mereka untuk memilih opsyen yang mencerminkan kepentingan mereka, termasuk opsyen untuk tidak meneruskan rawatan. Perkongsian membuat keputusan dikatakan wajar kerana penglibatan pesakit diterima sebagai hak dan pesakit-pesakit pada amnya mahu informasi yang lebih mengenai keadaan kesihatan mereka dan lebih gemar mengambil peranan aktif dalam keputusan berkaitan kesihatan mereka. Matlamat ulasan ini ialah untuk mencari jika aktiviti untuk meningkatkan perkongsian membuat keputusan oleh ahli profesional penjagaan kesihatan berkesan atau tidak. Contoh-contoh aktiviti sebegini ialah program-program latihan, mengedarkan risalah-risalah, atau peringatan emel. Para penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini, dan menemui 87 kajian.

Mesej utama

Wujud sejumlah besar aktiviti yang pelbagai untuk meningkatkan perkongsian membuat keputusan oleh ahli profesional penjagaan kesihatan, tetapi kami tidak boleh yakin aktiviti yang mana berfungsi paling baik kerana kepastian (atau kepercayaan) bukti telah dinilai sebagai sangat rendah.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Ulasan kami telah meneliti 87 kajian yang menguji jenis aktiviti yang terbaik bagi membantu ahli profesional penjagaan kesihatan melibatkan pesakit mereka dengan lebih banyak dalam membuat keputusan mengenai penjagaan mereka. Kami juga meneliti kesan aktiviti-aktiviti ini ke atas penyesalan keputusan, kualiti hidup yang berkaitan fizikal atau kesihatan mental, tempoh perundingan, dan kos.

Kajian-kajian sangat berbeza, sehingga aktiviti-aktiviti tersebut sangat sukar untuk dibandingkan.

Pada mulanya, kami membahagikan kajian kepada yang menggunakan pemerhati luar untuk mengukur perkongsian membuat keputusan dan yang menggunakan pesakit-pesakit untuk mengukur perkongsian membuat keputusan.

Kami kemudiannya membahagikan kajian kepada yang melihat ke atas aktiviti-aktiviti a) untuk ahli profesional penjagaan kesihatan sahaja (contoh, latihan), b) untuk pesakit-pesakit sahaja (contoh, memberi mereka bantuan keputusan, iaitu risalah yang menerangkan opsyen-opsyen dan menjemput mereka untuk memikirkan tentang nilai dan pilihan mereka), dan c) untuk kedua-duanya ahli profesional penjagaan kesihatan dan pesakit (contoh, latihan dan bantuan keputusan).

Akhirnya, setiap kategori ini dibahagikan kepada kajian-kajian yang membandingkan aktiviti dengan penjagaan biasa dan kajian-kajian yang membandingkan aktivitinya dengan aktiviti yang lain.

Kami juga melihat keyakinan bukti bagi hasil utama (sejauh mana ahli profesional penjagaan kesihatan melibatkan pesakit-pesakit dalam membuat keputusan mengenai penjagaan mereka) dan hasil sekunder / kedua (penyesalan keputusan, kualiti hidup yang berkaitan fizikal atau kesihatan mental, tempoh perundingan, dan kos) yang berkepentingan.

Apakah keputusan utama ulasan?

Empat puluh empat kajian melihat kepada aktiviti-aktiviti untuk pesakit sahaja, manakala 28 kajian melihat kepada aktiviti-aktiviti untuk kedua-dua ahli profesional penjagaan kesihatan dan pesakit, dan 15 kajian melihat kepada aktiviti-aktiviti untuk ahli profesional penjagaan kesihatan sahaja.

Walaupun kajian-kajian dalam semua tiga kategori telah menguji banyak aktiviti yang berlainan untuk meningkatkan perkongsian membuat keputusan oleh ahli profesional penjagaan kesihatan, pada keseluruhannya kami tidak dapat menyakini keberkesanan aktiviti-aktiviti ini kerana kepastian bukti adalah lemah. Ini adalah kerana terdapat banyak kemungkinan punca kesilapan (contoh, gagal untuk memastikan aktiviti yang diuji tidak diberikan juga kepada kumpulan perbandingan), dan kekerapan laporan keputusan yang lemah (iaitu tidak memberikan informasi yang cukup untuk mengadili kualiti bukti).

Walaupun sukar untuk membuat keputusan yang kukuh, kami dapat mengatakan jika dibandingkan dengan tidak ada aktiviti langsung, aktiviti-aktiviti dengan ahli profesional penjagaan kesihatan mungkin dapat menambahbaik sedikit kualiti hidup berkait kesihatan mental, tetapi memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti hidup berkait kesihatan fizikal (dua kajian). Kami juga boleh mengatakan aktiviti-aktiviti yang menyasarkan ahli profesional penjagaan kesihatan dan pesakit mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada penyesalan keputusan (satu kajian).

Adakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information