Langkau ke kandungan utama

Adakah intervensi psikososial berkesan untuk merawat kemurungan dalam kalangan pesakit dengan rawatan dialisis?

Apakah isunya?

Kemurungan sering dialami oleh pesakit yang dirawat dengan dialisis. Pesakit dialisis menganggap rawatan yang membantu mengatasi kemurungan adalah sesuatu yang utama. Walaupun intervensi psikososial telah menunjukkan keupayaan untuk mengurangkan kemurungan dalam pelbagai penyakit kronik, kami sangat tidak pasti sama ada rawatan tersebut mencegah atau merawat kemurungan bagi pesakit dialisis kerana kajian tentang ini sangat kurang dijalankan.

Apa yang kami lakukan?

Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2019. Kami telah mencari penulisan perubatan dan mengenalpasti 33 kajian dengan 2056 peserta yang menerima rawatan dialisis. Kajian-kajian ini menilai pelbagai rawatan yang mungkin termasuk akutekanan, terapi kognitif tingkahlaku (CBT), kaunseling, pendidikan, senaman, meditasi, menemuduga motivasi, teknik istirahat, aktiviti sosial, amalan spiritual, kumpulan sokongan, sokongan telefon, visualisasi, dan kawalan suara, berbanding dengan penjagaan biasa atau rawatan psikososial yang lain. Kami juga meneliti kualiti maklumat dalam kajian-kajian tersebut untuk mengkaji kepastian keputusannya.

Apa yang kami temui?

Kami agak pasti bahawa CBT, senaman, dan teknik istirahat mungkin mengurangkan gejala-gejala kemurungan bagi pesakit yang dirawat dengan dialisis jangka panjang. Kaunseling mungkin mengurangkan sedikit gejala kemurungan, tetapi kami tidak pasti sama ada akutekanan, sokongan telefon, atau meditasi menghasilkan apa-apa perbezaan. Kami mendapati bukti kepastian pada tahap sederhana bahawa CBT menghasilkan kualiti hidup yang lebih tinggi untuk pesakit dialisis. Kajian-kajian ini tidak mengukur kesan rawatan psikososial terhadap kemurungan utama, risiko bunuh diri, dan sama ada terapi mennghasilkan apa-apa perbezaan terhadap kebimbangan, kemasukan ke hospital, atau menarik diri daripada rawatan dialisis, tidak dapat dipastikan. Kesan-kesan buruk yang berlaku akibat daripada rawatan adalah sangat tidak pasti.

Beberapa penulis kajian tidak melaporkan kaedah bagi kajian mereka dengan jelas, maka, tidak dapat dipastikan sama ada pesakit benar-benar mempunyai peluang secara rawak untuk berada dalam setiap kumpulan rawatan atau sama ada keputusan kajian dinilai oleh orang yang mengetahui rawatan mana yang sebenarnya diterima oleh pesakit. Bagi kebanyakan hasil, hanya sedikit kajian yang dikenalpasti, yang mengurangkan keyakinan kami terhadap keputusan kajian tersebut.

Kesimpulan

CBT, senaman, dan teknik istirahat mungkin mengurangkan gejala kemurungan untuk pesakit dialisis malah CBT juga meningkatkan kualiti hidup. Kaunseling mungkin mengurangkan sedikit kemurungan dalam kalangan mereka yang menerima rawatan dialisis. Kami tidak pasti sama ada intervensi menghalang atau merawat kemurungan utama, kebimbangan, risiko bunuh diri, atau penarikan diri daripada penjagaan dialisis sebelum kematian, atau sama ada rawatan psikologi dan sosial mendatangkan kesan buruk.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Natale P, Palmer SC, Ruospo M, Saglimbene VM, Rabindranath KS, Strippoli GFM. Psychosocial interventions for preventing and treating depression in dialysis patients. Cochrane Database of Systematic Reviews 2019, Issue 12. Art. No.: CD004542. DOI: 10.1002/14651858.CD004542.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan