Teknik penyediaan semen untuk inseminasi intrauterus

Soalan ulasan

Penulis Cochrane mengulas bukti tentang keberkesanan tiga teknik penyediaan sperma (teknik cerun, renang, dan cucian) terhadap hasil klinikal selepas inseminasi intrauterus (IUI).

Latar belakang

Teknik penyediaan semen digunakan di dalam reproduktif berbantu untuk memisahkan sperma normal dan bergerak spontan dari bahagian cecair semen di mana sperma terampai. Keberkesanan teknik penyediaan semen tertentu untuk meningkatkan kadar kehamilan dalam kalangan pasangan sub-subur yang menjalani IUI masih tidak diketahui.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati enam kajian rawak terkawal yang membandingkan teknik gradien, renang atau cucian, di dalam sejumlah 485 pasangan yang menjalani IUI. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2019.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam hasil kehamilan di antara tiga teknik penyediaan sperma untuk pasangan sub-subur yang menjalani IUI. Tiada kajian melaporkan kadar lahir hidup.

Teknik renang berbanding teknik cerun

Memandangkan kualiti bukti (sangat rendah), kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan di antara kadar kehamilan klinikal (CPR) untuk teknik renang dengan cerun. Keputusan mencadangkan jika peluang kehamilan selepas menggunakan teknik cerun dianggap 24%, peluang kehamilan setelah menggunakan teknik renang adalah antara 14% dan 30%. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan di antara kadar kehamilan yang berterusan dalam setiap pasangan, kadar kehamilan berganda (MPR) setiap pasangan atau kadar keguguran (MR) setiap pasangan ketika membandingkan teknik renang dengan cerun. Kualiti bukti bagi hasil-hasil tersebut adalah sangat rendah. Tiada kajian yang melaporkan mengenai kadar kehamilan ektopik, keabnormalan janin atau kadar jangkitan.

Teknik renang berbanding teknik cucian

Memandangkan kualiti bukti (sangat rendah), kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam kadar kehamilan klinikal untuk teknik renang berbanding cucian dan pengemparan. Keputusan mencadangkan jika peluang kehamilan selepas penggunaan teknik cucian dianggap 38%, peluang kehamilan selepas menggunakan teknik renang adalah antara 9% dan 41%. Memandangkan kualiti bukti yang sangat rendah, kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan di antara kadar kehamilan berganda antara teknik renang dengan teknik cucian. Kadar keguguran hanya dilaporkan oleh satu kajian: tiada keguguran dilaporkan dalam kedua-dua lengan rawatan. Tiada kajian yang melaporkan kadar kehamilan ektopik, keabnormalan janin atau kadar jangkitan.

Teknik cerun berbanding teknik cucian

Memandangkan kualiti bukti (sangat rendah), kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam kadar kehamilan klinikal selepas teknik cerun berbanding teknik cucian dan pengemparan.. Keputusan menunjukkan jika peluang kehamilan selepas menggunakan teknik cucian dianggap 13%, peluang kehamilan setelah menggunakan teknik cerun adalah antara 8% dan 46%. Memandangkan kualiti bukti, kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara kadar kehamilan berganda dalam setiap pasangan di antara kumpulan rawatan. Memandangkan kualiti bukti, kami juga tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara kadar keguguran dalam setiap pasangan di antara kumpulan rawatan. Tiada kajian yang melaporkan kadar kehamilan ektopik, keabnormalan janin atau kadar jangkitan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah. Batasan utama adalah risiko bias (tidak jelas), tanda-tanda ketidaktepatan (bilangan kajian/peserta kecil) dan ketidakkonsistenan dalam keputusan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information