Susu berfluorida untuk pencegahan kerosakan gigi

Soalan ulasan

Kami membandingkan bukti tentang keberkesanan susu berfluorida dan susu tanpa fluorida untuk pencegahan kerosakan gigi.

Latar belakang

Kerosakan gigi masih merupakan masalah kesihatan umum yang besar dalam kebanyakan negara industri, melibatkan 60% hingga 90% kanak-kanak sekolah dan majoriti orang dewasa. Ia merupakan penyebab utama kesakitan oral dan kehilangan gigi. Prevalen kerosakan gigi berbeza antara negara dan dalam negara, tetapi secara amnya, kebanyakan mereka yang terlibat adalah daripada kumpulan sosio-ekonomi rendah.

Fluorida adalah mineral yang mencegah kerosakan gigi dan boleh ditambah ke dalam air minuman, garam atau susu sebagai langkah kesihatan awam untuk mempromosi kesihatan oral. Susu berfluorida sering diberi bersama susu tanpa fluorida melalui skim susu sekolah atau program nutrisi kebangsaan. Sistem agihan sedemikian merupakan kaedah yang mudah dan kos efektif bagi mencapai sasaran suplimen berfluorida untuk kanak-kanak yang mana ibubapa ingin mengambil bahagian dalam program tersebut.

Ciri-ciri kajian

Para penulis dari Kesihatan Oral Cochrane meninjau kajian-kajian sedia ada sehingga November 2014 untuk mencari bukti. Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian klinikal yang menguji kesan susu berfluorida berbanding susu tanpa fluorida. Rawatan hendaklah digunapakai dan dipantau untuk paling minima selama dua tahun.

Keputusan utama

Kami mendapati satu kajian yang belum diterbitkan melibatkan 180 kanak-kanak berumur tiga tahun yang diberi susu berfluorida atau susu tanpa fluorida di pusat jagaan di kawasan prevalen kaviti yang tinggi dan tahap fluorida yang rendah dalam air minuman. Selepas tiga tahun, 92% kanak-kanak tersebut dianalisa. Bukti menunjukkan susu berfluorida mungkin bermanfaat kepada kanak-kanak sekolah dengan pengurangan ketara pembentukan kaviti pada gigi susu. Tidak ada barang maklumat tentang kesan sampingan diperolehi.

Kualiti bukti

Walau bagaimanapun, bukti tersebut dianggap berkualiti rendah kerana kurangnya kajian yang relevan, risiko bias dalam kajian yang dikenalpasti dan kebimbangan terhadap aplikasi keputusan dalam keadaan dan populasi yang berlainan. Kajian berkualiti tinggi diperlukan sebelum kami dapat membuat kesimpulan muktamad berkenaan manfaat susu berfluorida.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information