Menggunakan fisioterapi tekanan ekspiratori positif bagi membersihkan saluran pernafasan dalam kalangan pesakit dengan fibrosis sista

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan terapi tekanan ekspiratori positif (PEP) dalam membersihkan saluran pernafasan dalam kalangan pesakit dengan fibrosis sista (CF).

Latar belakang

CF dihidapi oleh kira-kira satu dalam 3000 kelahiran dalam populasi berkulit putih dan menyebabkan jangkitan paru-paru yang kerap, disebabkan oleh kehadiran mukus yang menyekat saluran pernafasan. Fisioterapi dada sering digunakan untuk membantu membersihkan mukus tersebut dari paru-paru. Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan alat PEP (satu bentuk fisioterapi dada) adalah lebih baik atau lebih teruk berbanding lain-lain bentuk fisioterapi dada dalam membersihkan mukus dari paru-paru mereka yang menghidapi CF. Alat PEP menghasilkan tekanan positif di belakang mukus untuk cuba menolak mukus tersebut keluar daripada paru-paru. Berikut adalah kemas kini ulasan yang diterbitkan sebelum ini.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 20 Februari 2019.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan 28 kajian dengan 788 pesakit CF (dari bayi hingga dewasa) yang mempunyai penyakit paru-paru tahap ringan kepada teruk. Kajian-kajian tersebut membandingkan PEP dengan kaedah-kaedah fisioterapi dada yang lain; tempoh rawatan adalah sekitar satu sesi ke dua tahun.

Dapatan utama

Secara amnya, keberkesanan PEP adalah sama dengan kaedah-kaedah fisioterapi dada yang lain seperti saliran postur dengan perkusi, teknik pernafasan kitaran aktif, saliran autogenik, alat PEP berayun seperti flutter dan acapella, alat toraks berayun seperti ‘Vest’, dan tekanan positif salur pernafasan bilevel (BiPaP) (kebiasaanya digunakan sebagai sokongan pernafasan, tetapi dengan mengubah tekanan inspiratori dan ekspiratori pada alat tersebut serta menggabungkannya dengan huffing, BiPaP telah digunakan untuk membersihkan saluran pernafasan). Kami mendapati tiada perbezaan di antara PEP dan bentuk-bentuk fisioterapi dada yang lain terhadap fungsi paru-paru, jumlah mukus yang dibersihkan dari saluran pernafasan atau kesan lain yang berkaitan terhadap kesihatan pesakit CF. Walaubagaimanapun, kadar kemunculan gejala pernafasan adalah berkurang dalam kalangan pesakit yang menggunakan PEP berbanding dengan bentuk-bentuk fisioterapi yang lain seperti alat PEP bergetar atau jaket bergetar. Terdapat beberapa bukti bahawa mereka yang menghidap CF lebih menyukai PEP berbanding kaedah fisioterapi dada yang lain. Tidak ada bukti bahawa PEP menyebabkan kemudaratan, kecuali dalam satu kajian di mana bayi yang melakukan PEP atau perkusi dalam pelbagai posisi yang menggunakan graviti untuk membantu menyalirkan rembesen, telah mengalami refluks gastro-esofagus (regurgitasi makanan) dalam posisi kepala di bawah; perkara sama terjadi lebih teruk lagi dalam kalangan kumpulan yang melakukan saliran postur dengan perkusi. Dalam semua kajian yang lain PEP dilakukan dalam posisi duduk.

10 dari 28 kajian telah mengkaji sesi rawatan tunggal PEP. Dapatan daripada kajian-kajian ini adalah terhad kerana mereka tidak dapat melaporkan bilangan jangkitan respiratori dan fungsi paru-paru yang tidak berubah dengan hanya satu kali rawatan. Dua kajian bertempoh satu tahun telah membandingkan PEP dengan saliran postur dan perkusi; dalam kajian dengan kanak-kanak, PEP telah meningkatkan fungsi paru-paru mereka, manakala dalam kajian dewasa, fungsi paru-paru sedikit berkurang bagi kedua-dua PEP dan saliran postur dan perkusi. Kaedah pelaksanaan PEP juga adalah berbeza bagi kedua-dua kumpulan umur tersebut.

Walaupun PEP kelihatan seperti mempunyai kelebihan dalam mengurangkan episod eksaserbasi (berdasarkan gabungan dapatan beberapa kajian), teknik fisioterapi dan alat yang berbeza mungkin lebih atau kurang berkesan pada masa-masa yang berlainan dan pada individu yang berbeza sewaktu fungsi asal semasa eksaserbasi dada. Setiap individu perlu bercakap dengan pakar perubatan mereka untuk membantu dalam memilih kaedah pembersihan saluran pernafasan yang terbaik untuk mereka dan jika mereka patuhi, akan menyediakan kualiti hidup dan kesan jangka-panjang yang terbaik.

Kualiti bukti kajian

Beberapa kajian mempunyai kualiti yang rendah. Kajian-kajian ini menunjukkan kesukaran dalam membandingkan kajian yang menggunakan PEP berbanding bentuk-bentuk fisioterapi dada yang lain. Faktor-faktor seperti umur dan tahap keterukan penyakit paru-paru dalam kalangan peserta mungkin mempengaruhi dapatan kajian dan kaedah pelaksanaan setiap rawatan. Secara keseluruhan, bukti yang diberikan oleh ulasan ini tentang sama ada PEP mengurangkan eksaserbasi berbanding bentuk-bentuk fisioterapi dada yang lain mempunyai kualiti sederhana hingga tinggi, tetapi bukti bagi kesan yang lain adalah berkualiti sangat rendah hingga sederhana, disebabkan hasil dapatan yang terhad.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amalin Najiha Mohd Sabri (RCSI - UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save