Pengurusan ubat profilaksis untuk kejang demam pada kanak-kanak

Latar belakang

Kejang yang berlaku dengan demam (kejang demam) pada kanak-kanak adalah perkara biasa dan terlibat kira-kira satu daripada 30 kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Secara purata, satu daripada tiga kanak-kanak yang mengalami kejang demam akan mengalami sekurang-kurangnya satu kali lagi. Kami mengkaji bukti tentang kesan ubat-ubatan untuk mencegah kejang (antiepileptik), ubat-ubatan untuk menurunkan suhu badan (antipiretik), dan zink pada kanak-kanak dengan kejang demam.

Objektif

Kami ingin mengetahui berapa kanak-kanak yang mengambil ubat-ubatan ini dapat mencegah kejang demam berulangan atau menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Kaedah-kaedah

Kami menyertakan 32 kajian dengan jumlah 4431 kanak-kanak dalam ulasan ini. Kanak-kanak yang mengalami sekurang-kurangnya satu kejang demam diagihkan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan. Kajian-kajian ini mencatatkan kejang yang berlaku pada selang masa antara umur enam bulan hingga enam tahun dalam setiap kumpulan. Kesan ubat yang tidak diingini juga diperhatikan.

Hasil kajian

Reka kajian dan kualiti bukti daripada kajian-kajian mengenai ubat antiepileptik sering kali rendah atau sangat rendah. Kaedah yang tidak baik yang diketahui menyebabkan risiko bias telah digunakan. Satu masalah ialah dengan kaedah yang digunakan untuk mengagihkan kanak-kanak kepada kumpulan kajian dan berapa rawaknya peruntukan ini. Masalah lain termasuk sama ada ibu bapa atau doktor, atau kedua-duanya, mengetahui kumpulan yang kanak-kanak dimasukkan ataupun jika kumpulan rawatan dibandingkan dengan kumpulan rawatan tanpa plasebo (pil dummy) yang digunakan. Kualiti kajian ubat antipiretik atau zink adalah lebih baik, dengan bukti yang dinilai berkualiti sederhana hingga tinggi.

Rawatan zink didapati tidak memberikan faedah. Kami juga tidak mendapati faedah jika merawat kanak-kanak pada waktu demam dengan ubat-ubatan antipiretik atau kebanyakan ubat antiepileptik.

Hasil yang jelas dicatat dalam beberapa keadaan. Sebagai contoh, susulan pada masa antara 6 dan 48 bulan, diazepam (satu ubat antiepileptik) yang diberi secara intermiten menyebabkan pengurangan jumlah kejang berulangan hampir satu pertiga. Pemberian fenobarbital yang berterusan memberikan hasil signifikan dalam mengurangkan demam berulangan pada 6, 12 dan 24 bulan, tetapi tidak pada 18 serta 60 hingga 72 bulan. Satu kajian menunjukkan bahawa pemberian levetiracetam yang diberi melalui mulut (oral) intermiten berbanding dengan plasebo mengurangkan kejang berulang pada 12 bulan dengan signifikan. Apabila berbanding dengan diazepam intermiten, melatonin oral intermiten tidak mengurangkan kejang secara signifikan pada enam bulan.

Namun, kerana kejang berulangan hanya terjadi pada satu pertiga kanak-kanak, ini bermakna sehingga 16 kanak-kanak perlu dirawat selama satu atau dua tahun untuk menyelamatkan hanya satu kanak-kanak daripada serangan yang lebih lanjut. Oleh kerana kejang tanpa demam adalah tidak berbahaya, kami melihat penemuan hasil signifikan ini sebagai tidak penting, terutamanya kerana kesan sampingan ubat-ubatan adalah perkara biasa. Skor pemahaman yang lebih rendah didapati pada kanak-kanak yang dirawat dengan fenobarbital daripada dua kajian. Secara umum, kesan sampingan dicatat dalam satu pertiga kanak-kanak pada kumpulan yang diberikan rawatan fenobarbital dan benzodiazepine. Manfaat yang didapati daripada rawatan dengan clobazam dalam satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2011 perlu diulangkan untuk menguji kebolehpercayaannya. Levetiracetam mungkin dapat merawat kanak-kanak dimana kegelisahan keluarga tentang kemungkinan berlakunya kejang berulang adalah tinggi, tetapi kajian yang lebih lanjut amat diperlukan.

Rumusan Pengarang

Tidak ada bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan rawatan zinc, antiepileptik atau antipiretik secara berterusan atau intetmiten, untuk kanak-kanak dengan kejang demam. Kejang demam boleh menakutkan apabila dilihat. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu disokong dengan maklumat hubungan yang mencukupi mengenai perkhidmatan perubatan serta infomasi tentang kejang berulangan, pengurusan pertolongan cemas, dan, yang paling penting, sifat jinak fenomena tersebut.

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information