Shunting arteri karotid selektif atau rutin untuk endarterektomi karotid (dan kaedah pemantauan yang berbeza dalam shunting selektif)

Persoalan

Kami menyiasat bagaimana shunting akan mempengaruhi strok, kematian, dan komplikasi lain, dan bagaimana kaedah pemantauan yang berbeza untuk shunting selektif akan memberi impak kepada hasil ini pada orang yang menjalani endarterektomi karotid di bawah bius am.

Latar belakang

Kira-kira 20% daripada strok berpunca daripada penyempitan arteri karotid (arteri utama yang membekalkan darah ke otak). Endarterektomi karotid adalah pembedahan untuk membuang penyempitan ini dan dengan itu mengurangkan risiko strok. Walau bagaimanapun, terdapat 2% hingga 3% risiko pembedahan akan menyebabkan strok. Penggunaan tiub silikon, atau shunt, sebagai pintasan sementara boleh mengurangkan tempoh masa aliran darah ke otak terganggu semasa pembedahan. Ini boleh mengurangkan risiko strok perioperatif tetapi juga boleh mengakibatkan kerosakan pada dinding arteri dan oleh itu meningkatkan risiko strok. Pembedahan shunt terbahagi kepada tiga kategori. Pertama, dalam shunting rutin, pakar bedah memasukkan tiub dalam setiap pesakit. Kedua, dalam shunting terpilih, pakar bedah hanya menggunakan tiub pada pesakit dengan bekalan darah ke otak yang tidak mencukupi berikutan pengapitan; pelbagai teknik pemantauan serebrum, seperti ultrasound untuk meramal siapakah yang memerlukan shunt, telah digunakan dalam polisi ini. Ketiga, dalam tanpa shunting, pakar bedah tidak menggunakan tiub sama sekali.

Ciri-ciri kajian

Enam kajian telah dianalisis dalam ulasan terkini ini, yang melibatkan seramai 1270 peserta. Tiga kajian membandingkan shunting rutin tanpa shunting, satu kajian membandingkan shunting rutin berbanding shunting selektif, dan dua lagi kajian membandingkan kaedah pemantauan yang berbeza dalam shunting selektif. Kami belum lagi mengenal pasti sebarang kajian yang membandingkan shunting selektif dengan tiada shunting. Semua kajian yang disertakan menilai shunting yang digunakan pada orang yang menjalani endarterektomi di bawah bius am. Secara keseluruhan, umur peserta adalah antara 40 hingga 89 tahun dan lebih ramai peserta lelaki berbanding wanita. Di mana ia dilaporkan, peserta disusuli untuk tempoh tidak lebih daripada 30 hari.

Keputusan utama

Bilangan kajian yang sangat terhad mencadangkan bahawa shunting rutin berbanding tanpa shunting pada pesakit yang menjalani endarterektomi karotid di bawah bius am mengakibatkan jumlah kematian berkaitan strok yang lebih rendah dalam tempoh 30 hari selepas pembedahan, kadar strok yang kurang dalam tempoh 24 jam pembedahan dan pengurangan kadar ipsilateral dalam tempoh 30 hari selepas pembedahan. Lebih banyak kajian adalah diperlukan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang rendah bagi semua hasil mengurangkan kebolehpercayaan keputusan. Terdapat masalah ketara yang menyumbang kepada kualiti yang rendah, terutamanya dalam kaedah penyelidikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information