Adakah pendapat pemimpin-pemimpin tempatan berkesan dalam mempromosikan amalan terbaik kepada ahli-ahli profesional kesihatan dan menambahbaik hasil-hasil ke atas para pesakit?

Latar belakang

Bagi menambahbaik hasil ke atas pesakit, adalah penting untuk menterjemahkan bukti penyelidikan kepada amalan kesihatan. Salah satu cara untuk berbuat demikian mungkin menerusi penggunaan pendapat pemimpin-pemimpin tempatan (OLs). OLs merupakan individu yang kelihatan disukai, dipercayai dan berpengaruh, dan yang menggunakan kaedah yang berbeza, contohnya pendekatan kepada masyarakat melalui lawatan dan memberi pendidikan dalam kumpulan kecil, boleh mendidik ahli profesional kesihatan dan mendorong mereka untuk menggunakan bukti terbaik yang ada.

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui samada OLs boleh memujuk ahli profesional kesihatan untuk mengikuti garis panduan berasaskan bukti semasa merawat pesakit dengan tujuan menambahbaik kesihatan pesakit. Ini merupakan kemas kini ke atas penerbitan ulasan sistematik tahun 2011.

Mesej utama

Pengunaan OLs mungkin menambahbaik keupayaan ahli-ahli profesional kesihatan untuk mengikuti garis panduan berasaskan bukti, tetapi tidak diketahui sama ada hasil ke atas pesakit bertambah baik. Untuk mengoptimumkan penggunaan OLs, kami perlu tahu dengan terperinci mengenai apa sebenarnya yang mereka lakukan dan bagaimana mereka melakukannya.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Pengarang ulasan Cochrane telah mencari semua kajian-kajian relevan yang menilai kesan-kesan OLs dan menemui 24 kajian yang relevan.

Kebiasaannya, ahli profesional penjagaan kesihatan yang disasarkan oleh intervensi OL adalah pakar-pakar perubatan. Keadaan klinikal yang dikaji dalam kajian-kajian ini adalah pelbagai, dan kajian yang paling lazim adalah berkenaan kanser.

Perbandingan utama adalah di antara mana-mana intervensi melibatkan OLs dibandingkan kepada tiada intervensi atau intervensi yang tidak melibatkan OLs. Kami juga ingin mengetahui sama ada kesan OLs akan berbeza bergantung kepada a) kaedah yang digunakan oleh penyelidik untuk mengenalpasti OLs; b) kaedah pendidikan yang digunakan oleh OLs untuk menggalakkan penukaran amalan; atau c) sama ada OL tunggal, atau pasukan OL pelbagai disiplin yang menyampaikan intervensi.

Kami melihat sama ada intervensi ini mempunyai kesan ke atas pematuhan ahli profesional kesihatan kepada amalan kesihatan berasaskan bukti, hasil ke atas pesakit, dan kos.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami memasukkan 24 kajian, yang melibatkan 337 hospital, 350 pengamal perubatan primer, 3005 ahli profesional kesihatan, dan 29,167 pesakit (tidak semua kajian melaporkan maklumat ini). Kebanyakan kajian adalah dari Amerika Utara (N = 20) dan semua telah dijalankan di negara-negara yang berpendapatan tinggi. Lapan belas dari 24 kajian melaporkan kesan-kesan pematuhan ahli profesional kesihatan kepada amalan kesihatan berasaskan bukti.

Kajian mendapati bahawa, secara keseluruhannya, mana-mana intervensi yang melibatkan OLs mungkin menambahbaik pematuhan ahli profesional kesihatan kepada amalan kesihatan berasaskan bukti. Bagaimanapun, kesannya adalah berbeza dalam dan juga diantara kajian-kajian. Bagi semua perbandingan, kepastian buktinya adalah sederhana. Keputusan yang agak jarang diperolehi menunjukkan bahawa kemungkinan adanya kesan negatif yang kecil dari intervensi OL ke atas beberapa hasil, perkara ini mungkin disebabkan oleh OLs yang menitikberatkan beberapa hasil sehingga melupakan hasil yang lain, ataupun adanya perbezaan pada permulaan di antara kajian-kajian ini yang mungkin memberikan gambaran kurang tepat sebagai negatif semasa susulan.

Terlalu sedikit yang kami ketahui tentang keberkesanan OLs ke atas hasilnya pada pesakit, kerana hasil ke atas pesakit hanya dilaporkan oleh sebilangan kecil sahaja kajian dan kepastian buktinya adalah sangat rendah. Tidak ada kajian yang telah membuat laporan ke atas kos. Kami tidak dapat tentukan sama ada kaedah berbeza yang digunapakai untuk mengenalpasti OLs mempunyai impak ke atas keberkesanannya, kerana kaedah yang sama telah digunakan dalam kebanyakan kajian-kajian. Kami tidak berupaya menentukan jenis strategi pendidikan yang paling berkesan untuk digunakan oleh OLs bagi melaksanakan amalan kesihatan yang terbaik, memandangkan penerangan terhadap perkara ini dilaporkan terlalu sedikit dalam kebanyakan kajian. Akhir sekali, kita tidak dapat nyatakan samada pasukan OL adalah lebih berkesan daripada OLs tunggal kerana ketiadaan perbandingan.

Sehingga bilakah ulasan ini dikemaskini?

Pengarang-pengarang ulasan telah membuat pencarian kajian yang telah mempunyai penerbitan sehingga Julai 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save