Langkau ke kandungan utama

Adakah suplemen asid lemak tak tepu omega-3 lebih baik daripada plasebo untuk merawat kemurungan di kalangan kanak-kanak dan remaja?

Mesej utama

– Disebabkan oleh kekurangan bukti yang kukuh, faedah dan kesan tidak diingini suplemen asid lemak tak tepu omega-3 (yang merupakan lemak penting yang anda mesti dapatkan daripada pemakanan anda) untuk merawat kemurungan di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah tidak jelas.

– Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang potensi manfaat dan kemudaratan suplemen asid lemak tak tepu omega-3 untuk kemurungan kanak-kanak dan remaja.

Mengapa penting untuk mencari rawatan untuk kanak-kanak dan remaja yang mengalami kemurungan?

Orang yang mengalami kemurungan mempunyai mood yang rendah atau hilang keseronokan atau minat dalam aktiviti biasa. Ia adalah gangguan berpanjangan (kronik) yang serius dan berulang (ia boleh kembali selepas tempoh berasa sihat). Ia selalunya bermula semasa zaman kanak-kanak dan remaja, menjejaskan sehingga lapan dalam setiap 100 kanak-kanak. Malangnya, tindak balas terhadap rawatan semasa untuk kemurungan pada kanak-kanak dan remaja adalah lemah, dan melegakan gejala (remisi) boleh mencabar. Dalam kajian baru-baru ini, suplemen asid lemak tak tepu omega-3 telah muncul sebagai rawatan yang berpotensi untuk kemurungan pada orang dewasa. Badan kita tidak boleh membuat lemak berfaedah ini, tetapi ia secara semula jadi terdapat dalam ikan berminyak, sumber laut, dan kacang dan biji tertentu. Ia juga boleh diberikan sebagai suplemen harian dalam bentuk kapsul atau cecair (contohnya, sebagai kapsul minyak hati ikan kod).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui:

– jika suplemen asid lemak tak tepu omega-3 berfungsi untuk mengurangkan gejala kemurungan pada kanak-kanak dan remaja; dan

– jika suplemen asid lemak tak tepu omega-3 membantu kanak-kanak dan remaja mencapai remisi daripada kemurungan.

Kami juga ingin mengetahui sama ada suplemen asid lemak tak tepu omega-3 boleh menyebabkan sebarang kesan tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian di mana kanak-kanak dan remaja dibahagikan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan yang membandingkan suplemen asid lemak tak tepu omega-3 dengan plasebo (rawatan berpura-pura dengan penampilan yang sama), dalam senarai menunggu, tiada rawatan/suplemen, atau penjagaan biasa. Ini adalah cara terbaik untuk memastikan kumpulan orang adalah serupa dan penyiasat tidak tahu siapa yang berada dalam kumpulan mana. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan tersebut, dan telah menilai keyakinan dalam bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui lima kajian yang melibatkan 228 kanak-kanak dan remaja berumur antara 10 hingga 16 tahun dengan kemurungan. Kajian terbesar menyertakan 60 orang dan kajian terkecil menyertakan 28 orang. Tiga kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat, satu di Israel, dan satu di Slovakia. Empat kajian berlangsung selama sekitar 12 minggu dan satu kajian berlangsung selama 16 minggu.

Kami menemui bahawa suplemen asid lemak tak tepu omega-3 boleh mengurangkan gejala kemurungan yang dilaporkan sendiri, tetapi keputusannya adalah sangat tidak pasti. Jika suplemen PUFA omega-3 diberikan dan plasebo diberikan kepada sekumpulan 100 kanak-kanak dan remaja yang mengalami kemurungan, maka 50 kanak-kanak yang menerima asid lemak tak tepu omega-3 akan mencapai remisi dan 48 menerima plasebo akan mencapai remisi.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana tiada kajian yang mencukupi untuk memastikan keputusan hasil-hasil kami dan kajian-kajian adalah kecil. Sehingga kini, tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada suplemen asid lemak tak tepu omega-3 meningkatkan kemurungan pada kanak-kanak dan remaja.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 18 Mei 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Campisi SC, Zasowski C, Bradley-Ridout G, Schumacher A, Szatmari P, Korczak D. Omega-3 fatty acid supplementation for depression in children and adolescents. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD014803. DOI: 10.1002/14651858.CD014803.pub2.