Gangguan depresi adalah kerap dalam kanak-kanak dan remaja, dengan kadar prevalens keseluruhan untuk remaja (13 hingga 18 tahun) adalah 5.7% dan untuk kanak-kanak (bawah umur 13 tahun) 2.8%. Simptom depresi biasa dalam kanak-kanak dan remaja termasuk mood yang rendah, kehilangan minat dalam aktiviti yang pernah dinikmati sebelum ini, kesukaran dalam penumpuan dan motivasi, perubahan selera makan dan tidur, iritabiliti, simptom fizikal seperti sakit kepala atau sakit perut dan dalam beberapa kes pemikiran bunuh diri. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, gangguan depresi dalam tahun-tahun yang lebih muda cenderung untuk berlanjutan sehingga ke masa dewasa, dan semakin sukar untuk dirawat seiring dengan berjalannya waktu. Kedua-dua terapi psikologi dan ubat antidepresan boleh digunakan untuk merawat depresi dalam kanak-kanak dan remaja. Terapi psikologi, kadang-kadang dikenali sebagai ‘terapi bercakap’, melibatkan bekerja dengan ahli terapi yang berkelayakan untuk merawat depresi. Terapi psikologi yang digunakan umum adalah terapi tingkah laku kognitif (CBT), psikoterapi interpersonal (IPT) dan terapi psikodinamik. Terdapat banyak ubat antidepresan yang berbeza, kesemua yang dibangunkan khusus untuk diusahakan terhadap bahan kimia dalam otak yang dipercayai dikaitkan dengan depresi. Penyelidikan telah dilakukan terhadap terapi psikologi dan ubat antidepresan, bersendirian dan dalam gabungan, untuk menilai kesan intervensi terhadap depresi dalam kanak-kanak dan remaja.
Untuk menilai sama ada intervensi atau gabungan kedua-dua adalah paling efektif, kami telah menyertakan kajian yang membandingkan: (1) sebarang terapi psikologi dengan ubat antidepresan; (2) sebarang gabungan terapi tersebut (terapi psikologi ditambah dengan ubat antidepresan) dengan sama ada psikoterapi tersendiri atau ubat antidepresan tersendiri; (3) atau gabungan sebarang terapi tersebut (terapi psikoterapi ditambah dengan ubat antidepresan) dengan plasebo atau ' rawatan seperti biasa; (4) sebarang gabungan terapi tersebut (terapi psikologi ditambah dengan ubat antidepresan) dengan sama ada terapi ditambah dengan plasebo.
Kami telah menyertakan 11 kajian rawak terkawal (RCTs) yang melibatkan 1307 peserta dalam ulasan ini. Kajian tersebut membuat pelbagai perbandingan yang berbeza-beza dan hanya sebilangan kecil kajian yang telah menyumbangkan maklumat tentang setiap perbandingan yang telah dibuat dalam ulasan ini. Walaupun kebanyakan analisis telah menyertakan lebih daripada satu percubaan, hasil daripada percubaan tersebut kadang-kadang berbeza dengan ketara atau malah bertentangan. Dari segi kesan buruk rawatan, dalam satu kajan, kadar pemikiran bunuh diri adalah lebih tinggi dalam mereka yang mengambil ubat antidepresan, berbanding dengan mereka yang diberikan terapi psikologi. Secara keseluruhan, ia adalah tidak mungkin untuk membuat kesimpulan yang kukuh dari metaanalisis, atau untuk menentukan strategi intervensi yang mana yang paling efektif.
Secara ringkasnya, berdasarkan bukti yang sedia ada, kami tidak tahu sama ada terapi psikologi, ubat antidepresan atau gabungan kedua-duanya paling efektif untuk merawat gangguan depresi dalam kanak-kanak dan remaja.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).