Langkau ke kandungan utama

Adakah penggunaan kortikosteroid bermanfaat untuk merawat leptospirosis?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

- Terdapat data yang tidak mencukupi untuk mengetahui potensi manfaat dan kemudaratan kortikosteroid berbanding dengan tanpa rawatan, tiada rawatan melebihi penjagaan standard atau plasebo (ubatan palsu) dalam merawat orang yang mengalami jangkitan leptospirosis.

- Kortikosteroid mungkin mengurangkan kejadian tindak balas keradangan sementara yang berkait dengan rawatan antibiotik untuk jangkitan leptospirosis, walaupun kepastian bukti ini sangat tidak pasti.

- Data daripada kajian klinikal yang dijalankan dengan lebih teliti diperlukan untuk menilai rawatan yang paling sesuai untuk leptospirosis.

Apakah itu leptospirosis?

Leptospirosis adalah penyakit berjangkit yang ditemui di seluruh dunia. Ia tersebar kepada manusia melalui sentuhan dengan air, tanah atau makanan, yang mengandungi air kencing haiwan yang dijangkiti. Walaupun ramai orang dengan jangkitan menunjukkan gejala seperti demam selesema ringan yang sembuh dengan sendirinya dan biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan, sesetengah orang boleh mengalami penyakit yang teruk, yang membawa kepada kerosakan pada pelbagai organ, yang mana dalam beberapa kes, boleh menyebabkan kematian.

Bagaimana leptospirosis dirawat?

Strategi pemberian awal antibiotik dan sokongan organ sasaran adalah intervensi utama untuk rawatan leptospirosis. Kortikosteroid telah digunakan untuk merawat leptospirosis, terutamanya dalam manifestasi teruk penyakit. Walau bagaimanapun, keberkesanan kortikosteroid sebagai rawatan langsung atau pelengkap untuk leptospirosis tidak difahami dengan baik.

Kami ingin mengetahui:

- Bolehkah kortikosteroid menjadi rawatan berkesan untuk leptospirosis?

- Bolehkah rawatan dengan kortikosteroid mengakibatkan kejadian buruk yang tidak diingini (serius dan ringan)?

- Bolehkah rawatan dengan kortikosteroid mengurangkan tempoh kemasukan ke hospital disebabkan oleh leptospirosis?

- Bolehkah rawatan dengan kortikosteroid mengurangkan tindak balas keradangan yang boleh atau berkemungkinan mengakibatkan penurunan tekanan darah yang mengancam nyawa, bengkak atau kesakitan apabila orang dirawat untuk leptospirosis?

- Bolehkah kortikosteroid meningkatkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan?

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal rawak, iaitu kajian di mana peserta diagihkan secara rawak kepada kumpulan, untuk mengetahui rawatan manakah yang terbaik. Dalam ulasan kami, kajian yang kami sertakan membandingkan ubat kortikosteroid (sendiri atau gabungan) dengan tanpa intervensi, tiada intervensi melebihi penjagaan standard, atau rawatan plasebo (iaitu rawatan palsu) untuk orang dengan leptospirosis.

Apakah yang kami dapati?

Kami menemui empat kajian klinikal rawak dengan sejumlah 253 peserta, yang dijalankan di negara-negara di mana leptospirosis merupakan isu utama kesihatan awam (Thailand, Brazil, China dan Iran). Para peserta tinggal di kawasan ini. Semua kajian dinilai mempunyai beberapa kebimbangan atau risiko bias yang tinggi.

Apakah keputusan utama ulasan kami?

Satu kajian membandingkan prednisolone dengan plasebo. Satu kajian membandingkan kedua-dua dexamethasone dan prednisolone dengan tiada intervensi melebihi penjagaan standard. Satu kajian membandingkan methylprednisolone dengan tiada intervensi melebihi penjagaan standard. Satu kajian membandingkan hydrocortisone dengan tiada intervensi. Tiga kajian yang melaporkan penjagaan standard memberikan intervensi bersama dengan cara yang serupa dan melibatkan sama ada rawatan sokongan atau rawatan antimikrob.

Kami tidak tahu sama ada kortikosteroid, berbanding dengan tiada intervensi melebihi penjagaan standard atau rawatan plasebo, mengurangkan risiko kematian di kalangan mereka dengan leptospirosis (3 kajian, 123 peserta); mengurangkan bilangan orang yang mengalami kejadian tidak diingini yang serius (3 kajian, 123 peserta); atau mengurangkan bilangan hari di hospital disebabkan oleh leptospirosis (3 kajian, 123 peserta), kerana bukti sangat tidak pasti. Begitu juga, kami tidak tahu sama ada kortikosteroid, berbanding dengan tiada intervensi melebihi penjagaan standard, mengurangkan risiko kejadian tidak diingini yang tidak serius (1 kajian, 22 peserta) kerana bukti sangat tidak pasti. Akhir sekali, kami tidak tahu sama ada kortikosteroid, berbanding dengan tanpa intervensi, mengurangkan tindak balas keradangan jangka pendek yang berkaitan dengan rawatan antibiotik leptospirosis (1 kajian, 130 peserta) kerana bukti juga sangat tidak pasti.

Tiada antara kajian-kajian ini yang menilai kualiti hidup.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Disebabkan bukti dalam empat kajian tersebut mempunyai kepastian yang sangat rendah, kami tidak yakin tentang keputusan ini. Penemuan kami adalah berdasarkan beberapa kajian, dengan hasil kajian yang berbeza, cabaran dalam pemilihan dan pengagihan rawak peserta, peserta keseluruhan yang tidak mencukupi dalam kajian, dan keputusan yang bercanggah antara kajian untuk beberapa hasil yang direkodkan.

Dana kajian

Dua kajian menyertakan pernyataan yang mendedahkan sumber dana mereka, dan dua kajian selebihnya tidak. Daripada kajian yang mendedahkan dana mereka, satu menerima sokongan kewangan daripada universiti tetapi tidak membuat pendedahan lanjut. Kajian yang lain mendedahkan bahawa mereka telah menerima dana daripada kedua-dua organisasi kerajaan dan organisasi amal antarabangsa, tetapi sumber-sumber ini tidak terlibat dalam reka bentuk, pengendalian, analisis, atau pelaporan hasil kajian.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini adalah terkini setakat 10 April 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Lee N, Han SM, Mukadi P, Edwards T, Maung HT, Smith C, Win TZ. Corticosteroids for treatment of leptospirosis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 7. Art. No.: CD014935. DOI: 10.1002/14651858.CD014935.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan