Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah manfaat, risiko, dan kos bahan yang berbeza yang digunakan untuk tampalan pada gigi belakang kekal?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

- Jika gigi yang rosak ditampal menggunakan “bulk-fill” (bahan yang diletakkan dalam satu lapisan tebal) atau bahan komposit berasaskan resin (RBC) standard (diletakkan dalam beberapa lapisan), kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan dari segi kegagalan tampalan antara kedua-dua bahan tersebut.

- Bukti yang lebih lama mendapati bahawa amalgam pergigian (tampalan berwarna perak) mungkin mengalami kadar kegagalan bahan yang lebih rendah berbanding RBC. Walau bagaimanapun, dapatan ini adalah berdasarkan kajian yang lebih lama. RBC moden adalah lebih baik, doktor gigi kini mempunyai lebih banyak pengalaman menggunakannya, dan kegagalan tampalan berkemungkinan berlaku dengan lebih jarang.

Mengapakah kita memerlukan tampalan gigi dan apakah itu tampalan gigi?

Kadangkala, tisu gigi menjadi rosak dan menyebabkan terbentuknya lubang (kaviti) pada gigi. Kaviti disebabkan oleh kerosakan gigi, yang sebahagian besarnya merupakan penyakit yang boleh dicegah jika seseorang mengamalkan kebersihan mulut yang baik serta mengehadkan pengambilan makanan dan minuman manis.

Apabila kerosakan gigi menyebabkan kerosakan kekal, doktor gigi mungkin akan meletakkan tampalan pada kaviti untuk memulihkan bentuk dan fungsi gigi.

Apakah bahan-bahan yang berbeza digunakan untuk tampalan gigi?

Secara tradisional, kaviti ditampal menggunakan amalgam. Bahan tampalan berwarna perak ini (yang diperbuat terutamanya daripada timah, perak, dan kuprum, serta dicampurkan dengan merkuri cecair) adalah berkos rendah dan mudah digunakan. Walau bagaimanapun, kini diketahui bahawa merkuri boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Pada satu mesyuarat antarabangsa, persetujuan telah dicapai untuk mengurangkan (atau menghentikan) penggunaan merkuri, termasuk dalam tampalan pergigian. Bahan tampalan alternatif yang bebas merkuri dan boleh diletakkan dalam satu temu janji pergigian termasuk:

- RBC: bahan tampalan berwarna putih atau sewarna gigi, yang boleh diletakkan secara berlapis atau sekaligus.

- simen ionomer kaca (GIC): kadangkala digunakan sebagai tampalan sementara. Bahan ini kurang kuat dalam sesetengah keadaan, justeru tidak sesuai digunakan pada permukaan kunyahan gigi.

- GIC diubah suai dengan resin (RMGIC): GIC hibrid yang lebih kuat daripada GIC, tetapi tidak sekuat RBC.

- compomers: alternatif kepada RMGIC, tetapi mempunyai ciri yang lebih hampir kepada RBC berbanding GIC.

RBC, RMGIC, dan compomers menggunakan sistem pelekat untuk melekatkan bahan tersebut pada gigi, dan memerlukan pengerasan menggunakan cahaya (light-curing) untuk mengeraskan bahan tersebut. Ini tidak diperlukan bagi GIC.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui:

- manfaat sesuatu bahan tampalan berbanding bahan tampalan lain dalam mengurangkan kehilangan gigi (akibat kegagalan tampalan), kegagalan tampalan (apabila tampalan tidak berfungsi seperti yang sepatutnya), tempoh masa sebelum kegagalan tampalan berlaku, dan sensitiviti gigi selepas prosedur.

- sama ada sesuatu bahan tampalan lebih kos efektif berbanding bahan tampalan yang lain.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari ulasan sistematik yang menilai bahan-bahan yang digunakan untuk tampalan gigi pada gigi belakang kekal. Ulasan ini mengumpulkan semua bukti yang tersedia daripada kajian yang telah diterbitkan dan menganalisis keputusannya. Kami merumuskan keputusan daripada ulasan tersebut bersama-sama dengan penilaian tahap keyakinan terhadap bukti yang dilaporkan (berdasarkan faktor seperti kaedah ulasan atau kajian serta saiz kajian).

Kami juga mencari kajian ekonomi yang menilai keberkesanan kos bahan-bahan tersebut.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 14 ulasan yang dengan 57 kajian. Kajian-kajian tersebut dijalankan antara tahun 1980 hingga 2023. Satu kajian mempunyai tempoh susulan selama 10 tahun, namun secara umumnya tempoh susulan adalah jauh lebih singkat. Sesetengah ulasan tidak melaporkan keputusan bagi hasil utama yang kami tetapkan, dan terdapat juga kajian yang sama dimasukkan dalam lebih daripada satu ulasan. Kami mengutamakan bukti daripada enam ulasan yang merangkumi 25 kajian yang unik.

Kami menemui tujuh kajian yang menilai keberkesanan kos.

Keputusan utama

Kami tidak menemui sebarang ulasan yang menyediakan bukti mengenai kehilangan gigi atau tempoh masa sebelum kegagalan tampalan berlaku.

- Walaupun tampalan amalgam mungkin mengalami kadar kegagalan yang lebih rendah berbanding tampalan RBC (8 kajian, 3486 tampalan), kajian-kajian tersebut bermula pada penghujung tahun 1990-an. RBC, serta pengalaman doktor gigi dalam menggunakannya, telah bertambah baik sejak itu. Kadar kegagalan tampalan RBC pada masa kini berkemungkinan sekitar 5% (berbanding 15% dalam kajian-kajian yang lebih lama). Ini bermaksud bukti yang lebih lama membandingkan amalgam dengan RBC adalah kurang relevan dalam amalan pergigian masa kini.

- Kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara bulk-fill dan RBC standard dalam mengurangkan kegagalan tampalan (7 kajian, 511 tampalan). Kebanyakan individu berkemungkinan tidak akan mengalami sensitiviti gigi selepas penggunaan mana-mana jenis bahan RBC (5 kajian, 510 tampalan).

Mungkin tiada perbezaan antara RBC standard dan GIC dalam mengurangkan kegagalan restorasi (1 kajian, 60 tampalan) atau sensitiviti gigi (4 kajian, 311 tampalan). RMGIC mungkin lebih berkemungkinan untuk mengurangkan kegagalan berbanding GIC (1 kajian, 50 atau 38 tampalan). Kami menemui ulasan yang membandingkan GIC dengan amalgam dan kompomer, tetapi ulasan tersebut tidak melaporkan kegagalan atau sensitiviti selepas rawatan.

- Kebanyakan kajian ekonomi tidak memberikan sebarang kesimpulan keseluruhan mengenai keberkesanan kos bagi mana-mana bahan tersebut. Satu kajian ekonomi mendapati bahawa tampalan amalgam berkemungkinan bertahan lebih lama dan lebih menjimatkan kos berbanding tampalan RBC, walaupun dapatan ini berdasarkan kajian yang lebih lama (dari akhir tahun 1990-an).

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kebanyakan ulasan tidak memenuhi piawaian tertinggi. Kami menilai hanya dua ulasan sebagai dijalankan dengan baik. Walau bagaimanapun, kebanyakan ulasan melaporkan keputusan yang sangat serupa, walaupun memasukkan kajian-kajian yang berbeza.

Kami kurang yakin terhadap bukti yang merangkumi GIC dan RMGIC kerana kajian-kajian tersebut sering kali kecil dengan bilangan peserta yang sedikit.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga April 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Lewis SR, Walsh T, Glenny AM, Banerjee A, Boyers D, Hatton PV, Mackie C, Martin N, Palin WM, Pritchard MW, Quinn BM, Ramsay CR, Ricketts D, Riley P, Clarkson JE. Restorative materials for direct coronal restoration of permanent posterior teeth: an overview of systematic reviews. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 7. Art. No.: CD016279. DOI: 10.1002/14651858.CD016279.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan