Mesej utama
-
Kafein ialah ubat berkesan yang digunakan untuk mengurangkan risiko kematian atau mengelakkan kerosakan paru-paru yang serius pada bayi pramatang, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami sepenuhnya masa terapi ini harus dimulakan.
-
Bukti ini tidak pasti apabila terapi kafein harus dimulakan pada bayi pramatang.
-
Kajian masa akan datang harus mengkaji perbezaan jangka masa dan sebab berbeza untuk pemberian kafein kepada bayi pramatang disebabkan, berdasarkan kajian semasa, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh.
Apakah kafein?
Kafein ialah ubat yang paling popular yang digunakan pada bayi pramatang untuk apnea (jeda dalam pernafasan) dan untuk mengurangkan risiko kematian dan akibat lain daripada kelahiran pramatang.
Mengapakah kafein penting untuk bayi pramatang di dalam unit rawatan intensif neonatal (NICU)?
Bayi pramatang memerlukan rawatan khas dan penjagaan intensif biasanya mempunyai masalah dengan pernafasan, yang membawa kepada kerosakan organ, termasuk kerosakan otak. Kafein membantu bayi pramatang untuk bernafas dan mengurangkan risiko kematian atau mengelakkan kerosakan paru-paru yang serius pada bayi pramatang.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui masa dan sebab yang terbaik untuk memulakan terapi dengan kafein pada bayi pramatang, dan bagaimana ia mempengaruhi:
-
kematian bayi disebabkan oleh sebarang sebab;
-
penyakit paru-paru jangka panjang;
-
sebarang kesan negatif penggunaan kafein yang membawa kepada pemberhentian terapi;
-
berapa lama seseorang bayi mungkin perlu diudarakan;
-
berapa lama seseorang bayi mungkin perlu tinggal di dalam hospital;
-
bilangan bayi dengan sekurang-kurangnya satu episod apnea;
-
hipoksemia berjeda (penurunan pendek dalam tahap oksigen).
Apakah yang dilakukan?
Kami telah menyemak 11 kajian yang telah menggunakan kafein dalam jangka masa berbeza dan untuk sebab berbeza, yang bermaksud, kafein telah diberikan:
-
dalam masa dua jam hidup berbanding dengan 2 hingga 24 jam;
-
dalam masa 72 jam hidup berbanding dengan selepas 72 jam hidup;
-
dalam masa 72 jam hidup berbanding dengan rawatan bayi dengan gejala;
-
dengan gejala minimum berbanding dengan kafein yang bermula dengan apnea serius (yang memerlukan bantuan pernafasan semula dengan sentuhan atau sokongan pernafasan);
-
semasa rawatan dengan respirator berbanding dengan kafein yang dimulakan pada masa extubasi (penyingkiran tiub pernafasan).
Kami telah menganalisis dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan bagaimana kajian dijalankan dan saiz kajiannnya.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah menyertakan 11 kajian dengan 774 bayi, yang diterbitkan antara 2014 dan 2023. Kami telah menemui tujuh kajian yang sedang berlangsung.
Apakah keputusan utama?
-
Bukti adalah sangat tidak pasti untuk hasil yang dilaporkan dalam perbandingan: kafein dalam masa dua jam hidup berbanding dengan 2 sehingga 24 jam, dan kafein dalam 72 jam hidup berbanding dengan selepas 72 jam hidup. Walau bagaimanapun, kafein dalam 72 jam hidup adalah cenderung untuk mengurangkan risiko apnea dan penyakit paru-paru jangka panjang.
-
Kafein yang diberikan dalam masa 72 jam hidup cenderung untuk mengurangkan risiko penyakit paru-paru jangka panjang berbanding dengan merawat bayi yang mempunyai gejala. Kami mempunyai sedikit keyakinan atau tidak yakin dengan hasil lain dalam perbandingan ini, disebabkan tidak terdapat kajian yang mencukupi untuk menjadi yakin tentang keputusan hasil kami.
-
Tiada kajian yang telah membandingkan kafein yang bermula pada bayi dengan gejala minimum berbanding dengan kafein yang bermula dengan apnea serius (dikendalikan dengan rangsangan atau pengudaraan).
-
Kafein yang bermula semasa pengudaraan mekanikal mungkin menyebabkan pengurangan besar dalam berapa lama bayi perlu diudarakan dan mungkin mengurangkan risiko penyakit paru-paru jangka panjang berbanding dengan kafein yang bermula pada masa penyingkiran tiub pernafasan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan kafein bermula pada bayi dengan gejala minimum kepada kafein yang dimulakan dengan apnea serius (dikendalikan dengan rangsangan atau pengudaraan). Tiada kajian yang telah melaporkan hipoksemia berjeda (penurunan pendek dalam tahap oksigen). Keputusan kajian yang akan datang boleh mengubah hasil ulasan ini.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga 23 April 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.