Mesej utama
Berbanding dengan tiada aktiviti fizikal, sebarang jenis aktiviti fizikal mungkin membantu kanak-kanak yang menghidapi obesiti untuk mengurangkan BMI mereka ('indeks jisim badan' digunakan untuk mengenalpasti sama ada seseorang mempunyai berat badan yang sihat) dan mungkin mengurangkan peristiwa kecil tidak diingini, tetapi kami tidak pasti tentang keputusan ini.
Kami tidak tahu sama ada aktiviti fizikal mempunyai sebarang kesan terhadap berat badan, peratusan lemak badan, kesejahteraan hidup dan paras gula darah di kalangan kanak-kanak yang menghidapi obesiti dibandingkan dengan tiada aktiviti fizikal atau jenis atau jumlah aktiviti fizikal yang lain. Kami juga tidak tahu sama ada aktiviti fizikal mempunyai sebarang kesan terhadap bilangan kesan serius tidak diingini.
Kami memerlukan kajian yang lebih besar, jangka panjang dan berkualiti lebih baik untuk lebih pasti tentang kesan aktiviti fizikal terhadap kanak-kanak yang menghidapi obesiti.
Apakah itu obesiti?
Obesiti adalah apabila seseorang mempunyai terlalu banyak lemak badan. Di seluruh dunia, obesiti dalam kalangan kanak-kanak (berumur 0 hingga 9 tahun) telah meningkat dengan ketara sejak tahun 1975. Lebih daripada 300 juta kanak-kanak dan remaja (berumur 10 hingga 19 tahun) mungkin akan menghidapi obesiti menjelang 2050.
Kanak-kanak yang menghidapi obesiti lebih cenderung untuk menghidap masalah kesihatan seperti penyakit jantung, angin ahmar, kencing manis, beberapa jenis kanser, penyakit hati, asma, masalah sendi dan otot, dan jangkitan di kemudian hari. Obesiti kanak-kanak juga dikaitkan dengan kadar kebimbangan dan kemurungan yang lebih tinggi.
Penurunan berat badan adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko kesihatan yang disebabkan oleh obesiti. dalam kalangan kanak-kanak, ini biasanya dilakukan melalui perubahan gaya hidup seperti melakukan lebih banyak aktiviti fizikal (contohnya permainan berlari atau permainan video interaktif yang menggalakkan pergerakan (kadangkala dipanggil 'exergaming')) dan makan makanan yang lebih sihat.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada, dibandingkan dengan tiada aktiviti fizikal, aktiviti fizikal membantu kanak-kanak yang mengalami obesiti:
mengurangkan BMI mereka ('indeks jisim badan' menunjukkan sama ada seseorang mempunyai berat badan yang sihat; berat badan mereka dibahagikan dengan ketinggian mereka didarab dengan dirinya sendiri, dinyatakan sebagai kg/m2) atau skor-z BMI (bagaimana BMI seseorang dibandingkan dengan BMI orang lain yang sama umur dan jantina);
menurunkan berat badan;
meningkatkan kesejahteraan hidup mereka;
mengurangkan peratusan lemak badan atau memperbaiki cara lemak badan diagihkan di dalam badan; dan
menurunkan paras gula darah mereka.
Kami juga ingin mengetahui sama ada satu jenis atau jumlah aktiviti fizikal adalah lebih baik daripada jenis atau jumlah lain dalam menghasilkan manfaat ini, dan sama ada program aktiviti fizikal tersebut membawa kepada sebarang kesan tidak diingini.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan penyertaan dalam aktiviti fizikal dengan:
tiada aktiviti fizikal;
jenis atau jumlah aktiviti fizikal yang lain.
Kanak-kanak perlu melakukan aktiviti fizikal selama sekurang-kurangnya 12 minggu. Kami membuat perbandingan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui empat kajian yang memasukkan 517 kanak-kanak. Kajian-kajian tersebut adalah kecil: yang terkecil memasukkan 59 kanak-kanak sahaja dan yang terbesar, 222. Hampir separuh daripada kanak-kanak yang terlibat adalah perempuan (46%). Purata umur mereka ialah 9 tahun.
Dalam tiga kajian, kanak-kanak melakukan aktiviti fizikal selama 12 atau 13 minggu; program aktiviti fizikal kajian keempat berlangsung selama 32 minggu. Kajian-kajian tersebut dijalankan di tiga negara: satu kajian di Brazil, satu kajian di Iran, dan dua kajian di Amerika Syarikat. Dalam kajian di Amerika, 73% kanak-kanak itu adalah berketurunan kulit hitam. Kajian-kajian yang lain tidak menghuraikan etnik kanak-kanak tersebut.
Keempat-empat kajian membandingkan aktiviti fizikal dengan tiada aktiviti fizikal.
Satu kajian juga membandingkan satu jenis aktiviti fizikal (exergaming) dengan jenis lain (senaman kolam renang).
Satu kajian juga membandingkan melakukan aktiviti fizikal yang sama selama 20 minit berbanding 40 minit.
Keputusan utama
Aktiviti fizikal berbanding tiada aktiviti fizikal
Berbanding dengan tiada aktiviti fizikal, kanak-kanak obes yang menyertai mana-mana program aktiviti fizikal mungkin mempunyai:
BMI mereka berkurang sedikit: BMI kanak-kanak dalam kumpulan aktif adalah secara purata 1.52 kg/m2 lebih rendah (2 kajian,118 kanak-kanak);
mengalami lebih banyak kesan kecil tidak diingini: kanak-kanak dalam kumpulan aktif agak-agak 3.5 kali lebih berkemungkinan mengalami kesan kecil tidak diingini (1 kajian, 222 kanak-kanak).
Walaubagaimanapun, kami sangat meragui keputusan penemuan ini.
Kami tidak tahu sama ada aktiviti fizikal memberi sebarang perbezaan kepada kanak-kanak:
skor-z BMI;
berat;
kesejahteraan hidup;
peratusan lemak badan atau bagaimana lemak diagihkan di dalam badan;
paras gula dalam darah;
risiko mengalami peristiwa tidak diingini yang serius.
Satu jenis atau jumlah aktiviti fizikal berbanding jenis atau jumlah yang lain
Kami sangat tidak pasti tentang kesan satu jenis atau jumlah aktiviti fizikal dibandingkan dengan jenis atau jumlah yang lain terhadap mana-mana perkara yang kami minati.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai keyakinan terhad terhadap bukti kerana:
terdapat beberapa kajian dan ia adalah kecil;
jenis aktiviti fizikal adalah berbeza-beza;
pelaporan kajian tentang kaedah dan penemuan mereka adalah lemah;
tiga daripada empat kajian tidak melaporkan semua keputusan mereka.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Disember 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Jacelyn Ong Jia Whey (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




