Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Adakah intervensi aktiviti fizikal di perkhidmatan penjagaan pada luar waktu persekolahan membantu meningkatkan aktiviti fizikal harian kanak-kanak secara keseluruhan?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

Sehingga kini, program-program yang melibatkan aktiviti fizikal di perkhidmatan penjagaan kanak-kanak pada luar waktu persekolahan berkemungkinan untuk meningkatkan aktiviti fizikal peringkat sederhana hingga lasak. Walau bagaimanapun, peningkatan adalah terlalu kecil untuk memberi kesan yang bermakna terhadap tahap aktiviti harian kanak-kanak secara keseluruhan. 

Mengapakah penting untuk meningkatkan aktiviti fizikal kanak-kanak dalam keadaan ini?

Hanya 20% kanak-kanak berumur 5 hingga 17 tahun yang terlibat dalam aktiviti fizikal yang mencukupi bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit (seperti penyakit jantung dan diabetes). Masa di luar waktu persekolahan adalah peluang yang baik bagi kanak-kanak untuk mendapatkan lebih senaman bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka.  Memandangkan berjuta-juta kanak-kanak yang menghadiri perkhidmatan penjagaan kanak-kanak pada luar waktu persekolahan di seluruh dunia, menggunakan tetapan ini adalah mungkin satu cara terbaik untuk meningkatkan keseluruhan aktiviti fizikal harian kanak-kanak ini.

Kami ingin mengetahui sama ada program aktiviti fizikal memberi sebarang perbezaan kepada keseluruhan aktiviti fizikal harian pada kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun di tempat penjagaan kanak-kanak pada luar waktu persekolahan.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari pangkalan data elektronik dan jurnal untuk mendapatkan kajian-kajian yang berkaitan. Kami memasukkan sebarang kajian rawak (dengan mereka mempunyai peluang yang sama untuk diberi intervensi atau tidak) yang mengkaji program-program untuk meningkatkan aktiviti fizikal di tempat penjagaan pada luar waktu persekolahan. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menilai sembilan kajian yang melibatkan seramai 4458 kanak-kanak. Lima kajian memberi tumpuan kepada program berasaskan kakitangan untuk mengubah amalan di tempat penjagaan kanak-kanak pada luar waktu persekolahan (contohnya, perubahan dalam program, aktiviti yang ditawarkan, fasilitasi untuk kakitangan). Dua kajian menggunakan strategi kakitangan dan ibu bapa (contohnya, surat berita dihantar ke rumah dengan maklumat ibu bapa, alat kit ibu bapa ditambahkan pada strategi kakitangan), satu kajian menggunakan program berasaskan kakitangan dan kanak-kanak (contohnya, kanak-kanak mempunyai aktiviti di rumah yang menekankan pendidikan aktiviti fizikal yang ditambah kepada strategi kakitangan) dan satu kajian menggunakan strategi intervensi kanak-kanak sahaja. Secara keseluruhan, hasil kajian menunjukkan bahawa intervensi yang melibatkan kakitangan-dan-ibu bapa; dan kakitangan-dan-kanak-kanak mungkin memberi sedikit atau tidak ada peningkatan dalam keseluruhan aktiviti fizikal harian. Mereka juga mungkin mengakibatkan pengurangan kecil atau tiada dalam indeks jisim badan (ukuran lemak badan berdasarkan ketinggian dan berat badan) dan meningkatkan kecergasan kardiovaskular. Hanya satu kajian yang melihat kepada sama ada faedah dan penggunaan program ini sekurang-kurangnya sepadan dengan harga yang mereka bayar. Kajian ini mendapati latihan dalam talian untuk kakitangan untuk program aktiviti fizikal adalah lebih berpatutan daripada latihan secara bersemuka. Tiada kajian yang melaporkan mengenai kesan yang tidak diingini atau bagaimana intervensi itu mempengaruhi kesejahteraan kanak-kanak.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Semua kajian yang disertakan dalam tinjauan ini adalah dari negara-negara berpendapatan tinggi (Amerika Syarikat dan Norway), jadi kami tidak tahu samada hasilnya adalah serupa sebagaimana di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Lebih banyak penyelidikan dari pelbagai negara dan kajian yang melibatkan strategi yang lain yang biasanya tidak dikaji menggunakan kaedah rawak dapat memperluas dan mengukuhkan bukti yang sediaada.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2020.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Virgara R, Phillips A, Lewis LK, Baldock K, Wolfenden L, Ferguson T, Richardson M, Okely A, Beets M, Maher C. Interventions in outside-school hours childcare settings for promoting physical activity amongst schoolchildren aged 4 to 12 years. Cochrane Database of Systematic Reviews 2021, Issue 9. Art. No.: CD013380. DOI: 10.1002/14651858.CD013380.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan