Langkau ke kandungan utama

Apakah kesan akupunktur dalam menangani rasa sakit pada bayi yang menjalani prosedur yang menyakitkan?

Mesej utama

• Oleh kerana kekurangan bukti, manfaat dan mudarat akupunktur untuk bayi yang menjalani prosedur yang menyakitkan adalah tidak jelas.

• Kajian yang direka dengan baik dan dilaporkan dengan teliti adalah diperlukan untuk menerangkan manfaat dan mudarat akupunktur, turut dibandingkan dengan ubat-ubatan, atau cara berbeza menggunakan akupunktur.

Rasa sakit pada bayi dan akupunktur

Bayi baru lahir di unit rawatan rapi mengalami banyak prosedur yang invasif dan menyakitkan (seperti ujian darah). Bayi baru lahir yang menghadapi episod rasa sakit berulang-ulang yang tidak dirawat atau dirawat tidak sepenuhnya akan mengalami kesan kesihatan yang buruk. Ini khususnya membimbangkan pada bayi baru lahir pramatang, yang khasnya terdedah kepada kesan negatif rasa sakit disebabkan sistem saraf mereka yang belum matang. Menilai rasa sakit pada bayi baru lahir memerlukan penggunaan skala yang sesuai dengan usia. Profil Kesakitan Bayi Pramatang (PIPP) adalah skala yang dibangunkan untuk menilai rasa sakit akut pada bayi pramatang. Skala Kesakitan Bayi Neonatal (NIPS) adalah skala tingkah laku dan ianya boleh digunakan untuk kedua-dua bayi cukup bulan dan bayi pramatang. Skala Kesakitan, Agitasi dan Sedasi Neonatal (N-PASS) dibangunkan untuk menilai rasa sakit yang sedang dialami bayi dan juga sedasi di unit rawatan rapi neonatal.

Akupunktur adalah prosedur rawatan yang mana titik-titik tertentu yang dipanggil 'meridian' dirangsang untuk mempengaruhi fungsi badan. Ia terdiri daripada pelbagai jenis, antaranya adalah akupunktur jarum dengan atau tanpa rangsangan elektrik, akupunktur laser, dan jenis-jenis akupresur manual yang tidak tajam. Selain itu, tempoh dan kekerapan akupunktur adalah berbeza-beza.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui manfaat dan mudarat akupunktur untuk bayi yang menjalani prosedur yang menyakitkan. Hasil kritikal kami adalah tahap kesakitan pada titik masa yang berbeza dan kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan akupunktur dengan: tanpa rawatan, larutan manis, ubat-ubatan, atau jenis akupunktur yang lain (contohnya, akupunktur jarum berbanding akupunktur laser).

Apakah yang kami dapati?

Kami menemukan 11 kajian yang melibatkan 852 orang bayi. Lima kajian membandingkan akupunktur dengan tanpa intervensi atau rawatan palsu; empat kajian membandingkan akupunktur dengan larutan manis; tiada kajian membandingkan akupunktur dengan ubat-ubatan; dan dua kajian membandingkan akupresur dengan urutan kaki atau refleksologi, yang boleh dianggap sebagai rangsangan titik akupunktur yang tidak invasif. Enam kajian menggunakan PIPP; empat kajian menggunakan NIPS; dan satu kajian menggunakan N-PASS.

Akupunktur mungkin mengurangkan rasa sakit pada bayi baru lahir semasa dan tidak lama selepas prosedur jika dibandingkan dengan tanpa rawatan atau rawatan palsu. Walau bagaimanapun, bukti adalah sangat tidak meyakinkan berkenaan kesan akupunktur dalam menghilangkan rasa sakit semasa prosedur apabila dibandingkan dengan larutan manis. Keberkesanan akupresur berbanding urutan kaki atau refleksologi masih tidak jelas.

Keputusan utama

• Berbanding dengan tidak melakukan apa-apa, akupunktur mungkin mengurangkan rasa sakit yang dinilai dengan skala yang berbeza semasa prosedur dan tidak lama selepas prosedur, mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam sebarang mudarat.

• Bukti adalah sangat tidak meyakinkan berkenaan kesan akupunktur dalam menghilangkan rasa sakit, seperti yang dinilai oleh PIPP atau NIPS semasa prosedur dan dengan PIPP sehingga 10 minit selepas prosedur, berbanding dengan larutan manis. Akupunktur mungkin mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam sebarang mudarat.

• Bukti adalah sangat tidak meyakinkan berkenaan kesan akupresur pada rasa sakit yang dinilai semasa prosedur atau sehingga 10 minit selepas prosedur berbanding dengan urutan kaki atau refleksologi.

Kami mengenal pasti empat kajian yang sedang berlangsung.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang rendah hingga sangat rendah terhadap bukti. Semua kajian mempunyai beberapa batasan dalam cara ia dijalankan, seperti masalah dengan kaedah yang digunakan untuk memperuntukkan bayi kepada suatu kumpulan atau kumpulan yang lain dan masalah dengan cara data dilaporkan. Tambahan lagi, para penyelidik menyedari rawatan yang diterima oleh bayi, yang mungkin mempengaruhi keputusan kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Cabano R, Al-Abdallat H, Hamamreh R, Soll G, Oei JL, Schmölzer GM, Bruschettini M. Acupuncture for procedural pain in newborn infants. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD015894. DOI: 10.1002/14651858.CD015894.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan