Mesej utama
-
Ramai individu yang mempunyai penyakit Parkinson mengalami gangguan menelan, yang dikenali sebagai disfagia orofarinks atau ‘disfagia’ sahaja. Keadaan ini boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius, meningkatkan risiko kematian, dan mengurangkan kualiti hidup seseorang.
-
Kami tidak tahu sama ada pelbagai jenis rehabilitasi untuk disfagia membantu individu dengan penyakit Parkinson untuk menelan dengan lebih baik dan selamat disebabkan oleh bukti yang terhad dan berkualiti rendah.
-
Kami memerlukan kajian yang lebih besar, berkualiti tinggi untuk membantu kami memahami rawatan yang mana, sekiranya ada, rawatan rehabilitasi yang paling berkesan.
Apakah disfagia orofarinks?
Disfagia orofarinks (selepas ini dirujuk sebagai ‘disfagia’) ialah masalah kesukaran menelan, sama ada susah atau tidak selamat untuk memindahkan makanan atau minuman daripada mulut menerusi kerongkong dan seterusnya ke dalam perut.
Sebanyak 80% individu dengan penyakit Parkison mengalami disfagia, perkara ini disebabkan oleh Parkinson Disease (PD) menjejaskan bahagian otak yang mengawal pergerakan, melemahkan dan melambatkan otot yang terlibat dalam proses menelan. Akibatnya, makanan atau minimum mungkin tidak dapat bergerak dengan lancar ke dalam perut dan boleh memasuki saluran pernafasa dan bukannya esofagus (paip makanan).
Disfagia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius, termasuk kekurangan zat makanan dan pneumonia aspirasi (di mana makanan atau minuman disedut ke dalam saluran pernafasan atau paru-paru), meningkatkan risiko kematian, dan mengurangkan kualiti hidup.
Bagaimanakah disfagia dirawat dalam individu dengan penyakit Parkinson?
Bagi individu dengan penyakit Parkinson, disfagia biasanya dirawat secara permulaan dengan ubat-ubatan yang bertujuan untuk memperbaiki gejala penyakit Parkinson secara keseluruhan. Sekiranya masalah menelan berterusan, rawatan rehabilitasi mungkin boleh digunakan untuk mencuba menjadikan proses menelan lebih selamat dan senang. Ini termasuk:
-
senaman untuk menguatkan otot pernafasan atau menelan;
-
perubahan pada kedudukan kepala atau badan semasa makan dan minum;
-
perubahan pada tekstur makanan dan minuman;
-
rawatan rangsangan, di mana menggunakan peranti perubatan yang selamat dan lembut untuk menyampaikan rangsangan elektrik atau magnet kepada otat atau saraf dan otot yang terlibat dalam proses menelan, dengan tujuan untuk membantu mengaktifkan dan meningkatkan proses menelan.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada intervensi rehabilitasi untuk disfagia orofarinks (gangguan proses menelan) membantu individu dengan penyakit Parkinson untuk menelan makanan dan minum dengan lebih berkesan dan selamat.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan mana-mana jenis rawatan rehabilitasi (sebagai rawatan tunggal atau digabungkan dengan bentuk pemulihan yang lain atau digabungkan dengan ubat rehabilitasi yang lain) untuk:
-
tiada rawatan;
-
penjagaan biasa (penjagaan standard yang diterima oleh individu dengan penyakit Parkinson dan disfagia);
-
rehabilitasi ‘sham’, di mana rawatan adalah palsu;
-
rawatan tidak aktif, dikenali sebagai ‘plasebo’;
-
satu lagi jenis rehabilitasi disfagia.
Kami mengehadkan fokus kami kepada orang dewasa (18 tahun dan ke atas) dengan penyakit Parkinson. Kami berminat dengan kesan rawatan terhadap:
-
kecekapan dan keselamatan untuk menelan;
-
keterukan disfagia;
-
kualiti hidup;
-
kesukaran bernafas;
-
peristiwa-peristiwa yang tidak diingini atau memudaratkan (dikenali sebagai ‘peristiwa buruk’).
Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 18 kajian yang melibatkan 1216 orang dengan penyakit Parkinson. Empat kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat, lima di Eropah, dan sembilan di bahagian dunia lain. Purata umur peserta adalah antara julat 58.8 hingga 76.2 tahun. Kebanyakan peserta adalah lelaki. Semua kajian telah membandingkan rawatan rehabilitasi kepada penjagaan biasa atau palsu/ rawatan plasebo. Tempoh rawatan berbeza-beza, daripada yang pendek seperti dua minggu kepada yang panjang seperti satu tahun. Kajian-kajian tersebut dijalankan di hospital dan rumah peserta.
Kami mengklasifikasikan kajian-kajian kepada dua kumpulan besar: (1) rawatan tingkah laku dan (2) rawatan rangsangan.
Sepuluh kajian telah meneroka rawatan tingkah laku, seperti latihan kekuatan otot ekspiratori (iaitu senaman yang bertujuan untuk menguatkan otot yang kita gunakan untuk menghembus nafas) dan latihan menguatkan lidah (iaitu senaman yang bertujuan untuk menguatkan otot lidah).
Lapan kajian telah mengkaji satu atau lebih banyak julat rawatan rangsangan, seperti berikut:
-
rangsangan elektrik neuromuskular, di mana arus elektrik yang berintensiti rendah untuk mengaktifkan otot (empat kajian);
-
Rangsangan magnet transkranial berulang, di mana denyutan magnet diberikan kepada kulit kepala untuk merangsang kawasan otat yang terlibat dalam proses menelan (dua kajian);
-
rangsangan otak dalam, di mana isyarat elektrik dihantar kepada kawasan tertentu jauh ke dalam otak untuk membantu mangawal masalah pergerakan dalam penyakit Parkinson (dua kajian);
-
rangsangan arus terus transkranial, di mana arus elektrik yang sangat lemah dialirkan kepada kulit kepala untuk mengubah aktiviti otak (satu kajian).
Semua kajian menilai hasil sejurus selepas rawatan. Enam kajian juga menilai hasil kajian pada mana-mana tempoh masa daripada satu hingga 14 bulan selepas rawatan.
Hanya dua belas kajian telah memberikan data yang sesuai untuk analisis. Bukti yang sedia ada adalah sangat tidak menentu tentang kesan semua rawatan rehabilitasi yang berbeza untuk hasil utama yang kami mahukan (iaitu kecekapan dan keselamatan proses menelan, keterukan disfagia, kualiti hidup, dan masalah pernafasan).
Terdapat maklumat yang sangat terhad tentang peristiwa-peristiwa yang tidak diingini atau memudaratkan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kajian-kajian tersebut secara amnya adalah kecil dan berkualiti rendah. Selain itu, bukan semua kajian memberikan maklumat tentang peserta, rawatan, dan hasil. Sebagai akibatnya, kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga 26 September 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




