Mesej utama
-
Terapi menelan mungkin boleh meningkatkan proses menelan pada mangsa strok selepas mengalami strok baru-baru ini, tetapi tiada satu terapi yang berkesan secara keseluruhan.
-
Keterukan masalah menelan mungkin bertambah baik melalui rangsangan elektrik di bahagian luar leher dan otak, rangsangan saraf dan terapi gabungan. Akupunktur mungkin mengurangkan masalah menelan pada tamat kajian dan meningkatkan keselamatan menelan; ubat mungkin mengurangkan jangkitan dada; dan rangsangan elektrik pada bahagian dalam leher mungkin mengurangkan bilangan orang yang memerlukan tiub pernafasan pada tamat kajian.
-
Kajian masa hadapan haruslah lebih besar dan kualiti.
Mengapakah orang yang pernah mengalami strok memerlukan terapi menelan?
Orang yang pernah mengalami strok sering mengalami kesukaran untuk mengunyah dan menelan air liur, serta makanan dan minuman (dipanggil ‘disfagia’). Ia boleh menjejaskan sehingga 80% mangsa strok dan boleh menyebabkan:
-
tercekik dan jangkitan dada, disebabkan oleh kerana menyedut tetapi tidak menelan air liur dan makanan.
-
kekurangan zat dan penurunan berat badan, mungkin bermaksud pemulihan yang lebih perlahan;
-
kualiti hidup yang buruk;
-
tinggal lebih lama di hospital; dan
-
peningkatan risiko kematian atau dihantar ke pusat jagaan.
Kebanyakan orang mempunyai peningkatan dalam menelan tanpa rawatan, tetapi antara 15% hingga 51% orang masih mengalami masalah menelan sekitar dua minggu selepas strok.
Apakah terapi menelan?
Terapi menelan bertujuan untuk mempercepat pemulihan fungsi menelan dan mengurangkan kesan negatif masalah menelan terhadap kesihatan dan kesejahteraan.
Terdapat banyak jenis terapi menelan; kami melihat kepada yang berikut:
-
akupunktur;
-
senaman menelan;
-
ubat-ubatan;
-
merangsang leher dengan denyutan elektrik (NMES: luar; PES: dalam), atau otak dengan denyutan elektrik (tDCS) atau magnet (TMS, TBS);
-
rangsangan fizikal dengan minuman sejuk, masam atau bergas;
-
rangsangan saraf; dan
-
kombinasi terapi-terapi ini.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin menilai keberkesanan terapi menelan untuk meningkatkan proses menelan dalam kalangan mangsa strok sehingga enam bulan selepas mereka mengalami strok. Kami khususnya ingin menilai:
-
betapa teruknya (keterukan) masalah menelan selepas mendapatkan rawatan;
-
bilangan orang yang mengalami masalah menelan pada tamat percubaan;
-
keselamatan mereka untuk menelan;
-
sama ada jangkitan dada atau pneumonia dikurangkan kerana kemampuan menelan bertambah baik; dan
-
bilangan orang yang bergantung kepada tiub pernafasan.
Apakah yang telah dilakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat terapi menelan yang berbeza untuk dewasa yang mengalami masalah menelan selepas strok. Kajian perlu membandingkan terapi dengan penjagaan biasa, tanpa rawatan, atau rawatan plasebo (iaitu, rawatan tidak aktif yang kelihatan seperti rawatan sebenar). Penjagaan biasa boleh terdiri daripada mana-mana rawatan atau kombinasi rawatan, tetapi mestilah sama untuk semua orang dalam kajian.
Kami membaca kajian-kajian dengan teliti dan merekodkan data yang mereka temui. Kami juga menilai sejauh mana kami boleh mempercayai keputusan mereka dengan melihat sejauh mana besarnya kajian dan sebaik mana ia dilakukan.
Apakah yang ditemui?
Kami menjumpai 181 kajian dengan 11,500 orang.
-
Keterukan masalah menelan selepas rawatan: akupunktur, senaman menelan dan ubat-ubatan boleh mengurangkan masalah menelan tetapi bukti sangat tidak pasti. Rangsangan fizikal dan rangsangan otak magnetik (TBS, TMS) dapat mengurangkan, serta NMES, tDCS, rangsangan saraf dan kombinasi terapi mungkin mengurangkan masalah menelan. PES memberi sedikit atau langsung tiada perbezaan.
-
Bilangan orang dengan masalah menelan pada tamat rawatan: akupunktur mungkin berlaku, dan rangsangan fizikal dan tDCS menyebabkan lebih sedikit orang dengan masalah menelan pada tamat rawatan. Kami tidak pasti tentang kesan senaman menelan dan NMES. Ubat-ubat mungkin dapat mengurangkan, dan PES serta kombinasi terapi mungkin memberi sedikit atau langsung tiada perbezaan.
-
Keselamatan menelan: akupunktur dan TMS mungkin bertambah baik, dan senaman menelan serta PES mungkin meningkatkan keselamatan menelan. TBS mungkin meningkatkan keselamatan menelan, dan NMES serta tDCS mungkin memberi sedikit atau langsung tiada perbezaan pada keselamatan menelan, tetapi bukti sangat tidak pasti.
-
Jangkitan dada atau pneumonia: ubat-ubatan mungkin dapat mengurangkan, dan akupunktur, senaman menelan, PES serta rangsangan fizikal mngkin boleh mengurangkan bilangan jangkitan dada atau pneumonia. Kami tidak pasti tentang kesan NMES. Kombinasi terapi mungkin tidak mengurangkan bilangan jangkitan dada atau pneumonia.
-
Keperluan untuk tiub pernafasan: PES mungkin mengurangkan bilangan orang yang bergantung pada tiub pernafasan. Kami sangat tidak pasti tentang kesan senaman menelan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kebanyakan kajian adalah kecil dan kualiti rendah. Ini menjadikannya lebih sukar untuk percaya hasilnya. Pada masa hadapan, kajian harus menggunakan kaedah yang lebih andal, dan ia haruslah lebih besar supaya kita dapat lebih yakin dengan hasilnya. Banyak terapi menelan melibatkan kaedah penghantaran yang berlainan, ia masih belum jelas pendekatan mana yang paling efektif untuk setiap jenis terapi.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2025. Ini adalah kemas kini ulasan yang asalnya diterbitkan pada tahun 1999 dan dikemas kini pada tahun 2012 dan 2018.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




