Langkau ke kandungan utama

Sejauh manakah ketepatan kekakuan hati dan limpa yang diukur dengan teknik elastografi yang berbeza dalam mendiagnosis hipertensi portal ketara secara klinikal?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Pengukuran kekakuan hati oleh elastografi sementara terkawal getaran dengan potongan 25 kPa mungkin boleh mengesan hipertensi portal ketara secara klinikal (CSPH) seperti yang dicadangkan oleh garis panduan sebelum ini.

  • Kebolehpercayaan keputusan adalah rendah disebabkan oleh masalah dengan kaedah kajian yang sedia ada.

  • Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan sebelum teknik elastografi boleh digunakan secara rutin untuk menilai hipertensi portal.

Mengapakah penting untuk penambahbaikan diagnosis hipertensi portal ketara secara klinikal (CSPH)?

Hipertensi portal adalah tekanan darah tinggi di dalam vena hati, kerap dilihat pada orang yang menghidap penyakit hati kronik. Keadaan ini boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pengumpulan cecair dalam abdomen (asites), penguningan kulit (jaundis), kegagalan buah pinggang, kekeliruan, dan perdarahan berbahaya daripada vena di dalam esofagus. Diagnosis awal adalah penting untuk memulakan rawatan dan mencegah komplikasi tersebut. Ujian standard yang boleh dipercayai, dikenali sebagai kecerunan tekanan vena hepatik, adalah invasif (melibatkan tiub ke dalam vena), mahal, dan tidak sedia ada secara meluas. Justeru itu, kami memerlukan ujian yang bukan invasif, seperti elastografi, sejenis ujian pengimejan yang boleh mengukur betapa kekakuan hati atau limpa, untuk menilai tekanan portal secara tidak langsung.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh mana ketepatan teknik elastografi yang berbeza dan gabungan yang ada untuk mendiagnosis CSPH dalam orang dengan penyakit hati kronik.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian tentang pelbagai teknik elastografi yang mengukur kekakuan hati atau limpa, sama ada menggunakan mesin khusus seperti elastografi, atau mesin ultrasound dan mengesan resonans magnetik seperti elastografi gelombang ricih titik, elastografi gelombang ricih dua dimensi, dan elastografi resonans magnetik, untuk mengetahui sejauh mana ujian ini dapat mengesan CSPH pada ambang berbeza (nilai pemutus).

Keputusan utama

Kami telah menyertakan 47 kajian dengan jumlah 7817 peserta. Secara purata, kira-kira 63 daripada setiap 100 orang dalam kajian ini menghidap CSPH. Ujian yang paling banyak dikaji adalah pengukuran kekakuan hati melalui elastografi sementara terkawal getaran. Terdapat kekurangan kajian yang melihat kepada teknik elastografi atau gabungan ujian yang lain. Terdapat juga beberapa kajian tentang kekakuan limpa.

Pengukuran kekakuan hati melalui elastografi sementara terkawal getaran

Kami telah melihat kepada 27 kajian yang melibatkan 3818 orang. Kajian-kajian tersebut telah menggunakan pelbagai ambang berbeza untuk menentukan bila keputusan pengukuran kekakuan hati yang menunjukkan kehadiran CSPH.

Apabila kajian ini digunakan untuk mengesan hampir semua orang yang menghidap CSPH (90 daripada 100 orang), ia juga boleh menunjukkan dengan tepat bahawa 76 daripada 100 orang sebenarnya tidak menghidap CSPH.

Sebaliknya, sekiranya ujian digunakan dengan cara yang mengelakkan keputusan palsu dalam orang yang tidak menghidap CSPH (dengan betul menolak 90 daripada 100 orang tanpa keadaan tersebut), ia akan menemui CSPH dalam kira-kira 73 daripada 100 orang yang benar-benar menghidapnya.

Dengan menggunakan ambang 25 kPa untuk kekakuan hati (berdasarkan 9 kajian dengan 1553 peserta), ujian tersebut telah mengenal pasti 62 daripada 100 orang yang menghidap CSPH dengan betul. Walau bagaimanapun, ia juga dengan betul telah menolak CSPH dalam kebanyakan semua orang (94 daripada 100 orang) yang tidak mempunyai keadaan tersebut.

Sementara pengukuran kekakuan hati dengan elastografi sementara terkawal getaran dengan ambang 25 kPa mungkin mengesan CSPH, kualiti keseluruhan kajian yang rendah bermakna keputusan tersebut adalah tidak sangat boleh dipercayai. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi adalah diperlukan sebelum elastografi boleh disyorkan untuk mengesan hipertensi portal.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kebanyakan kajian mempunyai batasan, seperti masalah dengan cara orang dipilih untuk dimasukkan ke dalam kajian dan bagaimana ambang ditakrifkan. Hanya 2 daripada 47 kajian telah dinilai sebagai tidak mempunyai sebarang kebimbangan utama. Hal ini mengurangkan keyakinan kami terhadap ketepatan keputusan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini terkini sehingga 8 April 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Vranić L, Nadarević T, Štimac D, Fraquelli M, Manzotti C, Casazza G, Colli A. Liver and spleen stiffness as assessed by vibration-controlled transient elastography for diagnosing clinically significant portal hypertension in comparison with other elastography-based techniques in adults with chronic liver disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 1. Art. No.: CD015415. DOI: 10.1002/14651858.CD015415.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan