Mesej utama
• Latihan kerap untuk menguatkan otot-otot yang menyokong pundi kencing, rahim, dan usus - dikenali sebagai 'latihan otot dasar pelvic' atau PFMT - dengan atau tanpa terapi pelengkap (termasuk akupunktur, Pilates, dan yoga), mungkin merupakan rawatan yang paling berkesan.
• Kajian-kajian yang memberikan rawatan konservatif kepada wanita (seperti PMFT) tidak melaporkan sebarang kejadian serius yang tidak diingini atau memudaratkan (dikenali sebagai 'kejadian yang memudaratkan serius/ serious adverse events'), berbanding dengan kajian-kajian yang memberi rawatan perubatan pada wanita (melalui penggunaan ubatan) melaporkan sebaliknya.
• Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan membandingkan rawatan yang berbeza, terutamanya pembedahan, pada wanita yang lebih tua daripada 60 tahun.
Apakah inkontinen pundi kencing?
Inkontinen pundi kencing (kebocoran air kencing, kemalangan, atau kencing secara tidak terkawal) adalah perkara biasa dan memberi kesan kepada kehidupan seharian. Gejala-gejala sering bertambah teruk seiring bertambahnya usia, memberi kesan kepada gaya hidup, emosi, dan hubungan dengan orang sekeliling pada wanita berusia.
Bagaimanakah inkontinen pundi kencing dirawat?
Rawatan untuk inkontinen pundi kencing boleh dibahagikan secara meluas kepada tiga kumpulan:
• rawatan konservatif, yang merangkumi perubahan gaya hidup (seperti penurunan berat badan) dan latihan seperti latihan otot dasar pelvis untuk meningkatkan kawalan pada pundi kencing;
• ubat-ubatan, yang menenangkan pundi kencing dan meningkatkan kawalan otot di sekitar pundi kencing;
• pembedahan, yang menyokong pundi kencing atau otot yang mengawal aliran air kencing.
Tidak jelas samada rawatan yang berjaya untuk wanita pada usia lebih muda atau pada umur pertengahan, mampu memberikan keputusan yang serupa pada wanita berusia. Menopaus dan penuaan mempengaruhi otot dasar pelvis, dan begitu juga dengan kehadiran masalah kesihatan yang lain (contohnya mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti, sembelit, diabetes, masalah pergerakkan, masalah ingatan). Rawatan yang betul bergantung kepada jenis inkontinen, tahap keparahan, dan tahap kesihatan secara menyeluruh wanita tersebut dan jenis-jenis rawatan yang diplih.
Apakah yang ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui rawatan yang mampu menyembuhkan atau memperbaiki keadaan inkontinen pada pundi kencing pada wanita berusia 60 tahun ke atas, dan sama ada rawatan-rawatan ini membawa kepada sebarang kesan sampingan yang serius.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan rawatan inkontinen pundi kencing dengan (1) tiada rawatan atau penjagaan biasa atau (2) dengan rawatan inkontinen yang lain pada wanita berusia lebih dari 60 tahun. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami memperolehi 43 kajian yang melibatkan 8506 peserta (60 tahun ke atas) yang mengalami inkontinen pundi kencing. Kajian-kajian ini telah dijalankan di negara-negara di seluruh dunia. Kajian terbesar melibatkan 1438 peserta; yang terkecil, 14. Sebanyak 15 kajian (1955 peserta) melaporkan tentang 'penyembuhan'; 14 kajian (3053 peserta) melaporkan mengenai 'menyembuhkan atau bertambah baik', dan 15 kajian (3740 peserta) mengenai kejadian kesan sampingan yang serius.
Keputusan utama
Dari segi 'penyembuhan', kami mendapati bahawa latihan otot dasar pelvis, dengan atau tanpa rawatan pelengkap (termasuk akupunktur, Pilates, dan yoga), mampu memberi kesan lebih baik daripada tiada rawatan atau penjagaan biasa.
Dari segi 'menyembuhkan atau bertambah baik', latihan otot dasar pelvis, dengan atau tanpa komponen pendidikan, menjanjikan kesan lebih baik daripada tiada rawatan atau penjagaan biasa.
Kajian-kajian yang melibatkan wanita melakukan latihan otot dasar pelvis (dengan atau tanpa rawatan pelengkap atau komponen pendidikan) tidak melaporkan sebarang kejadian kesan sampingan yang serius. Kajian-kajian yang melibatkan rawatan ubat-ubatan untuk wanita yang menghidapi inkontinen kencing ada melaporkan beberapa kesan sampingan yang serius.
Kami tidak dapat menilai kesan pembedahan disebabkan oleh kekurangan data yang baik.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Bukti adalah dari beberapa kajian berskala kecil. Kebanyakannya peserta wanita adalah berusia 60 tahun ke atas, tetapi hanya sedikit kajian yang direkabentuk untuk kumpulan umur ini atau melaporkan hasil mengikut umur. Hanya terdapat beberapa kajian mengenai pembedahan yang melibatkan wanita berusia, jadi penemuan kami lebih fokus kepada rawatan bukan pembedahan (konservatif atau penggunaan ubat-ubatan). Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah atau sangat rendah kerana kajian yang sedia ada bersaiz kecil atau kajian tidak dilaporkan dengan baik. Kesimpulan hasil kajian juga berbeza antara kajian, dan perbandingan beberapa rawatan hanya diuji dalam satu kajian, menjadikannya amat sukar untuk membuat kesimpulan yang pasti.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 23 Mac 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.