Mesej utama
-
Diagnosis dan rawatan yang tepat pada masanya adalah sangat penting apabila keratitis bakteria (jangkitan bakteria pada kornea, bahagian hadapan mata yang jernih) disyaki.
-
Keratitis bakteria yang dirawat dengan terapi kombinasi vancomycin + ceftazidime, terapi moxifloxacin sahaja, dan terapi kombinasi cefazolin + tobramycin boleh menyebabkan masa penyembuhan yang paling singkat, manakala terapi ciprofloxacin sahaja boleh menyebabkan masa penyembuhan yang paling lama. Tiga rawatan yang paling kurang berkemungkinan menyebabkan kemudaratan, seperti kerengsaan atau perforasi kornea (lubang pada kornea), adalah terapi kombinasi vancomycin + ceftazidime, terapi kombinasi cefazolin + gentamicin, dan terapi kombinasi chlorhexidine + cefazolin.
-
Penyelidikan lanjut diperlukan untuk meningkatkan keyakinan kami terhadap bukti.
Apakah keratitis bakteria?
Kornea ialah tingkap hadapan mata yang jernih yang diperlukan untuk penglihatan dan pertahanan mata. Keratitis bakteria adalah jangkitan kornea yang disebabkan oleh bakteria. Ia boleh akibat kesakitan, kemerahan, penglihatan kabur, dan jika tidak dirawat dengan segera, boleh mengakibatkan kemudaratan kepada penglihatan, buta, dan juga kehilangan mata. Rawatan biasanya melibatkan titisan mata antibiotik untuk melawan jangkitan, dengan beberapa kes memerlukan pembedahan untuk menyelamatkan penglihatan atau mata seperti pemindahan kornea.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mencari terapi antibiotik topikal terbaik untuk merawat keratitis bakteria. Kami mentakrifkan terapi 'terbaik' sebagai terapi yang boleh menyebabkan penyembuhan kornea sepenuhnya dalam jangka masa yang singkat; kami juga mempertimbangkan pengurangan saiz ulser kornea (luka terbuka di bahagian luar kornea), penglihatan selepas rawatan, dan risiko kesan tidak diingini .
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan berbeza jenis titisan mata antibiotik atau plasebo (rawatan palsu, seperti titisan mata yang mengandungi campuran garam dan air). Kami ingin tahu titisan mata antibiotik yang mana paling berkesan dalam menyembuhkan jangkitan dan mempunyai kesan tidak diingini yang paling sedikit. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti perkaedahan dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami sertakan 23 kajian yang melibatkan sejumlah 2692 orang. Kajian-kajian tersebut sangat berbeza dari segi jenis antibiotik yang digunakan dan hasil yang diukur. Kami mengelompokkan antibiotik mengikut kelas ubat dan kombinasi untuk membentuk 10 kumpulan besar. Terapi kombinasi vankomisin + ceftazidime, terapi moksifloxacin sahaja, dan terapi kombinasi cefazolin + tobramycin menunjukkan masa penyembuhan yang paling singkat. Terapi Ciprofloxacin sahaja menunjukkan masa penyembuhan yang paling lama. Terapi kombinasi vankomisin + ceftazidime, terapi kombinasi cefazolin + gentamisin, dan terapi kombinasi klorheksidin + cefazolin adalah yang paling kurang berkemungkinan mengakibatkan kemudaratan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami kurang yakin dengan bukti secara keseluruhan. Walaupun terdapat kepelbagaian dalam rawatan yang dikaji dan populasi disertakan, ini kebanyakannya mencerminkan amalan klinikal dan ketidakpastian semasa tentang rawatan terbaik. Terdapat juga banyak perbezaan merentasi kajian dalam reka bentuk kajian, keterukan jangkitan dan cara mengukur hasil. Kesan yang ditunjukkan dalam ulasan kami berkemungkinan akan berubah dengan penambahan bukti baharu.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




