Mesej utama
-
Menggabungkan strategi untuk mengubah diet dan tahap aktiviti fizikal dalam kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun untuk membantu mencegah berat badan berlebihan dan obesiti mungkin mengurangkan sedikit indeks jisim badan (BMI) dalam jangkamasa panjang (selepas 15 bulan).
-
Terdapat sangat sedikit maklumat tentang sama ada strategi tersebut mengakibatkan peristiwa buruk yang serius (contohnya kecederaan), tetapi tiada satu pun daripada strategi tersebut nampaknya mengakibatkan sebarang kemudaratan serius kepada kanak-kanak.
-
Penyelidikan masa hadapan harus menjalankan strategi pencegahan dalam latar komuniti dan menyasarkan penentu obesiti yang lebih luas dan pencegahan obesiti.
Mengapakah pencegahan obesiti dalam kanak-kanak penting?
Terdapat peningkatan bilangan kanak-kanak kecil yang hidup dengan berat badan berlebihan dan obesiti di seluruh dunia, dengan bukti kadar yang meningkat sejajar dengan ketidaksamaan sosial. Hidup dengan berat badan berlebihan semasa zaman kanak-kanak boleh mengakibatkan masalah kesihatan fizikal dan psikologi. Kanak-kanak yang hidup dengan berat badan berlebihan lebih cenderung untuk hidup dengan berat badan berlebihan apabila dewasa dan terus mengalami kesihatan fizikal dan mental yang lemah.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin tahu sama ada strategi untuk membantu mengubah diet atau aktiviti (atau kedua-duanya) berkesan untuk mencegah obesiti dalam kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun, dan sama ada ianya dikaitkan dengan sebarang peristiwa buruk yang serius. Untuk mengkaji obesiti, kami telah menggunakan ukuran indeks jisim badan (BMI). BMI dikira dengan membahagikan berat seseorang (dalam kg) dengan ketinggian mereka (dalam m 2 ).
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat kepada cara untuk mencegah obesiti dalam kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun. Kami tidak menyertakan kajian yang hanya menyasarkan kanak-kanak yang sedang hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti, tetapi kami telah menyertakan kajian yang melibatkan kanak-kanak pelbagai julat berat. Kami hanya menyertakan kajian sekiranya mereka menggunakan kaedah yang bertujuan untuk mengubah diet kanak-kanak, tahap aktiviti (meningkatkan aktiviti fizikal atau mengurangkan tingkah laku sedentari), atau kedua-duanya. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kaedah dan saiz kajian. Kami mengumpulkan kajian-kajian untuk dianalisis bergantung pada sama ada ia bertujuan untuk menambah baik diet, aktiviti, atau kedua-duanya.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah menemui 67 kajian yang melibatkan 36,601 kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun. Kebanyakan kajian (63 daripada 67) adalah berpusat di negara berpendapatan tinggi, dan empat di negara-negara berpendapatan sederhana atas. Dalam 26 kajian, strategi telah dijalankan dalam latar penjagaan kanak-kanak, 23 kajian kebanyakannya berasaskan rumah, dan 10 dilaksanakan dalam kedua-dua latar penjagaan kanak-kanak dan berasaskan rumah. Hanya 3 kajian yang telah dijalankan dalam komuniti, dan 5 dalam latar penjagaan kesihatan. Tempoh program adalah berbeza-beza: 47 dijalankan selama kurang daripada 9 bulan, dengan yang paling singkat ialah 1 lawatan dan yang paling lama berlangsung selama 3 tahun. Kami telah menganalisis keputusan daripada 56 kajian yang melibatkan 21,404 kanak-kanak.
Penemuan utama
-
Kanak-kanak yang telah dibantu dengan strategi untuk mengubah diet dan tahap aktiviti mereka mungkin boleh mengalami penurunan BMI, berbanding dengan kanak-kanak yang tidak diberikan sebarang strategi. Ini bermakna kanak-kanak tersebut mungkin telah dapat meminimumkan pertambahan berat badan berlebihan dalam jumlah yang kecil yang mana dari sudut kesihatan awam adalah penting.
-
Kanak-kanak yang dibantu dengan strategi untuk menukarkan diet atau aktiviti mereka sahaja tidak menunjukkan pengurangan BMI.
-
Hanya enam daripada 67 kajian yang telah disertakan telah melaporkan peristiwa buruk yang serius, dan tiada kemudaratan yang serius telah dikenal pasti.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Secara keseluruhan, tahap keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah. Namun, kami tidak percaya bahawa hasil daripada lebih banyak kajian dengan reka bentuk yang serupa seperti yang dimasukkan dalam ulasan ini akan menghasilkan tahap keyakinan yang lebih tinggi terhadap keputusan tersebut.
Empat faktor utama telah mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti tersebut.
-
Keputusan adalah sangat tidak konsisten merentas kajian yang berbeza.
-
Tidak terdapat cukup kajian yang melaporkan beberapa jenis hasil tertentu untuk tempoh susulan yang tertentu untuk memastikan keputusan bagi beberapa perbandingan.
-
Keputusan daripada beberapa kajian tidak dilaporkan dengan cara yang membolehkan kami menyertakannya dalam analisis kami dan hal ini mungkin telah memberi kesan kepada hasil gabungan.
-
Kajian secara amnya mempunyai batasan dalam cara ia dijalankan kerana kerumitan kajian dalam kumpulan umur berkenaan.
Ulasan ini tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk menilai sejauh mana keberkesanan strategi-strategi ini bagi kanak-kanak dengan ketidakupayaan atau mereka daripada negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan yang terdahulu. Bukti ini adalah terkini sehingga Februari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.