Langkau ke kandungan utama

Adakah rawatan bukan perubatan membantu orang dewasa dengan epilepsi?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

• Rawatan psiko-tingkah laku mungkin mengurangkan sedikit kekerapan sawan, tetapi kami tidak tahu kesan terhadap kualiti hidup.
• Rawatan minda-badan (seperti yoga) boleh mengurangkan sedikit kekerapan sawan, dan boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap kualiti hidup.
• Secara umumnya, kesan rawatan tidak konsisten merentas kajian dan kekuatan bukti adalah berbeza-beza.

Apakah epilepsi?

Epilepsi adalah keadaan biasa yang menjejaskan otak dan mengakibatkan sawan. Dalam sawan, isyarat elektrik otak tiba-tiba terganggu atau menjadi terlalu aktif.

Apakah peranan rawatan bukan perubatan dalam epilepsi?

Kebanyakan orang dengan epilepsi mengambil ubat anti-sawan setiap hari untuk mengawal sawan. Satu pertiga orang dengan epilepsi tidak mendapat kesan yang baik daripada pengambilan ubat sahaja: sawan berterusan. Tambahan pula, rawatan bukan perubatan mungkin membantu orang dengan epilepsi untuk menguruskan kesan mental, emosi dan gaya hidup akibat keadaan tersebut. Kami telah membahagikan rawatan-rawatan tersebut kepada enam kategori yang luas, berdasarkan cara setiap rawatan direka untuk berfungsi:

• rawatan psiko-tingkah laku, yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku seseorang;
• rawatan minda-badan, seperti relaksasi otot dan yoga;
• rawatan pengurusan diri, yang bertujuan untuk membantu orang memahami dan menguruskan keadaan mereka dengan lebih baik;
• senaman fizikal, seperti latihan kardiovaskular atau aerobik;
• pendekatan penyampaian perkhidmatan yang diterajui oleh jururawat, di mana jururawat pakar epilepsi menyampaikan penjagaan kesihatan;
• pendekatan penyampaian perkhidmatan yang lain, seperti sokongan penjagaan melalui telefon atau sokongan pasukan pelbagai disiplin.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan dalam kategori tersebut adalah lebih baik berbanding penjagaan epilepsi biasa yang diterima oleh orang dewasa dalam:

• mengurangkan bilangan sawan yang dialami;
• meningkatkan kualiti hidup mereka berkaitan kesihatan (HRQoL).

Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan tersebut membawa kepada sebarang peristiwa-peristiwa yang tidak diingini dan memudaratkan.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan dua rawatan bukan perubatan yang berbeza atau sebarang jenis bantuan berbanding penjagaan biasa. Kami memberikan tumpuan kepada orang berumur 16 tahun dan ke atas. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menemui 36 kajian yang melibatkan 5834 orang dengan epilepsi. Kajian tersebut sertakan kumpulan orang yang berbeza-beza: kebanyakannya melibatkan orang dengan sebarang jenis epilepsi (26 kajian); enam kajian yang memberikan tumpuan kepada mereka dengan epilepsi teruk atau epilepsi yang tidak bertindak balas kepada ubat-ubatan; dan empat kajian yang telah melibatkan orang dengan masalah kesihatan tambahan seperti kemurungan atau kesukaran pembelajaran.

Kajian-kajian tersebut telah dijalankan secara global: 21 dalam negara berpendapatan tinggi, tujuh di negara berpendapatan sederhana tinggi, dan lapan di negara-negara berpendapatan sederhana rendah.

Keputusan utama

Kekerapan sawan

• Dua kajian menunjukkan bahawa intervensi psiko-tingkah laku berkemungkinan mengurangkan bilangan sawan dalam tempoh enam bulan selepas intervensi dimulakan.
• Kaedah badan minda, seperti relaksasi otot atau yoga, boleh mengurangkan sedikit kekerapan sawan.
• Tiga kajian menunjukkan bahawa kaedah pengurusan diri mungkin tidak mengurangkan bilangan sawan setiap bulan. Walau bagaimanapun, tiga kajian yang lain menunjukkan mereka kemungkinan membantu lebih banyak orang menjadi bebas sawan. Kesan keseluruhan kekal tidak menentu.
• Kami sangat tidak pasti tentang bagaimana senaman fizikal mempengaruhi sawan.
• Satu kajian menunjukkan bahawa penyampaian perkhidmatan yang diketuai oleh jururawat epilepsi pakar tidak mengurangkan kekerapan sawan dalam jangka pendek.
• Keputusan daripada pendekatan penyampaian perkhidmatan yang lain adalah bercampur-campur.

Kualiti hidup

• Kami sangat tidak pasti sama ada intervensi psiko-tingkah laku meningkatkan kualiti hidup orang ramai.
• Pendekatan minda-badan dan senaman boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti hidup orang ramai.
• Kaedah pengurusan diri boleh meningkatkan sedikit kualiti hidup. Manfaat tersebut tidak ditunjukkan dalam semua kajian.
• Tiga kajian menunjukkan bahawa senaman fizikal boleh mengakibatkan tiada perbezaan kepada kualiti hidup dalam jangka pendek.
• Pendekatan penyampaian perkhidmatan yang diterajui jururawat mungkin tidak memberi perbezaan kepada kualiti hidup.
• Satu pendekatan penyampaian perkhidmatan menunjukkan kemungkinan peningkatan kepada beberapa aspek kualiti hidup.

Hasil lain

Terdapat bukti yang sangat terhad tentang kesan rawatan ini untuk membantu orang mengetahui lebih lanjut tentang epilepsi, penggunaan ubat-ubatan, kesihatan umum dan fungsi sosial dan psikologi. Yang penting, tiada intervensi yang menyebabkan sebarang bahaya atau memburukkan kawalan sawan atau kualiti hidup.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Secara umumnya, kami mempunyai keyakinan yang rendah atau sangat rendah dalam kebanyakan keputusan disebabkan kajian adalah sangat berbeza antara satu sama lain. Mereka telah menguji beberapa jenis rawatan yang berbeza-beza, dijalankan dengan cara dan tempat yang berbeza-beza, dan telah mengukur kekerapan sawan dan kualiti hidup secara berbeza. Kebanyakan kajian adalah kecil dan mempunyai masalah dalam cara mereka direka atau dilaporkan.

Kebanyakan bukti berkaitan dengan kesan jangka pendek rawatan, sehingga enam bulan. Bukti untuk kesan jangka panjang adalah sangat terhad, dan kami adalah sangat tidak pasti tentang bukti tersebut. Keputusan ulasan Cochrane tersebut adalah kompleks. Banyak keputusan bercampur-campur, ada yang positif, ada yang negatif, dan dengan kekuatan bukti berbeza.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Huang Y, Nevitt SJ, Mayer J, Fleeman N, Hill RA, Doherty AJ, Wilson N, Boland P, Clegg AJ, Bilsborough H, Williams EJ, Maden M, Shaw EJ, Tudur Smith C, Kelly R, Marson AG. Service delivery, behavioural, and self-management interventions for adults with epilepsy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 9. Art. No.: CD015284. DOI: 10.1002/14651858.CD015284.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan