Mesej utama
-
Berbanding penanda anatomi, penggunaan panduan ultrasound untuk anestesia neuraksial dalam kalangan orang dewasa mengurangkan bilangan percubaan sehingga berjaya, dan semasa waktu prosedur (penjaruman). Kejayaan ditakrifkan sebagai sama ada bilangan kali jarum dimajukan selepas pergerakan ke belakang, atau bilangan kali jarum itu menusuk kulit.
-
Panduan ultrasound berkemungkinan meningkatkan kadar kejayaan pada percubaan pertama.
-
Panduan ultrasound mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada kepuasan peserta atau kegagalan teknikal. Kegagalan teknikal mungkin melibatkan keperluan untuk menukar kepada anestesia penuh, atau keperluan untuk menghentikan prosedur atau anestesia neuraksial, atau sama ada seseorang mengalami kesan anestesia yang dimaksudkan.
-
Kami tidak tahu sama ada panduan ultrasound mengakibatkan kesakitan semasa prosedur dan peristiwa buruk.
-
Panduan ultrasound dalam anestesia neuraksial mungkin mempunyai beberapa faedah, tetapi itu tidakpasti.
Apakah anestesia neuraksial?
Anestesia neuraksial dilakukan dengan menyuntik anestetik setempat ke dalam ruang di sekeliling saraf tunjang, biasanya di ruang saraf tunjang atau epidural, atau gabungan. Ia adalah teknik biasa untuk mengebaskan bahagian badan tertentu, terutamanya digunakan untuk pembedahan atau semasa kelahiran. Dalam neuraksial anestesia, doktor meletakkan jarum di antara vertebra (tulang belakang). Sebaik sahaja doktor menemui tempat yang betul, sama ada dia akan menyuntik anestetik secara terus, atau meletakkan tiub nipis, yang dikenali sebagai kateter, ke dalam ruang, di mana mereka boleh menyuntik anestetik. Anestesia neuraksial yang berjaya, dengan percubaan sesedikit mungkin, adalah penting untuk mengurangkan komplikasi.
Apakah ultrasound dan bagaimana ia berfungsi?
Ultrasound menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk mencipta imej bahagian dalam badan. Doktor menggunakan peranti tangan, dikenali sebagai prob, untuk menghantar gelombang ultrasound ke dalam badan dan menghasilkan gambar. Anestesia neuraksial konvensional dilakukan dengan menggunakan titik anatomi tertentu pada badan sebagai panduan. Kadangkala jarum tidak semestinya mencapai ruang yang disasarkan, disebabkan kedudukan anatomi yang doktor fikir bahawa dia telah menjumpai dengan menyentuh bahagian yang boleh terkeluar daripada kedudukan asal. Ultrasound membolehkan doktor melihat kedudukan anatomi yang diminati dan saiz struktur penting, dan membantu untuk mengetahui sejauh mana kedalaman dan bagaimana untuk memasukkan jarum.
Dua kaedah berpandukan ultrasound biasanya digunakan. Dalam kaedah yang pertama, ultrasound digunakan sebelum jarum dimasukkan, atau pra-prosedur. Kaedah yang kedua dirujuk sebagai masa nyata, yang bermakna jarum dimasukkan terlebih dahulu, kemudian dialihkan ke tempat yang betul semasa melihat imej ultrasound.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ia lebih baik untuk menggunakan ultrasound atau penanda anatomi untuk memandu jarum bagi anestesia neuraksial kepada orang dewasa. Kami juga ingin mengetahui sama ada pemandu ultrasound membawa kepada kesan yang tidak diingini serupa seperti penanda anatomi.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang menyiasat perbandingan antara panduan ultrasound dan penanda anatomi untuk anestesia neuraksial kepada orang dewasa. Kami membandingkan dan merumus keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah menemui 65 kajian dengan 6823 orang. Kajian telah dijalankan di Afrika,Asia, Eropah, Timur Tengah, Amerika Utara, dan Oceania. Empat kajian telah menilai ultrasound masa nyata sebagai satu intervensi.
-
Berbanding tanda anatomi, panduan ultrasound mengurangkan bilangan percubaan yang diperlukan untuk meletakkan jarum dengan purata sebanyak 0.41 percubaan setiap seorang, dan mengurangkan masa prosedur (penjaruman) dengan purata 34 saat.
-
Panduan ultrasound berkemungkinan meningkatkan kadar kejayaan untuk percubaan pertama: 778 daripada 1000 orang berjaya pada percubaan pertama dengan panduan ultrasound, berbanding 556 daripada 1000 orang dengan penanda anatomi.
-
Panduan ultrasound mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada kepuasan pelanggan atau kegagalan teknikal.
-
Panduan ultrasound mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kesakitan semasa prosedur atau kesan yang tidak diingini, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami berkeyakinan sederhana hingga tinggi terhadap penemuan kami berkaitan bilangan percubaan, tempoh masa untuk prosedur, dan bilangan kejayaan percubaan pertama.
Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti tersebut terhadap:
-
Kepuasan peserta, disebabkan ia sukar untuk menyembunyikan siapa yang menerima bimbingan ultrasound. Keputusan adalah sangat tidak konsisten merentas pelbagai kajian.
-
Kegagalan teknikal, disebabkan tidak mempunyai kajian yang mencukupi untuk mengesahkan keputusan hasil tersebut.
-
Kesakitan semasa prosedur, disebabkan sukar untuk menyembunyikan siapa yang menerima panduan ultrasound. Keputusan sangat tidak konsisten merentas beberapa kajian, dan keputusan melibatkan mereka yang mengalami kesakitan dan mereka yang tidak.
-
Kesan yang tidak diingini, disebabkan kesukaran untuk menyembunyikan siapa yang telah menerima panduan ultrasound, dan tiada kajian yang mencukupi untuk memastikan keputusannya. Hasil ini juga perlu ditafsirkan dengan berhati-hati, disebabkan terdapat pelbagai definisi dalam setiap kajian, seperti sakit belakang atau sakit kepala.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga November 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.