Langkau ke kandungan utama

Apakah yang mempengaruhi orang untuk membiayai, menyediakan, dan menghadiri pemeriksaan kesihatan umum?

Mesej utama

• Orang memutuskan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan umum berdasarkan beberapa perkara, seperti mengetahui pemeriksaan kesihatan umum dan mendapatkan peringatan daripada keluarga, rakan, atau penyedia penjagaan kesihatan. Di tempat-tempat di mana pemeriksaan kesihatan umum dan rawatan adalah tidak percuma, sumber seperti masa dan duit juga memainkan peranan. Sesetengah orang mengelakkan pemeriksaan kesihatan umum disebabkan mereka takut tentang hasil yang buruk.

• Kami telah menemui kurang maklumat tentang pembiaya dan penyedia penjagaan kesihatan, oleh itu kami kurang memahami secara sepenuhnya apa yang mendorong keputusan mereka tentang dana atau menyampaikan pemeriksaan kesihatan umum.

• Orang harus berfikir dengan teliti sama ada untuk menjalani pemeriksaan kesihatan umum, mempertimbangkan kebaikan dan keburukan dan mengambil kira kesihatan dan keadaan mereka sendiri.

Apakah pemeriksaan kesihatan umum?

Pemeriksaan kesihatan umum adalah pemeriksaan kesihatan rutin yang ditawarkan kepada orang yang berasa sihat, terutamanya di negara-negara yang lebih kaya. Hal ini termasuk saringan untuk pelbagai kanser, dan menilai risiko orang untuk mendapat diabetes atau penyakit jantung. Saringan ini dipercayai dapat membantu dengan mengesankan risiko atau penyakit awal supaya mereka boleh dirawat, atau supaya orang boleh membuat perubahan kepada gaya hidup mereka. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat risiko. Sebagai contohnya, orang mungkin menerima diagnosis saringan yang salah dan perlu menjalani ujian lanjut, dan kemungkinan rawatan yang tidak diperlukan. Pemeriksaan kesihatan umum adalah mahal untuk disediakan, dan kajian menunjukkan bahawa mereka mungkin tidak berkesan untuk mencegah penyakit jantung.

Apa yang kami ingin ketahui?

Permintaan untuk pemeriksaan kesihatan umum tetap tinggi, tetapi kami tidak tahu sama ada mereka membantu mengurangkan kematian, kanser dan penyakit jantung secara signifikan. Kami ingin memahami apakah faktor yang mendorong pembuat dasar, pengurus dan penyedia penjagaan kesihatan, dan pelanggan untuk menyediakan dan menghadiri pemeriksaan kesihatan umum.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari untuk kajian di mana pembuat dasar, pengurus penjagaan kesihatan, penyedia penjagaan kesihatan dan pelanggan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka. Kami telah menilai kualiti setiap kajian secara individu dan merumuskan penemuannya.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menemui 146 kajian, dan memilih 36 daripadanya untuk dianalisis. Kebanyakan kajian dijalankan di negara Eropah berpendapatan tinggi, dengan satu pertiga daripada negara berpendapatan sederhana di Eropah Timur, Asia Selatan dan Tenggara, dan Amerika Latin. Kebanyakan pelanggan, penyedia penjagaan kesihatan dan pembuat dasar mempunyai persepsi dan pengalaman yang serupa tentang pemeriksaan kesihatan umum. Kami telah membangunkan 22 penemuan dan menilai keyakinan kami terhadap penemuan sebagai tinggi, sederhana, rendah, atau lebih rendah, yang menunjukkan bagaimana penemuan itu mewakili apa yang kami ingin kaji.

1. Kami mempunyai keyakinan tinggi terhadap bukti penemuan berikut.

• Persepsi pelanggan terhadap penyakit, pencegahan dan risiko yang mempengaruhi pengambilan.

• Kedua-dua penyedia penjagaan kesihatan dan pelanggan percaya bahawa orang yang menyediakan pemeriksaan kesihatan umum perlu mahir dan memahami budaya pelanggan.

2. Kami mempunyai keyakinan sederhana terhadap bukti penemuan berikut.

• Banyak pelanggan melihat pemeriksaan kesihatan umum sebagai cara untuk mendapatkan penilaian kesihatan objektif, jaminan daripada profesional kesihatan dan motivasi untuk kehidupan yang lebih sihat.

• Pelanggan yang takut tentang keputusan yang buruk atau yang hanya mendapatkan penjagaan apabila mereka mempunyai gejala adalah kurang cenderung untuk hadir.

• Sesetengah pelanggan merasakan kewajipan kepada keluarga atau masyarakat mereka untuk menghadiri pemeriksaan kesihatan, mempercayai bahawa ia membantu mengekalkan atau meningkatkan kesihatan mereka.

• Interaksi dengan penyedia penjagaan kesihatan boleh menggalakkan atau tidak menggalakkan kehadiran.

• Ketersediaan, kebolehcapaian dan maklumat yang jelas sangat penting dalam proses membuat keputusan pelanggan.

• Faktor seperti masa, wang dan insurans kesihatan mempengaruhi sama ada orang hadir.

• Penyedia penjagaan kesihatan menghadapi halangan untuk memberikan pemeriksaan kesihatan umum, seperti kekangan masa, kekurangan kakitangan, sumber yang terhad, masalah teknikal dan proses pembayaran balik yang rumit. Ada yang percaya bahawa penawaran pemeriksaan kesihatan umum di lokasi seperti pasar raya atau gereja mungkin meningkatkan akses.

• Pembiaya penjagaan kesihatan, pengurus, penyedia dan pelanggan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai betapa bermanfaat pemeriksaan kesihatan umum sebenarnya.

• Penyedia dan pelanggan penjagaan kesihatan merasakan bahawa meningkatkan kesedaran mengenai pemeriksaan kesihatan umum, termasuk manfaat dan risiko mereka, memerlukan maklumat yang jelas, sistem jemputan yang efektif dan usaha pendidikan.

3. Kami mempunyai keyakinan rendah atau sangat rendah terhadap penemuan berikut.

• Pelanggan lebih suka julat ujian yang besar, manakala penyedia penjagaan kesihatan gemar ujian yang lebih disesuaikan, berdasarkan keperluan orang tersebut.

• Bagi pelanggan, penjelasan yang jelas mengenai keputusan dan cadangan ujian adalah penting. Semua orang bersetuju bahawa penjagaan susulan adalah penting untuk menjadikan pemeriksaan kesihatan umum bermakna.

• Pelanggan melaporkan bahawa latar belakang budaya, norma sosial, agama, jantina dan bahasa membentuk bagaimana orang melihat pencegahan dan penyakit, yang mempengaruhi keputusan mereka untuk menghadiri pemeriksaan kesihatan umum.

• Pembuat dasar percaya bahawa iklim politik yang menyokong dan sokongan daripada pelbagai kumpulan adalah diperlukan untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan umum.

Apakah batasan bukti?

Kami telah cuba untuk menyertakan sampel kajian yang mewakili pelbagai wilayah geografi, tetapan, dan orang. Walau bagaimanapun, terdapat jurang dalam kajian, oleh itu kami tidak dapat memperolehi gambaran yang jelas untuk semua yang kami minati. Secara khususnya, maklumat tentang pembiaya dan penyedia mungkin tidak lengkap.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami telah mencari untuk kajian dalam Januari 2022 dan Ogos 2022. Kajian yang telah kami analisis telah diterbitkan antara 1995 dan 2021.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). . Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Sommer I, Harlfinger J, Toromanova A, Affengruber L, Dobrescu A, Klerings I, Griebler U, Kien C. Stakeholders’ perceptions and experiences of factors influencing the commissioning, delivery, and uptake of general health checks: a qualitative evidence synthesis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD014796. DOI: 10.1002/14651858.CD014796.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan