Mesej utama
• Berbanding dengan antibiotik (ubat yang digunakan untuk merawat julatan besar jangkitan atau penyakit yang disebabkan oleh bakteria), NSAIDs (ubat yang mengurangkan keradangan, kesakitan dan demam) mungkin menghasilkan kurang penyelesaian jangka pendek gejala-gejala jangkitan saluran kencing (1 hingga 4 hari), dan mungkin menghasilkan kurang penyelesaian jangka sederhana gejala-gejala (5 hingga 10 hari).
• NSAID mungkin menyebabkan tempoh gejala yang lebih lama dan mungkin menyebabkan lebih ramai wanita memerlukan rawatan antibiotik menjelang hari ke-30.
Apakah itu jangkitan saluran kencing yang tidak rumit?
Majoriti jangkitan saluran kencing (UTI) dalam kalangan wanita (keadaan yang mana bakteria masuk ke dalam air kencing dan bergerak sehingga ke pundi kencing) adalah tidak rumit (berlaku pada orang yang sihat tanpa kelainan saluran kencing atau keadaan perubatan yang lain) dan swamengehad (menjadi lebih baik tanpa rawatan). Gejala-gejala yang sering dialami ialah rasa pedih semasa kencing, kekerapan kencing meningkat, dan mendesak.
Bagaimanakah jangkitan saluran kencing dirawat?
Apabila gejala-gejala itu mengganggu, rawatan akan biasanya dicari, dan antibiotik (ubat yang digunakan untuk merawat julatan besar jangkitan atau penyakit yang disebabkan oleh bakteria) biasanya akan digunakan. Dengan kedua-dua pesakit dan doktor semakin sedar tentang kesan negatif penggunaan antibiotik yang berulang, lebih banyak usaha yang sedang dilakukan untuk menilai rawatan bukan antibiotik untuk mengawal gejala UTI. Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) adalah ubat yang mengurangkan keradangan, sakit dan demam. Ianya telah dicadangkan bahawa kesan anti-radang NSAID boleh mengurangkan gejala-gejala UTI.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada NSAID adalah lebih baik daripada antibiotik dalam memulihkan gejala-gejala UTI, mengurangkan keterukan dan tempohnya, serta mengurangkan kebergantungan pada antibiotik. Kami juga ingin menyiasat sama ada NSAID adalah berkaitan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang melihat kepada NSAID yang dibandingkan dengan antibiotik atau intervensi lain dalam kalangan wanita dengan UTI yang tidak rumit.
Kami membandingkan dan merumuskan hasil-hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan enam kajian yang melibatkan 1646 wanita secara rawak. Purata umur adalah antara 28 hingga 50 tahun, dan UTI sebelumnya dilaporkan dalam 7.2% hingga 77% wanita. Lima kajian telah dijalankan di pelbagai pusat, dan kajian-kajian tersebut telah dijalankan di Denmark, Jerman, Korea, Norway, Sweden, Switzerland, dan UK.
Berbanding dengan antibiotik, NSAID mungkin menyebabkan kurang penyelesaian jangka pendek gejala (1 hingga 4 hari) dan boleh juga menyebabkan kurang penyelesaian jangka sederhana gejala (5 hingga 10 hari). NSAID mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan peristiwa buruk pada hari ke-30. NSAID boleh menyebabkan tempoh gejala yang lebih lama dan boleh menyebabkan bilangan wanita yang lebih rendah yang mengalami resolusi mikrobiologi (tiada bakteria dalam air kencing) menjelang hari ke-10. NSAID mungkin menyebabkan lebih ramai wanita memerlukan rawatan antibiotik pada hari ke-30.
Berbanding dengan plasebo, NSAID mungkin boleh mengurangkan keperluan untuk rawatan antibiotik tetapi boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada peristiwa buruk menjelang hari ke-30. Berbanding dengan produk herba, NSAID mungkin boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada peristiwa buruk.
Apakah batasan bukti?
Bilangan kajian yang sedikit (bagi setiap perbandingan) dan saiz kajian yang kecil merupakan batasan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian memberikan data tentang hasil yang kami ingin ketahui. Kami mempunyai keyakinan yang sederhana bahawa apabila dibandingkan dengan antibiotik, NSAID menyebabkan kurang penyelesaian jangka pendek gejala UTI dan lebih ramai wanita memerlukan rawatan antibiotik menjelang hari ke-30. Kami kurang pasti tentang kesan terhadap tempoh gejala.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat 18 November 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.