Langkau ke kandungan utama

Adakah prosedur untuk mendorong toleransi terhadap aspirin merupakan rawatan yang berkesan bagi orang dewasa yang mempunyai hipersensitiviti terhadap ubat anti-radang bukan steroid (NSAID)?

Mesej utama

• Disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, manfaat dan mudarat penggunaan aspirin selepas desensitisasi (ATAD) (prosedur untuk mendorong toleransi terhadap aspirin dengan mendedahkan individu kepada ubat tersebut secara beransur-ansur) sebagai pilihan rawatan bagi individu yang mempunyai hipersensitiviti terhadap ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) masih tidak jelas.

• Rawatan dengan ATAD mungkin membawa kepada kualiti hidup yang lebih baik, walaupun bukti yang ada diperoleh daripada kajian berskala kecil‍.

• Kajian pada masa hadapan perlu mempunyai saiz sampel yang mencukupi untuk menunjukkan kesan yang jelas daripada rawatan aspirin terhadap keperluan pembedahan dan penggunaan kortikosteroid.

Apakah penyakit pernafasan yang diperburuk oleh NSAID?

Penyakit pernafasan yang diperburuk oleh NSAID (N-ERD) ialah keadaan hipersensitiviti terhadap NSAID seperti aspirin atau ibuprofen, yang disertai dengan rinosinusitis kronik (keradangan pada hidung dan sinus yang berlanjutan selama 12 minggu atau lebih) dengan atau tanpa polip hidung (bengkak jinak pada lapisan dalam hidung) atau asma. Penggunaan NSAID bagi individu dengan N-ERD boleh menyebabkan hidung berair, hidung tersumbat, sesak nafas atau bahkan bengkak pada lidah atau tekak dalam tempoh 30 hingga 120 minit. Gejala boleh menjadi ringan atau teruk.

Bagaimana penyakit pernafasan yang diperburuk oleh NSAID dirawat?

Individu dengan N-ERD selalunya mengalami rinosinusitis kronik atau asma (atau kedua-duanya). Rawatan dengan ATAD mungkin berkesan untuk mengurangkan simptom pada individu dengan rinosinusitis kronik atau asma yang teruk yang memerlukan ubat (kursus berulang kortikosteroid secara lisan—ubat kuat yang berfungsi untuk mengurangkan keradangan, seperti prednison) atau yang telah menjalani pembedahan berulang untuk rinosinusitis kronik.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin menilai sama ada ATAD boleh menjadi rawatan yang berkesan dan selamat bagi individu dengan N-ERD. Kami ingin mengetahui sama ada ATAD boleh memberi kesan terhadap kualiti hidup atau kawalan asma, serta mengurangkan keperluan untuk kortikosteroid (secara lisan, seperti prednison, yang mungkin mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini) dan mengurangkan keperluan pembedahan bagi individu dengan rinosinusitis kronik.

Apakah yang ingin dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang menyiasat aspirin (sama ada diberikan secara lisan atau disembur terus ke hidung) berbanding plasebo (ubat palsu). Kami berminat dengan orang dewasa dengan diagnosis intoleransi aspirin yang disahkan dengan asma atau rhinosinusitis kronik, atau kedua-duanya. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian yang ditemui serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan kuantiti dan kualiti bukti yang diperoleh.

Apakah yang ditemukan?

Kami menjumpai lima kajian yang melibatkan sejumlah 211 peserta. Kajian-kajian tersebut, yang dijalankan di pusat penjagaan pakar, membandingkan ATAD dengan plasebo pada individu yang disahkan menghidap N-ERD. Dalam semua kajian, rawatan diberikan melalui mulut. Semua peserta mempunyai rhinosinusitis kronik dengan polip hidung. Peserta dalam empat kajian juga menghidap asma, dan dua kajian melaporkan bahawa mereka pernah menjalani pembedahan untuk polip hidung. Keputusan dilaporkan enam bulan selepas rawatan, manakala satu kajian melaporkan data pada 36 bulan. Semua kajian kecuali satu melaporkan sumber pembiayaan kajian.

Kami mendapati bahawa selepas enam bulan rawatan, aspirin harian mungkin meningkatkan kualiti hidup berbanding plasebo (berdasarkan tiga kajian dengan 85 peserta). Masih tidak jelas sama ada rawatan ini memberi kesan terhadap kawalan asma, menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini, mempengaruhi aliran udara melalui hidung, mengubah penggunaan semburan hidung atau inhaler asma, atau mengubah simptom hidung atau paru-paru. Tiada kajian melaporkan mengenai polip hidung pada enam bulan.

Satu kajian melaporkan bahawa aspirin harian selama 36 bulan mungkin meningkatkan kualiti hidup, tetapi mungkin memberi sedikit atau tiada kesan terhadap kejadian kesan sampingan serius, saiz polip hidung, dan keperluan pembedahan. Tiada kesan tidak diingini dilaporkan. Kajian ini tidak melaporkan hasil lain pada 36 bulan.

Kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai kekerapan dan tempoh pengambilan aspirin. Peserta dalam kajian-kajian ini boleh menggunakan ubat lain untuk asma dan rinosinusitis kronik, yang mungkin mempengaruhi keputusan kajian.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti peningkatan kualiti hidup adalah rendah. Kami sangat tidak pasti mengenai bukti berkaitan aspirin dalam mengawal asma atau menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini. Mungkin peserta dalam kajian tersebut sedar tentang rawatan yang mereka terima. Selain itu, saiz sampel kajian-kajian tersebut adalah agak kecil.

Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat Februari 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Lourijsen E, Avdeeva K, Gan KL, Fokkens W. Oral and intranasal aspirin desensitisation for non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAID)-exacerbated respiratory disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 1. Art. No.: CD013476. DOI: 10.1002/14651858.CD013476.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan