Langkau ke kandungan utama

Adakah panduan penjagaan kesihatan komuniti (apabila seorang klinisian membantu para pesakit melalui sistem penjagaan kesihatan) mengurangkan kemasukan tanpa dirancang ke hospital untuk individu berisiko?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

• Orang yang menerima bantuan panduan penjagaan kesihatan komuniti mempunyai kemungkinan yang lebih kecil untuk dimasukkan ke hospital atas sebab yang tidak dirancang pada tahun pertama selepas dilakukan panduan penjagaan kesihatan berbanding mereka yang tidak menerima bantuan jenis ini.

• Kami memerlukan lebih banyak kajian, dengan pelaporan yang lebih baik, untuk mengenal pasti jenis golongan, tetapan dan cara menyampaikan panduan penjagaan kesihatan komuniti yang berkemungkinan memberikan paling banyak manfaat dan untuk memahami kesan ke atas hasil kesihatan yang dilaporkan oleh pesakit.

Apakah panduan penjagaan kesihatan komuniti?

Intervensi terpandu penjagaan kesihatan komuniti melibatkan pihak ketiga, biasanya klinisian terlatih, yang membimbing dan menyokong individu dalam mengakses penjagaan kesihatan yang disediakan oleh pelbagai pihak penjagaan kesihatan dan perkhidmatan, tetapi tidak terlibat secara langsung dalam menyampaikan penjagaan klinikal . Pihak pengelola penjagaan kesihatan secara proaktif membimbing pesakit melalui sistem penjagaan kesihatan yang seringkali kompleks/rumit, bertujuan untuk membantu mereka menerima penjagaan kesihatan yang tepat pada masanya dan memupuk pengurusan diri dan autonomi melalui pendidikan dan sokongan emosi .

Mengapakah ulasan in penting?

Apabila seseorang meningkat usia, mereka sering mengalami keadaan kesihatan kronik (penyakit berpanjangan yang berterusan selama lebih daripada beberapa bulan) yang boleh menyebabkan penggunaan perkhidmatan hospital yang kerap, mengakibatkan peningkatan beban pada sistem kesihatan di seluruh dunia. Mereka yang mempunyai keadaan kesihatan kronik yang kompleks lebih berkemungkinan melaporkan tidak mendapat keperluan kesihatan dan penjagaan yang diperlukan, yang membawa kepada penggunaan perkhidmatan hospital yang kerap. Bukti awal menunjukkan bahawa intervensi penjagaan kesihatan boleh meningkatkan akses seseorang kepada perkhidmatan berasaskan komuniti, mengurangkan keperluan penjagaan kesihatan yang tidak dipenuhi dan membawa kepada pengurangan kemasukan hospital dan kehadiran ke jabatan kecemasan. Bukti lanjut diperlukan untuk mengesahkan bukti ini.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada menyampaikan intervensi terpandu penjagaan kesihatan di peringkat komuniti mengurangkan kadar kemasukan ke hospital yang tidak dirancang (kemasukan ke hospital dan kehadiran di jabatan kecemasan) dan meningkatkan hasil kesihatan yang dilaporkan oleh pesakit, termasuk kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, dalam kumpulan yang dianggap berisiko dimasukkan ke hospital.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian dengan peserta menerima sama ada intervensi yang memenuhi definisi kami tentang intervensi terpandu penjagaan kesihatan atau penjagaan biasa - penjagaan perubatan rutin untuk mencegah dan merawat penyakit. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah memasukkan dan menganalisis 19 kajian, melibatkan 36,745 orang. Semua kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi dan dibiayai oleh institut-institut penyelidikan perubatan atau universiti-universiti. Lima kajian memberi tumpuan kepada populasi dengan pelbagai keadaan kesihatan kronik; daripada ini, tiga menggunakan sistem data hospital untuk mengenal pasti populasi berisiko berdasarkan senarai ciri-ciri yang ada. Empat kajian telah dijalankan di klinik komuniti dan 15 kajian yang lain telah dimulakan di hospital tetapi disampaikan di dalam komuniti. Tujuh kajian menggunakan jururawat berdaftar sebagai pemandu penjagaan, lima menggunakan pekerja sosial, dan satu menggunakan pekerja kesihatan komuniti. Enam kajian menggunakan pasukan pelbagai bidang. Berbilang komponen panduan penjagaan kesihatan ditawarkan merentas kajian, termasuk pemeriksaan, penilaian keperluan, penjagaan dan perkhidmatan berpandu, membangunkan pelan penjagaan, dan panggilan telefon susulan . Panggilan telefon susulan adalah kaedah komunikasi yang paling banyak digunakan dalam kajian-kajian ini.

Keputusan utama

• Berbanding dengan orang yang menerima penjagaan biasa, mereka yang menerima panduan intervensi penjagaan kesihatan di komuniti berkemungkinan kecil untuk dimasukkan ke hospital atas sebab yang tidak dirancang pada tahun selepas intervensi dilakukan.

• Berbanding dengan penjagaan biasa, panduan intervensi penjagaan kesihatan di komuniti boleh membuat sedikit perbezaan atau tiada perbezaan kepada bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital atas sebab yang tidak dirancang pada bulan pertama sleepas intervensi, tetapi bukti sangat tidak pasti.

• Berbanding dengan penjagaan biasa,panduan intervensi penjagaan kesihatan di komuniti mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar pesakit yang dihantar ke jabatan kecemasan, kedua-duanya pada bulan pertama dan tahun pertama selepas intervensi.

• Panduan intervensi penjagaan kesihatan di komuniti dibandingkan penjagaan biasa meningkatkan perkadaran peserta yang mempunyai temu janji sebagai pesakit luar pada bulan pertama, yang boleh menunjukkan bahawa panduan intervensi penjagaan kesihatan di peringkat komuniti membantu mengalihkan penjagaan pesakit ke arah perkhidmatan komuniti.

• Kajian lanjut diperlukan untuk memahami dengan pasti kesan ke atas hasil kesihatan yang dilaporkan oleh pesakit, kepuasan pesakit atas rawatan dan kualiti penjagaan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami yakin panduan intervensi penjagaan kesihatan di komuniti meningkatkan kadar temu janji pada bulan pertama selepas intervensi, dibandingkan penjagaan biasa. Keyakinan kami terhadap bukti untuk hasil-hasil yang lain adalah berjulat dari sederhana hingga sangat rendah. Disebabkan sifat intervensi itu, kemungkinan besar mereka yang terlibat dalam kajian ini mengetahui rawatan yang mereka terima, yang boleh mempengaruhi cara mereka melaporkan hasil, seperti hasil kesihatan yang dilaporkan oleh pesakit. Terdapat juga kepelbagaian dalam jenis hasil yang dilaporkan dan tempoh masa semasa penilaian dibuat.

Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk memahami kesan panduan intervensi penjagaan kesihatan di komuniti melebihi tempoh masa 12 bulan, hasil kesihatan yang dilaporkan oleh pesakit dalam bidang penyelidikan ini, dan aspek panduan intervensi penjagaan kesihatan di komuniti yang paling berkesan. Kami merancang untuk melibatkan pesakit dan orang awam dalam kemas kini kajian ini pada masa hadapan untuk membantu kami dalam mentafsir keputusan-keputusan ini.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Pang RK, Shannon B, Collyer T, Srikanth V, Andrew NE. Community care navigation intervention for people who are at risk of unplanned hospital presentations. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD014713. DOI: 10.1002/14651858.CD014713.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan