Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah manfaat dan risiko albumin bagi pesakit sirosis hati dan jangkitan bakteria?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

Albumin berbanding tanpa intervensi

  • Kami tidak pasti sama ada rawatan albumin berkesan mengurangkan risiko kematian akibat sebarang punca, kesan sampingan serius yang tidak diingini, komplikasi sirosis (kerosakan hati yang teruk), dan jangkitan teruk.

  • Kami sangat tidak pasti sama ada albumin boleh mengurangkan kerosakan buah pinggang.

Albumin berbanding cecair intravena yang lain (seperti koloid sintetik atau larutan garam)

  • Kami tidak pasti sama ada albumin mempengaruhi risiko kematian akibat sebarang punca, kerosakan buah pinggang, meningkatkan kesan sampingan serius yang tidak diingini, atau mengurangkan sepsis.

  • Kajian yang melibatkan lebih ramai peserta diperlukan, dengan peserta dan penyelidik tidak mengetahui jenis rawatan yang diberikan. Kajian-kajian ini harus melibatkan kanak-kanak. Mereka juga perlu mengkaji perbezaan antara jenis albumin yang digunakan dan membandingkannya dengan cecair lain yang diberikan melalui salur darah.

Apakah sirosis hati?

Sirosis hati ialah keadaan apabila hati menjadi berparut dan keras secara perlahan-lahan dalam tempoh yang panjang. Komplikasi sirosis termasuk pengumpulan cecair dalam perut, gangguan fungsi otak, atau perubahan warna kulit menjadi kekuningan. Pesakit yang mengalami sirosis hati lebih mudah mendapat jangkitan bakteria (kuman kecil yang boleh membuat anda sakit). Komplikasi akibat sirosis hati yang teruk sering berlaku dan boleh menyebabkan kematian. Rawatan awal dapat mengurangkan komplikasi dan risiko kematian.

Apakah yang ingin diketahui?

Untuk menilai manfaat dan risiko albumin (protein yang terdapat dalam darah), selain antibiotik, bagi pesakit yang mengalami sirosis hati dan jangkitan bakteria, berbanding tanpa rawatan, plasebo (pil palsu), atau cecair intravena yang lain (produk steril yang diberikan ke dalam vena untuk menambah atau mengekalkan isi padu cecair dalam sistem organ yang bertanggungjawab mengangkut darah melalui saluran darah ke dan dari seluruh bahagian tubuh (iaitu, sistem peredaran darah).

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang menilai keberkesanan pemberian albumin dalam kalangan pesakit sirosis yang mengalami jangkitan, tanpa mengira peringkat umur. Kami mengumpul dan merumuskan data yang diperlukan untuk menjalankan analisis. Kami turut menilai sama ada peserta dalam setiap kajian mempunyai ciri yang serupa, sama ada semua peserta menyelesaikan kajian, serta jenis data yang dikumpulkan dan cara data tersebut diukur. Kami menilai tahap keyakinan terhadap bukti berdasarkan cara kajian dijalankan. Kami menilai kepastian bukti bagi hasil yang dikaji (iaitu, keputusan yang dikumpulkan pada titik masa yang paling lama) sebagai sangat rendah atau rendah.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 11 kajian yang melibatkan 1,273 orang dewasa, dengan purata umur 54 tahun. Tiada kanak-kanak terlibat dalam kajian tersebut. Semua orang yang terlibat dalam kajian menerima antibiotik. Albumin diberikan melalui vena. Dalam lapan kajian, albumin telah dibandingkan dengan tanpa rawatan. Dalam tiga kajian, albumin telah dibandingkan dengan pelbagai jenis cecair intravena. Lima kajian memasukkan 388 orang yang mengalami sirosis hati dan jangkitan pada peritoneum (selaput yang melapisi bahagian dalam perut), yang dikenali sebagai peritonitis bakteria spontan. Empat kajian memasukkan 477 orang yang mengalami sirosis hati dan jangkitan pada pelbagai bahagian badan, seperti paru-paru, saluran kencing (tempat air kencing dihasilkan) dan kulit. Dua kajian melibatkan 408 orang yang mengalami sirosis hati, jangkitan di pelbagai bahagian badan dan tekanan darah yang sangat rendah akibat jangkitan yang teruk.

Satu kajian telah dijalankan di lapan negara Eropah, dan sepuluh kajian telah dijalankan di India, Sepanyol, China, Perancis, Mesir dan Taiwan. Kajian-kajian tersebut dijalankan di klinik atau hospital universiti. Separuh daripada kajian tersebut merupakan kajian jangka pendek yang berlangsung sehingga satu bulan, manakala separuh lagi berlangsung selama tiga bulan.

Sepuluh kajian tidak menerima sokongan daripada syarikat berorientasikan keuntungan atau tidak menyatakan sumber sokongan mereka. Satu lagi kajian melaporkan menerima sebahagian sokongan daripada pihak swasta dalam bentuk penghantaran bekalan albumin.

Keputusan utama

Kami mendapati terdapat beberapa masalah dalam cara kajian-kajian tersebut dijalankan, yang menyebabkan kami kurang yakin terhadap keputusan kajian.

Albumin berbanding tiada intervensi
Adalah tidak pasti atau sangat tidak pasti sama ada albumin mempengaruhi kematian akibat sebarang punca, kejadian serius yang tidak diingini, komplikasi sirosis, dan renjatan septik (iaitu, penurunan tekanan darah dalam jangkitan teruk dengan kerosakan organ). Kami sangat tidak pasti sama ada albumin boleh mengurangkan risiko kerosakan buah pinggang. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan data kesejahteraan pesakit.

Albumin berbanding cecair intravena yang lain

Kami sangat tidak pasti sama ada albumin memberi kesan terhadap risiko kematian akibat sebarang punca kerosakan buah pinggang, atau sama ada albumin boleh meningkatkan risiko kesan sampingan serius yang tidak diingini. Kami tidak pasti sama ada albumin boleh mengurangkan kejadian septik. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan data tentang kesejahteraan atau komplikasi sirosis yang lain.

Bagi kedua-dua perbandingan, kami tidak dapat menilai kesan albumin berdasarkan lokasi jangkitan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami sangat tidak yakin terhadap bukti yang ada kerana terdapat masalah dalam cara kajian direka dan dijalankan. Selain itu, data yang diperlukan untuk menjalankan analisis yang bermakna bagi hasil kajian tidak mencukupi atau tiada. Oleh itu, kami tidak dapat memastikan kesan albumin berbanding tanpa rawatan atau berbanding cecair intravena yang lain.

Sejauh manakah bukti ini dikemaskini?

Bukti terkini adalah sehingga 20 Ogos 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Abigail Oii Zhi Ning (Universiti Malaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Simonetti RG, Perricone G, Nikolova D, Menon S, Gluud C. Albumin for people with liver cirrhosis and bacterial infections. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 7. Art. No.: CD014636. DOI: 10.1002/14651858.CD014636.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan