Langkau ke kandungan utama

Apakah pilihan sokongan pernafasan terbaik melalui hidung untuk bayi pramatang selepas tiub pernafasan dikeluarkan?

Mesej Utama

  • Kami mendapati bahawa sesetengah kaedah mungkin lebih baik daripada yang lain bagi mencegah kegagalan rawatan dan keperluan untuk memasukkan semula tiub pernafasan ke dalam trakea, tetapi buktinya adalah sangat tidak meyakinkan.

  • Lebih banyak kajian diperlukan yang menggabungkan garis panduan ketat dalam reka bentuk kajian, selain membandingkan kaedah yang berbeza menggunakan tekanan udara yang sama, dan melibatkan lebih banyak bayi pramatang yang dilahirkan sebelum 28 minggu kehamilan.

Apakah sokongan pernafasan bukan invasif selepas ekstubasi (mengeluarkan tiub pernafasan selepas bayi menggunakan mesin pernafasan)?

Bayi pramatang sering memerlukan bantuan pernafasan kerana paru-paru mereka belum berkembang sepenuhnya. Ini dilakukan dengan menyambungkan tiub pernafasan yang dimasukkan ke dalam trakea ke mesin yang bernafas untuk bayi. Apabila pernafasan dan paru-paru bayi bertambah baik, bantuan pernafasan bukan invasif yang tidak memerlukan tiub pernafasan diberikan. Ini diberikan melalui hidung (dipanggil pernafasan hidung) untuk menyokong pernafasan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami membandingkan maklumat yang sedia ada daripada literatur perubatan mengenai tujuh jenis sokongan pernafasan hidung (setiap satu menggunakan kombinasi kadar aliran, tekanan, dan pemilihan yang berbeza) untuk menentukan yang mana paling berkesan untuk bayi pramatang selepas pengeluaran tiub pernafasan dalam mencegah kegagalan rawatan (apabila pernafasan bayi bertambah buruk dan bantuan tambahan, seperti lebih banyak oksigen atau tiub pernafasan, diperlukan), mengurangkan keperluan untuk memasukkan semula tiub pernafasan (untuk membantu pernafasan), dan mengurangkan keterukan masalah paru-paru jangka panjang .

Apakah yang kami lakukan?

Kami melihat kajian yang membandingkan kombinasi kadar aliran, tekanan, dan pemilihan waktu yang berbeza yang digunakan untuk menyokong pernafasan bayi pramatang (kurang daripada 37 minggu kehamilan) selepas tiub pernafasan dikeluarkan.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 54 kajian yang melibatkan 6995 bayi pramatang untuk membandingkan pelbagai jenis sokongan pernafasan bukan invasif.

Ventilasi tekanan positif pernafasan hidung yang berselang-seli (menggunakan dua tahap tekanan dengan semburan udara pendek) mungkin mengurangkan risiko kegagalan rawatan dan mungkin mencegah keperluan untuk memasukkan semula tiub pernafasan berbanding dengan tekanan positif saluran pernafasan berterusan melalui hidung (aliran udara yang stabil) atau kanula pernafasan hidung aliran tinggi (udara diberikan melalui tiub kecil pada kadar aliran yang lebih tinggi). Ventilasi berayun frekuensi tinggi bukan invasif (memberikan hembusan kecil dan pantas) berkemungkinan mengurangkan risiko kegagalan rawatan dan berkemungkinan mengelakkan keperluan untuk memasukkan semula tiub pernafasan berbanding tekanan udara positif berterusan melalui hidung (aliran udara yang stabil) atau kanula pernafasan hidung aliran tinggi (tiub kecil pada kadar aliran yang lebih tinggi). Juga, ventilasi berayun frekuensi tinggi bukan invasif yang memberikan hembusan kecil dan pantas mungkin mengurangkan risiko masalah paru-paru yang berpanjangan.

Kepastian kami terhadap bukti adalah pada tahap sederhana hingga rendah, dan kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang kukuh.

Penemuan ini adalah sama seperti apabila mengambil kira kumpulan bayi yang dilahirkan pada usia kandungan 28 minggu atau lebih. Sebaliknya, tiada perbezaan pada bayi yang dilahirkan pada usia kehamilan kurang daripada 28 minggu, walaupun terdapat terlalu sedikit dapatan dalam kalangan populasi ini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Bukti adalah terhad untuk bayi yang lahir pramatang ekstrem yang dilahirkan pada usia kehamilan kurang daripada 28 minggu. Kajian-kajian tersebut juga berbeza dari aspek membandingkan kaedah yang berbeza, terutamanya berkaitan dengan tahap aliran saluran pernafasan. Ini mungkin telah mempengaruhi keputusan tersebut. Akhirnya, kami mempunyai sedikit atau tiada keyakinan terhadap sesetengah keputusan kerana terdapatnya masalah-masalah dalam kaedah kajian dijalankan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini dikemas kini sehingga Januari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Jasmine Lee (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Petikan
Razak A, Shah PS, Kadam M, Borhan S, Mukerji A. Postextubation use of non-invasive respiratory support in preterm infants: a network meta-analysis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 7. Art. No.: CD014509. DOI: 10.1002/14651858.CD014509.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan