Mesej utama
• Keputusan tidak normal bagi ujian rekod aktiviti otak (elektroensefalogram atau EEG) yang mungkin berkaitan dengan peningkatan risiko mendapat sawan lagi.
• Faktor lain, seperti imbasan otak yang tidak normal, sawan semasa tidur (sawan malam), paresis Todd (lemah selepas sawan), atau sejarah keluarga yang menghidap epilepsi, boleh juga meningkatkan risiko, namun buktinya adalah kurang pasti.
• Kami memerlukan kajian berkualiti tinggi untuk membantu doktor meramalkan dengan lebih tepat siapa yang akan mengalami sawan lagi selepas sawan tanpa provokasi yang pertama.
Apakah sawan tanpa provokasi?
Sawan adalah lonjakan mendadak aktiviti elektrik di dalam otak. Ia boleh menyebabkan gegaran, kekakuan badan, merenung, kekeliruan, atau tidak sedarkan diri. Sawan tanpa provokasi ialah sawan yang berlaku tanpa sebab yang segera atau jelas, seperti demam, jangkitan atau kecederaan dalam masa terdekat. Ia mungkin merupakan tanda keadaan asas seperti epilepsi.
Mengapa sawan tanpa provokasi sesuatu yang membimbangkan?
Ramai orang akan mengalami sawan sekali sepanjang hayat mereka — sekitar 1 dalam 20 orang menjelang usia 85 tahun. Selepas sawan kali pertama, doktor selalunya tidak dapat menentukan siapa yang akan terus mengalami sawan. Ketidakpastian ini menyukarkan untuk membuat keputusan tentang memandu, bekerja atau memulakan rawatan.
Doktor memerlukan cara yang boleh dipercayai untuk meramalkan risiko sawan selepas sawan tanpa provokasi yang pertama, untuk memandu diagnosis dan rawatan. Ini amat penting kerana diagnosis epilepsi kini boleh dibuat selepas satu sawan pada sesetengah orang, jika kebarangkalian untuk sawan seterusnya adalah tinggi.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ciri-ciri tertentu — sama ada individu, sawan pertama mereka, atau keputusan daripada ujian perubatan — boleh membantu meramalkan sama ada mereka akan mengalami sawan lagi. Kami melihat pada:
• ciri-ciri peribadi, seperti umur, jantina, dan sejarah epilepsi dalam keluarga;
• ujian perubatan, termasuk imbasan otak (pengimejan resonans magnetik (MRI) atau tomografi terkira (CT)) atau EEG (ujian gelombang otak);
• ciri-ciri sawan, termasuk sama ada sawan berlaku semasa tidur atau berlarutan dalam tempoh yang lama.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian berkualiti tinggi yang menyusuli orang selepas sawan pertama tanpa provokasi untuk melihat jika mereka mengalami sawan berulang. Kami masukkan kajian yang menyusuli orang untuk sekurang-kurangnya enam bulan melibatkan sekurang-kurangnya 30 peserta.
Kami kemudiannya menggabungkan keputusan kajian untuk menilai kekukuhan bukti bagi setiap faktor risiko yang dikaji.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 23 kajian melibatkan 5918 orang. Sesetengah kajian memasukkan orang dewasa, sesetengahnya kanak-kanak, dan sesetengahnya kedua-duanya. Kekukuhan bukti bagi setiap faktor risiko adalah berbeza.
Keputusan utama
• Elektroensefalogram (EEG) tidak normal: orang dengan keputusan EEG yang tidak normal mungkin mempunyai risiko lebih tinggi untuk sawan yang berulang.
Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko sawan berulang:
• imbasan otak yang tidak normal (pengimejan);
• paresis Todd (lemah sementara selepas sawan);
• sejarah keluarga epilepsi;
• sawan semasa tidur (sawan malam).
Kami sangat tidak pasti jika faktor berikut meningkatkan risiko sawan berulang:
• tanda neurologi fokal (masalah pada bahagian badan tertentu, disebabkan oleh masalah di kawasan tertentu otak);
• sawan demam (sawan yang berlaku semasa demam) pada zaman kanak-kanak;
• status epileptikus (apabila sawan tidak berhenti dengan sendirinya, atau sawan berulang tanpa sedar sepenuhnya dalam tempoh antara sawan tersebut);
• sawan fokal (sawan yang bermula dalam
satu bahagian otak);
• jantina lelaki.
Terdapat bukti yang bercanggah tentang sama ada umur kurang daripada 16 tahun merupakan faktor risiko: sesetengah kajian mendapati ia merupakan risiko yang lebih tinggi, yang lain mencadangkan risiko yang lebih rendah. Secara keseluruhan, bukti adalah tidak pasti.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Banyak kajian mengukur dan melaporkan keputusan yang berbeza, menyebabkan ia sukar untuk dibandingkan. Sesetengah kajian kecil atau tidak mengambil kira semua faktor penting. Sebahagian besar dijalankan di negara berpendapatan tinggi, oleh itu dapatan mungkin tidak menggambarkan semua tempat.
Kajian yang lebih besar dan berkualiti tinggi, yang mengukur serta melaporkan faktor risiko sawan dengan cara yang seragam boleh membantu doktor membuat unjuran yang lebih tepat.
Bagaimanakah maklumat ini boleh membantu pesakit dan penjaga?
Mengetahui ciri-ciri yang mungkin berkaitan dengan sawan berulang lebih kerap dapat membantu pesakit dan keluarga untuk berbincang dengan lebih yakin bersama doktor. Ini dapat menyokong keputusan berkaitan rawatan, memandu, sekolah, pekerjaan, dan kehidupan seharian.
Sejauh manakah terkininya ulasan ini?
Ulasan ini memasukkan kajian yang diterbitkan sehingga Disember 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Muhd Alwi Muhd Helmi (International Islamic University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).