Mesej utama
-
Imunoglobulin intravena - rawatan yang dibuat menggunakan antibodi penderma - mungkin menambahbaik simptom dan keupayaan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti harian dalam kalangan pesakit myasthenia gravis, penyakit di mana sistem imun - sistem pertahanan badan - menyerang komunikasi antara saraf dan otot, menyebabkan kelemahan pada otot. Walau bagaimanapun, kesannya mungkin tidak memberi impak kepada pesakit.
-
Berbanding dengan penukaran plasma - prosedur yang menapis antibodi yang memudaratkan dari darah - imunoglobulin intravena mungkin kurang bermanfaat dalam menambahbaik simptom dan boleh memanjangkan tempoh pesakit perlu tinggal di hospital, tetapi kami tidak yakin dengan bukti untuk keputusan ini.
-
Imunoglobulin intravena mungkin menyebabkan rasa sakit kepala sehingga satu pertiga pesakit dan boleh menyebabkan kerosakan pada sel darah merah, walaupun tidak jelas apakah ini akan memberi kesan perbezaan sebenar kepada kesihatan pesakit.
-
Untuk kebanyakan keputusan, kami mempunyai sedikit hingga tiadat keyakinan terhadap bukti disebabkan oleh data dan kualiti kajian yang terhad, yang menekankan keperluan untuk kajian dengan reka bentuk yang lebih baik.
Apakah itu myasthenia gravis?
Myasthenia gravis adalah penyakit yang jarang berlaku di mana sistem imun menyerang komunikasi antara saraf dan otot, menyebabkan kelemahan pada otot. Ia sering mempengaruhi otot yang digunakan untuk pergerakan mata, ekspresi wajah, dan menelan, yang dapat mengurangkan kualiti hidup dan, dalam beberapa kes, meningkatkan risiko kematian.
Bagaimanakah myasthenia gravis dirawat?
Rawatan untuk myasthenia gravis disesuaikan mengikut pesakit dan sering dimulakan dengan ubat-ubatan yang membantu saraf menghantar isyarat kepada otot dengan lebih berkesan. Rawatan-rawatan lain termasuklah ubat-ubatan yang mengurangkan aktiviti sistem imun, rawatan imun bersasar, pembedahan penyingkiran kelenjar timus, penukaran plasma, atau imunoglobulin.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada imunoglobulin yang diberikan melalui saluran darah vena (disebut imunoglobulin intravena, atau IV IG) atau di bawah kulit (disebut imunoglobulin subkutan) memberikan lebih banyak manfaat daripada rawatan-rawatan yang lain, seperti penukaran plasma, kortikosteroid, atau plasebo (rawatan tanpa sebarang kesan), dalam mengurangkan simptom penyakit yang dinilai oleh doktor, dan menambahbaik keupayaan pesakit untuk menjalankan aktiviti-aktiviti harian. Kami juga melihat sama ada imunoglobulin mempengaruhi tempoh pesakit perlu tinggal di hospital, membawa kepada kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan myasthenia gravis, dan menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini berkaitan dengan rawatan-rawatan tertentu, seperti hipotensi (tekanan darah rendah), sakit kepala atau kerosakan sel darah merah.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang membandingkan imunoglobulin dengan rawatan-rawatan lain pada pesakit yang masih mempunyai simptom walaupun menerima rawatan-rawatan yang lain, termasuk pesakit yang dibahagikan secara rawak dalam kumpulan rawatan.
Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah sertakan 12 kajian yang melibatkan 515 orang yang dijalankan di Eropah, Amerika Utara, dan Asia antara tahun 1997 dan 2025. Semua kajian menilai IV IG; tiada kajian menilai imunoglobulin subkutan.
-
IVIG berbanding plasebo: IVIG mampu menambaik simptom yang dinilai oleh doktor dan kemampuan yang dinilai oleh pesakit sendiri untuk menjalankan aktiviti harian untulk sehingga tempoh enam bulan, walaupun kesannya mungkin tidak begitu memberi kesan pesakit, tetapi kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti tersebut. Kami mempunyai keyakinan pada tahap sederhana bahawa IV IG mungkin menyebabkan sakit kepala dalam kalangan sehingga satu pertiga dari jumlah pesakit. Ia boleh menyebabkan kerosakan sel darah merah, walaupun ianya tidak jelas sama ada ini akan memberi perbezaan yang ketara kepada kesihatan pesakit, dan kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti tersebut. IVIG mungkin tidak mengubah tempoh pesakit perlu tinggal di hospital, tetapi kami tidak yakin dengan bukti untuk pernyataan ini. Ia juga mungkin tidak menyebabkan lebih banyak kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan myasthenia gravis, tetapi sekali lagi, kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti tersebut.
-
IVIG berbanding penukaran plasma: IVIG mungkin mempunyai kurang manfaat berbanding penukaran plasma dalam menambaik simptom yang dinilai oleh doktor, tetapi kedua-dua rawatan boleh menambahbaik keupayaan untuk menjalankan aktiviti harian, yang dilaporkan oleh pesakit sendiri pada tahap yang sama dalam tempoh dua minggu pertama. Walau bagaimanapun, kami tidak yakin dengan bukti untuk keputusan ini. IVIG juga boleh menyebabkan tempoh pesakit tinggal di hospital lebih lama daripada rawatan penukaran plasma, tetapi kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti tersebut. Kedua-dua rawatan mungkin tidak memberi perbezaan dalam kesan-kesan yang tidak diingini, tetapi sekali lagi, kami tidak yakin dengan bukti tersebut.
-
IVIG berbanding kortikosteroid: IVIG dan kortikosteroid mungkin tidak memberi perbezaan dalam penambaikan dalam simptom yang dinilai oleh doktor dalam tempoh dua minggu pertama, tetapi kami tidak yakin dengan bukti tersebut. Tiada bukti tersedia untuk hasil-hasil yang lain.
-
IVIg berbanding imunoglobulin subkutan: tiada kajian yang menilai imunoglobulin subkutan atau membandingkannya dengan IVIG atau rawatan-rawatan yang lain.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti berkurang disebabkan oleh data yang terhad, isu tentang bagaimana responden dibahagikan kepada kumpulan rawatan, dan kerana kebanyakan hasil hanya dilaporkan oleh satu kajian sahaja. Tidak ada bukti yang menilai imunoglobulin subkutan atau perbandingannya dengan IVIG atau penukaran plasma. Kami juga tidak menemui data yang boleh digunakan untuk kebanyakan hasil yang telah kami rancang untuk dikaji.
Adakah bukti ini yang terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga September 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).