Langkau ke kandungan utama

Adakah terdapat sebarang rawatan yang boleh mencegah gejala uraemia hemolisis pada individu yang telah dijangkiti bakteria berisiko tinggi?

Mesej utama

• Tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan kaedah terbaik untuk mencegah gejala uraemia hemolisis (HUS) pada pesakit dengan toksin Shiga menghasilkan Escherichia coli (STEC) berkaitan cirit-birit.

• Lebih banyak kajian dengan kumpulan pesakit yang lebih besar diperlukan sebelum sebarang cadangan boleh dibuat.

Apakah gejala uraemia hemolisis?

Gejala uraemia hemolisis (HUS) adalah penyakit serius yang menyerang kanak-kanak terutamanya dan boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk seperti anemia (jumlah sel darah merah yang rendah), kerosakan buah pinggang, kerosakan otak, dan kematian dalam beberapa kes. HUS paling sering berlaku sebagai komplikasi penyakit cirit-birit yang disebabkan oleh bentuk tertentu bakteria Escherichia coli ( E. coli ) yang disebut sebagai E. coli yang menghasilkan toksin Shiga (STEC). Di USA, terdapat kira-kira 2 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak setahun. Walaupun keterukan HUS, pada masa ini tiada amalan piawai untuk merawat pesakit ini selain daripada penjagaan sokongan. Terdapat minat terhadap intervensi yang boleh menghalang berlakunya HUS pada kanak-kanak dengan cirit-birit yang dijangkiti bakteria yang meningkatkan risiko HUS. Beberapa intervensi ini termasuklah antibiotik, antibodi monoklonal toksin Shiga (antibodi yang direka khusus untuk mengikat dengan toksin Shiga), agen pengikat toksin Shiga (iaitu Synsorb Pk), kolostrum lembu yang mengandungi antibodi toksin Shiga, dan penghidratan yang agresif.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui intervensi manakah yang akan menghalang HUS pada individu yang mengalami cirit-birit yang dijangkiti bakteria berisiko tinggi.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menilai faedah dan kemudaratan sebarang rawatan untuk pencegahan HUS pada kanak-kanak atau dewasa yang berbanding sama ada tiada rawatan atau rawatan yang diketahui tidak memberi kesan. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui empat kajian yang dijalankan di Argentina (1), Kanada (2) dan Jerman (1) yang melibatkan 536 kanak-kanak (antara 27 hingga 353) yang mengalami cirit-birit dan dijangkiti bakteria berisiko tinggi. Kajian ini melihat kepada empat rawatan pencegahan berbeza, termasuklah terapi antibiotik, kolostrum lembu yang mengandungi antibodi toksin anti-Shiga (suatu bentuk susu badan yang dikeluarkan oleh kelenjar susu selepas kelahiran), agen pengikat toksin Shiga (Synsorb Pk: agen berasaskan silikon dioksida) dan antibodi monoklonal kepada toksin Shiga (urtoxazumab).

Adalah tidak pasti jika rawatan dengan antibiotik (trimethoprim-sulfamethoxazole) mengurangkan kejadian HUS berbanding tanpa rawatan, berdasarkan data daripada satu kajian. Peristiwa buruk, keperluan untuk terapi penggantian buah pinggang (rawatan perubatan yang menggantikan fungsi normal buah pinggang pada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang), komplikasi neurologi (seperti angin ahmar atau sawan), dan kematian adalah tidak dilaporkan.

Satu kajian yang menyiasat kolostrum lembu untuk pencegahan HUS tidak melaporkan sebarang peristiwa HUS. Adalah tidak pasti jika penggunaan kolostrum lembu meningkatkan risiko sebarang peristiwa buruk. Keperluan untuk terapi penggantian buah pinggang, komplikasi neurologi dan kematian adalah tidak dilaporkan.

Satu kajian menyiasat sama ada Synsorb Pk mengurangkan kejadian HUS, dan keputusannya adalah tidak pasti tentang faedahnya. Keperluan untuk terapi penggantian buah pinggang, komplikasi neurologi dan kematian adalah tidak dilaporkan.

Satu kajian menyiasat urtoxazumab untuk pencegahan HUS dan mengkaji dua dos berbeza (3.0 mg/kg dan 1.0 mg/kg) dan dibandingkan dengan plasebo. Adalah tidak pasti sama ada 3.0 mg/kg atau 1.0 mg/kg urtoxazumab mengurangkan kejadian HUS berbanding plasebo. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan peristiwa buruk berkaitan rawatan dengan salah satu daripada dua dos dibandingkan dengan plasebo. Data adalah tidak pasti tentang risiko komplikasi neurologi dan kematian. Keperluan untuk terapi penggantian buah pinggang tidak dilaporkan.

Apakah batasan bukti?

Kajian yang disertakan mempunyai bilangan peserta yang sedikit, dan keputusannya tidak menyebelahi mana-mana intervensi untuk mengurangkan perkembangan penyakit ini kepada HUS dalam pesakit yang dijangkiti STEC. Tiada kajian baharu disertakan dalam kemas kini ulasan ini. Bilangan dan saiz kajian yang kecil adalah batasan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian memberikan data tentang hasil yang kami mahukan, dan kami tidak pasti mengenai hasilnya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Imdad A, Nelson JR, Tanner-Smith EE, Huang D, Gomez-Duarte OG. Interventions for preventing diarrhoea-associated haemolytic uraemic syndrome. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD012997. DOI: 10.1002/14651858.CD012997.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan