Langkau ke kandungan utama

Sejauh manakah ketepatan ujian molekul pantas automatik kerumitan rendah untuk mendiagnosis batuk kering di luar paru-paru (batuk kering ekstrapulmonari) dan rintangan rifampisin dalam kalangan dewasa dan remaja?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Ujian molekul pantas berkompleksiti rendah boleh membantu mengenal pasti orang dengan batuk kering ekstrapulmonari dan rintangan rifampisin.

  • Ujian-ujian ini dapat mengenal pasti batuk kering dengan tepat dalam cecair serebrospinal, cecair pleura, tisu pleura, cecair sinovial, peritoneal dan perikardial.

Mengapakah penggunaan ujian molekul pantas berkompleksiti rendah untuk batuk kering ekstrapulmonari penting?

Tuberkulosis adalah salah satu daripada 10 penyebab utama kematian di seluruh dunia. Tuberkulosis terutamanya menjejaskan paru-paru tetapi juga boleh berlaku di tempat lain di badan (ekstrapulmonari). Ujian yang cepat dan tepat membantu orang memulakan rawatan lebih awal, yang seterusnya menyelamatkan nyawa. Ujian amplifikasi asid nukleik automatik kerumitan rendah (LC-aNAAT) merupakan ujian pantas yang memberikan keputusan dalam masa kira-kira dua jam, tidak seperti kultur yang mengambil masa berminggu-minggu. Ia juga boleh mengesan rintangan terhadap antibiotik penting untuk batuk kering, seperti rifampisin.

Apakah tujuan ulasan ini?

Untuk mengemas kini bukti tentang sejauh mana LC-aNAAT mengesan batuk kering ekstrapulmonari dan rintangan rifampisin dalam kalangan dewasa dan remaja.

Apakah yang dilakukan?

LC-aNAAT ialah ujian diagnostik molekul pantas yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk mendiagnosis batuk kering dan rintangan rifampisin. Kami menggabungkan keputusan kajian untuk menentukan:

  • sensitiviti untuk pengesanan batuk kering: perkadaran orang dengan batuk kering yang didiagnosis dengan betul sebagai menghidap batuk kering;

  • kekhususan untuk pengesanan batuk kering: perkadaran orang tanpa batuk kering yang dikenal pasti dengan betul sebagai tidak menghidap batuk kering;

  • sensitiviti untuk pengesanan rintangan rifampisin: perkadaran orang dengan rintangan rifampisin yang didiagnosis dengan betul sebagai rintang rifampisin;

  • kekhususan untuk pengesanan rintangan rifampisin: perkadaran orang dengan terdedah kepada rifampisin yang dikenal pasti dengan betul sebagai terdedah kepada rifampisin.

Kami menilai keputusan LC-aNAAT terhadap rujukan standard mikrobiologi dan komposit (kedua-duanya bukanlah standard rujukan yang sempurna kerana batuk kering ekstrapulmonari mempunyai kurang bakteria).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Tiga puluh tujuh kajian menguji nodus limfa, cecair pleura, dan serebrospinal serta spesimen yang lain daripada orang yang dianggap menghidap batuk kering ekstrapulmonari. Kami menemui data untuk 2 LC-aNAAT (Xpert Ultra dan Truenat MTB Plus), tetapi hanya dapat mengumpulkan data untuk Xpert Ultra untuk menghasilkan anggaran ringkasan yang dibentangkan di bawah.

Bagi setiap 1000 orang yang diuji, jika 100 orang menghidap batuk kering:

cecair serebrospinal (16 kajian)

sensitiviti adalah 88% dengan kekhususan 96% terhadap standard rujukan mikrobiologi. Ini bermakna 124 orang akan diuji positif secara keseluruhan, di mana 36 daripadanya tidak menghidap batuk kering (positif palsu); juga, 876 orang akan diuji negatif secara keseluruhan, di mana 12 daripadanya akan menghidap batuk kering (negatif palsu).

cecair pleura (13 kajian)

sensitiviti adalah 74% dengan kekhususan 88% terhadap standard rujukan mikrobiologi. Ini bermakna 181 orang akan diuji positif secara keseluruhan, di mana 107 daripadanya tidak menghidap batuk kering (positif palsu); juga, 819 orang akan diuji negatif secara keseluruhan, di mana 26 daripadanya akan menghidap batuk kering (negatif palsu).

aspirasi nodus limfa (6 kajian)

sensitiviti adalah 71% dengan kekhususan 97% berbanding stadard rujukan komposit. Ini bermakna 94 orang akan diuji positif secara keseluruhan, di mana 23 daripadanya tidak menghidap batuk kering (positif palsu); juga, 906 orang akan diuji negatif secara keseluruhan, di mana 29 daripadanya akan menghidap batuk kering (positif palsu).

rintangan rifampisin (13 kajian)

sensitiviti adalah 100% dengan kekhususan 99% terhadap standard rujukan mikrobiologi. Ini bermakna 105 orang akan diuji positif untuk rintangan secara keseluruhan, yang mana 5 daripadanya akan tanpa rintangan (positif palsu); juga 895 orang akan diuji negatif untuk rintangan secara keseluruhan.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini diguna pakai?

Orang yang disyaki menghidap batuk kering ekstrapulmonari.

Sejauh manakah kami yakin dengan keputusan yang diperoleh?

Kami agak yakin tentang LC-aNAAT dalam cecair serebrospinal dan kurang yakin tentang aspirasi nodus limfa dan cecair pleura untuk Xpert Ultra kerana persoalan kami adalah untuk memahami bagaimana ujian ini akan berfungsi dalam tetapan rutin . Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian untuk aspirasi nodus limfa dan cecair pleura tidak selalu melaporkan tetapan tersebut. Keputusan mereka juga jauh berbeza antara kajian dan beberapa kajian adalah sangat kecil. Kami kurang yakin tentang Truenat MTB plus, kerana terdapat sedikit kajian dan sedikit orang yang diuji. Kedua-dua standard rujukan adalah tidak sempurna, yang boleh mempengaruhi anggaran ketepatan.

Apakah implikasi ulasan ini?

LC-aNAAT boleh membantu dalam mendiagnosis batuk kering ekstrapulmonari, walaupun sensitiviti berbeza-beza merentasi pelbagai spesimen ekstrapulmonari. Walaupun bagi kebanyakan spesimen, kekhususan adalah tinggi, ujian ini jarang sekali memberikan keputusan positif bagi orang tanpa batuk kering. LC-aNAAT mempunyai sensitiviti yang tinggi untuk meningitis tuberkulosis dan sensitiviti serta kekhususan yang tinggi untuk rintangan rifampisin. Walau bagaimanapun, terdapat keperluan untuk lebih banyak data mengenai ujian yang lain dalam kelas teknologi yang sama.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Oleh kerana kultur bukanlah standard rujukan yang sempurna untuk bentuk batuk kering ini, pelbagai kultur setiap spesimen dapat membantu mengukuhkan standard rujukan. Walau bagaimanapun, tidak semua kajian melaporkan bilangan kultur setiap spesimen, yang merupakan batasan dalam ulasan ini.

Adakah ulasan ini yang terkini?

10 Oktober 2023. Satu seruan awam Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk mendapatkan data telah dibuat antara 30 November 2023 dan 15 Februari 2024 untuk mengenal pasti kajian yang tidak diterbitkan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Kohli M, Inbaraj LR, Salomon A, Scandrett K, Korobitsyn A, Ismail N, Srinivasalu VA, Daniel J, Steingart KR, Takwoingi Y. Low-complexity automated nucleic acid amplification tests for extrapulmonary tuberculosis and rifampicin resistance in adults and adolescents. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 8. Art. No.: CD012768. DOI: 10.1002/14651858.CD012768.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan