Mesej utama:
- Panduan khusus untuk pesakit - Panduan pemotongan (teknik di mana pesakit menjalani imbasan lutut yang digunakan untuk membuat blok pemotongan sesuai bagi melakukan penggantian sendi lutut sepenuhnya) tidak membantu dalam menghasilkan komponen yang sejajar dengan lebih tepat dibandingkan panduan pemotongan konvensional.
- Tiada perbezaan yang bermakna yang ditemui antara panduan khusus pesakit dengan panduan konvensional atau panduan meggunakan peralatan komputer mengenai kemandirian implan, kadar pembedahan semula, komplikasi, fungsi atau sakit.
- Navigasi berbantukan komputer (menggunakan perisian semasa penggantian sendi lutut) boleh meningkatkan ketepatan penjajaran keseluruhan bahagian anggota bawah badan dan penjajaran sagital tibiofemoral (penjajaran pada pandangan sisi pada lutut) dibandingkan panduan khusus pesakit.
Apakah itu penggantian lutut keseluruhan (Total Knee Replacement (TKR))?
TKR ialah rawatan untuk keradangan yang menyakitkan yang berlaku pada sendi lutut.
Semasa TKR, hujung tulang sendi lutut yang haus dipotong dan digantikan dengan komponen logam dan plastik yang direka bentuk untuk bergerak dan berfungsi dengan lancar seperti sendi lutut yang normal dan sihat.
Semasa pembedahan, kaedah yang digunakan oleh pakar bedah dalam melakukan pemotongan tulang dan kemudian meletakkan atau menyelaraskan komponen baharu adalah penting untuk kejayaan TKR.
Apakah panduan pemotongan khusus pesakit atau navigasi berbantukan komputer dalam TKR?
Secara tradisinya dalam TKR, rod logam yang diletakkan di dalam atau di luar femur dan tibia digunakan untuk meletakkan panduan pemotong konvensional (CON) bagi memudahkan pemotongan tulang dan penempatan implan.
Penggantian lutut berbantukan komputer menggunakan pemetaan intraoperatif sendi lutut pesakit dan navigasi berbantukan komputer (NAV) untuk pemotongan tulang.
Dalam panduan pesakit pemotongan secara khusus (PSG), penyiasatan praoperasi (imbasan CT atau MRI) digunakan untuk mencipta model lutut 3D. Panduan pemotongan kemudiannya dibuat khusus untuk setiap pesakit. PSG membuat pengandaian untuk membantu menyelaraskan implan dengan lebih baik, mengurangkan masa pembedahan dan kehilangan darah, dan menghasilkan fungsi yang lebih baik selepas TKR.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada PSG membantu menambaik kemandirian implan, mengurangkan kesakitan, menambahbaik fungsi dan ketepatan untuk penjajaran keseluruhan bahagian anggota bawah badan dibandingkan panduan pemotongan konvensional dan navigasi berbantukan komputer dalam TKR.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan PSG dengan panduan pemotongan pembedahan konvensional atau navigasi berbantukan komputer yang digunakan dalam pembedahan TKR. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang temukan?
Kami mengkaji 44 kajian kawalan rawak (kajian yang dilakukan secara terkawal dan rawak) melibatkan 3664 peserta (64.3% adalah wanita) berumur antara 63 dan 74 tahun.
38 daripada 42 kajian kawalan rawak membandingkan PSG dengan panduan pemotongan TKR konvensional, 2 membandingkan PSG dengan navigasi berbantukan komputer dan 2 kajian membandingkan PSG dengan panduan pemotongan konvensional dan navigasi berbantukan komputer. Kebanyakkan hasil kajian dilaporkan sekitar dua tahun selepas pembedahan.
Keputusan utama
Instrumentasi konvensional (CON)
Berbanding dengan CON, PSG mempunyai hanya sedikit manfaat:
Kemandirian implan:
1 daripada 100 orang menjalani semakan semula implan selepas PSG.
2 daripada 100 orang menjalani semakan semula implan selepas CON.
Fungsi (12-60, 12 ialah fungsi terbaik):
Orang yang mempunyai PSG menilai keberkesanan fungsi pada 13.44 mata.
Orang yang mempunyai CON menilai keberkesanan fungsi pada 15.1 mata.
Ketepatan dalam penjajaran bahagian anggota bawah badan seperti yang diukur oleh perkadaran outlier untuk sudut femorotibial coronal: (outlier radiografi ialah ukuran sinar-x penjajaran pada bahagian paha dan tulang kering selepas TKR yang melihat bagaimana komponen dan tulang disusun jika dilihat dari pandangan bahagian hadapan pesakit):
19 daripada 100 orang melaporkan kejadian outlier radiografi dengan PSG.
22 daripada 100 orang melaporkan kejadian outlier radiografi dengan CON.
Kadar kesakitan (skor lebih rendah bermakna kurang rasa sakit):
Orang yang menjalani PSG menilai kesakitan mereka pada 15.8 mata.
Orang yang menjalani CON menilai kesakitan mereka pada 17.4 mata.
Jumlah kesan-kesan sampingan (kadar jangkitan, pembekuan darah):
10 daripada 100 orang melaporkan kesan-kesan sampingan selepas PSG.
10 daripada 100 orang melaporkan kesan-kesan sampingan selepas CON.
Pembedahan semula:
4 daripada 100 orang melaporkan pembedahan semula selepas menjalani PSG.
5 daripada 100 orang melaporkan pembedahan semula selepas menjalani CON.
Navigasi berbantukan komputer (NAV)
Berbanding dengan NAV, PSG mempunyai hanya sedikit manfaat:
Fungsi (skor lebih tinggi bermaksud fungsi yang lebih baik):
Orang yang menjalani PSG menilai keberkesanan fungsi pada 57.5 mata.
Orang yang menjalani NAV menilai keberkesanan fungsi pada 52.5 mata.
Ketepatan dalam penjajaran bahagian anggota bawah badan (perkadaran outlier untuk sudut femorotibial coronal):
19 daripada 100 orang melaporkan kejadian outlier radiografi dengan PSG.
9 daripada 100 orang melaporkan kejadian outlier radiografi dengan NAV.
Apakah had atau kekangan dalam bukti yang diperoleh?
PSG nampaknya tidak menawarkan sebarang manfaat yang jelas dalam menghasilkan komponen yang dijajarkan dengan lebih tepat dalam TKR, atau dalam meningkatkan ketepatan penjajaran bahagian anggota bawah badan kecuali untuk meningkatkan putaran komponen femoral. PSG berkemungkinan tidak memberi perbezaan dari segi kesakitan, fungsi, kesan sampingan atau kemungkinan pembedahan semula dibandingkan panduan pemotongan konvensional.
NAV mungkin meningkatkan ketepatan penjajaran pada bahagian anggota bawah badan dibandingkan dengan PSG. Kami tidak pasti tentang perbezaan yang bermakna secara klinikal antara PSG, CON dan NAV semasa menganalisis kemandirian implan, pembedahan semula yang dilakukan dan komplikasi.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga 21 Januari 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.