Mesej utama
-
Histerektomi sederhana mungkin memberikan sedikit hingga tiada perbezaan dalam bilangan kematian disebabkan oleh sebarang punca, jangka hayat selepas rawatan, kematian akibat kanser, tempoh bebas kanser selepas rawatan, atau kadar kanser berulang berbanding dengan histerektomi radikal.
-
Histerektomi sederhana berkemungkinan mengurangkan kesan-kesan buruk yang tidak diingini akibat pembedahan.
-
Wanita yang menjalani histerektomi sederhana mungkin mempunyai kesihatan seksual dan kesejahteraan keseluruhan yang lebih baik berbanding dengan mereka yang menjalani histerektomi radikal.
Apakah rawatan pembedahan untuk kanser pangkal rahim peringkat awal?
Histerektomi radikal biasanya dianggap sebagai rawatan pembedahan standard untuk wanita yang menghidap kanser pangkal rahim peringkat awal. Histerektomi radikal melibatkan pembuangan rahim, serviks (pangkal rahim), tisu sekeliling (tisu parametrial), dan sebahagian daripada faraj. Kesan-kesan sampingan yang tidak diingini daripada pembedahan termasuk kecederaan pada usus, pundi kencing, saluran darah, ureter (tiub yang mengangkut air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing), dan saraf, mengakibatkan kesukaran dalam mengosongkan pundi kencing dan pembentukan saluran palsu (fistula).
Apakah yang ingin diketahui?
Memandangkan kanser pangkal rahim yang kecil kurang berkemungkinan untuk merebak ke tisu berdekatan, histerektomi sederhana—yang membuang rahim dan serviks sahaja—boleh menjadi pilihan yang sesuai bagi menggantikan histerektomi radikal. Berbanding dengan pembedahan radikal, histerektomi sederhana mengelakkan pembuangan tisu sekeliling yang tidak perlu, yang boleh mengelakkan risiko kerosakan pada saraf dan ureter. Walau bagaimanapun, oleh kerana histerektomi sederhana membuang tisu normal pada margin yang lebih kecil di sekeliling serviks, kemungkinan terdapat risiko lebih tinggi untuk kanser tidak dibuang sepenuhnya. Oleh itu, kami ingin mengetahui sama ada histerektomi sederhana adalah alternatif yang selamat dan berkesan berbanding dengan histerektomi radikal untuk wanita dengan kanser pangkal rahim yang kecil.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan hasil kesihatan di kalangan wanita yang dibahagikan secara rawak untuk menjalani sama ada histerektomi sederhana atau histerektomi radikal, kedua-duanya melibatkan pembuangan kelenjar limfa pada bahagian pelvis. Kami memberi tumpuan kepada wanita yang menghidap kanser pangkal rahim dalam peringkat IA2 hingga IB1. Peringkat IA2 bermakna kanser telah tumbuh 3 mm hingga 5 mm ke dalam serviks, dan peringkat IB1 bermakna kanser telah tumbuh lebih daripada 5 mm ke dalam serviks tetapi tidak lebih besar daripada 2 cm dan belum merebak melampauinya.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui dua kajian yang melibatkan 740 wanita. Satu kajian bersaiz kecil (40 wanita) telah dijalankan di Brazil. Kajian lebih besar, yang melibatkan 700 wanita, melibatkan pusat-pusat di Eropah Barat, Korea Selatan, dan Kanada. Dalam kajian yang lebih besar ini, tiga perempat daripada wanita yang disertakan adalah berkulit putih.
Keputusan menunjukkan bahawa histerektomi sederhana mungkin tidak mengubah bilangan kematian yang disebabkan oleh sebarang punca, jangka hayat selepas rawatan, tempoh bebas kanser selepas rawatan, atau kadar kanser berulang berbanding dengan histerektomi radikal. Di samping itu, histerektomi sederhana mungkin tidak meningkatkan kadar kematian akibat kanser apabila dibandingkan dengan histerektomi radikal, tetapi bukti adalah sangat tidak meyakinkan. Histerektomi sederhana mungkin memberikan kesan sampingan tidak diingini daripada pembedahan yang lebih sedikit.
Wanita yang menjalani histerektomi sederhana dilihat mempunyai kesihatan seksual dan kesejahteraan keseluruhan yang lebih baik. Selain itu, histerektomi sederhana adalah lebih murah daripada histerektomi radikal.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami tidak begitu yakin dengan bukti. Kedua-dua kajian yang disertakan hanya mengumpul maklumat untuk tempoh masa yang singkat tentang berapa lama masa yang diambil untuk seseorang meninggal dunia ataupun untuk kanser berulang. Selain itu, tidak ramai wanita bukan berkulit putih atau wanita dari seting bersumber rendah yang disertakan. Kajian-kajian tidak mengawal perbezaan dalam kaedah pembedahan (pembedahan terbuka dan pembedahan 'lubang kunci' yang menggunakan akses minima), yang mungkin mempengaruhi kadar kanser berulang dan kesan sampingan akibat pembedahan. Buat masa ini, kami tidak mengetahui jenis dan laluan pembedahan terbaik untuk wanita yang menghidap kanser pangkal rahim dengan ketumbuhan yang kecil dan serangan yang terhad (penyebaran minimum ke lapisan serviks yang lebih dalam), dan lebih banyak kajian diperlukan untuk mengetahuinya.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).