Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko ubat-ubatan berasaskan ganja untuk orang dewasa yang mengalami sakit neuropatik kronik ?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, manfaat dan mudarat ubat-ubatan berasaskan ganja adalah tidak jelas.

  • Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik melibatkan orang dengan penyakit dalaman yang serius (cth. jantung, buah pinggang) dan gangguan mental adalah diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang manfaat dan mudarat ubat-ubatan berasaskan ganja.

Pengenalan kepada topik ulasan

Apakah sakit neuropatik?

Sakit neuropatik adalah sakit saraf yang datang daripada kerosakan atau ketidakfungsian sistem saraf (otak, saraf tunjang, saraf periferi). Ia adalah berbeza daripada mesej sakit yang dibawa melalui saraf yang sihat daripada tisu yang rosak (contohnya, jatuh, luka, atau artritis lutut).

Bagaimanakah keadaan tersebut dirawat?

Sakit neuropatik dirawat dengan pelbagai jenis ubat. Hanya sebilangan kecil orang dengan sakit neuropatik yang mengalami kelegaan sakit yang mencukupi dengan ubat-ubatan tersedia.

Beberapa produk berasaskan tumbuhan ganja telah dicadangkan sebagai rawatan untuk sakit neuropatik. Produk-produk ini termasuklah ganja herba yang disedut dan pelbagai ubat-ubatan (semburan, tablet, krim, tampalan transdermal (tampalan ubat yang dilekatkan pada kulit)) yang mengandungi bahan aktif ganja yang diperoleh daripada tumbuhan, atau dibuat secara sintetik.

Produk berasaskan ganja boleh mengandungi: terutamanya tetrahidrokannabinol (THC), satu komponen utama bunga ganja; terutamanya cannabidiol (CBD), satu lagi komponen utama bunga ganja; atau nisbah THC dan CBD yang seimbang.

Sesetengah orang dengan sakit neuropatik mendakwa bahawa produk berasaskan ganja berkesan untuk mereka. Dakwaan ini sering ditonjolkan dalam media.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui:

  • komponen bunga ganja (jika ada) yang membantu mengurangkan sakit neuropatik;

  • jika ubat-ubatan berasaskan ganja menyebabkan sebarang kesan tidak diingini atau memudaratkan.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pelbagai jenis ubat berasaskan ganja (produk melibatkan kebanyakannya THC atau CBD dan produk melibatkan nisbah THC dan CBD yang seimbang) dengan ubat palsu yang tidak aktif, yang dikenali sebagai 'plasebo'.

Kami membanding dan merumuskan keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian. Kami menganalisis tiga perbandingan:

  • Ubat-ubatan yang dominan THC berbanding plasebo;

  • Ubat-ubatan yang seimbang THC/CBD berbanding plasebo;

  • Ubat-ubatan yang dominan CBD berbanding plasebo.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 21 kajian yang melibatkan 2187 orang dengan pelbagai jenis sakit neuropatik. Kajian-kajian dijalankan di Asia, Eropah, dan Amerika Utara. Kajian terkecil mempunyai 18 peserta; yang terbesar, 339 peserta. Purata umur peserta adalah antara 34 hingga 70 tahun. Perkadaran wanita adalah antara 0% hingga 90%. Kajian berlangsung antara dua dan 26 minggu. Syarikat-syarikat farmaseutikal membiayai 14 (atau dua pertiga) daripada kajian tersebut.

Keputusan utama

Ubat-ubatan yang dominan THC berbanding plasebo

Tidak jelas sama ada ubat-ubatan yang kebanyakannya mengandungi THC memberi sebarang perbezaan kepada bilangan orang yang:

  • mengalami kelegaan sakit sekurang-kurangnya 30% atau sekurang-kurangnya 50%;

  • menilai keadaan mereka baik atau sangat bertambah baik;

  • menghentikan ubat kerana kesan yang tidak diingini;

  • mengalami kesan yang tidak diingini atau memudaratkan;

  • mengalami kesan psikologi yang tidak diingini (cth. kekeliruan).

Ubat-ubatan yang dominan THC mungkin meningkatkan sedikit bilangan kesan yang tidak diingini pada sistem saraf (cth. pening) berbanding plasebo.

Ubat-ubatan yang seimbang THC/CBD berbanding plasebo

Tidak jelas sama ada ubat-ubatan dengan nisbah THC/CBD yang seimbang memberi sebarang perbezaan kepada bilangan orang yang mengalami:

  • kelegaan sakit sekurang-kurangnya 50%;

  • kesan serius yang tidak diingini atau memudaratkan;

  • kesan tidak diingini pada sistem saraf (cth. pening); dan

  • kesan psikologi yang tidak diingini (cth. kekeliruan).

Ini mungkin meningkatkan bilangan orang yang menilai keadaan mereka bertambah atau sangat bertambah baik, mengalami kelegaan sakit sekurang-kurangnya 30%, dan menghentikan ubat akibat kesan yang tidak diingini.

Ubat-ubatan yang dominan CBD berbanding plasebo

Adalah tidak jelas sama ada ubat-ubatan yang kebanyakannya mengandungi CBD memberi sebarang perbezaan kepada bilangan orang yang mengalami sekurang-kurangnya 50% kelegaan sakit.

Kami tidak tahu sama ada ubat-ubatan yang dominan CBD meningkatkan atau mengurangkan bilangan orang yang:

  • menilai keadaan mereka baik atau sangat bertambah baik;

  • menghentikan ubat kerana kesan yang tidak diingini;

  • mengalami kesan yang tidak diingini atau memudaratkan;

  • mengalami kelegaan sakit sekurang-kurangnya 30%;

  • mengalami kesan psikologi atau berkaitan sistem saraf yang tidak diingini.

Ini kerana bukti adalah terhad, dan keputusannya berbeza-beza antara kajian.

Apakah keterbatasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sangat rendah, dan keputusan penyelidikan lanjut mungkin berbeza daripada keputusan ulasan ini. Empat faktor utama yang mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Sesetengah kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana ia dijalankan. Keputusan untuk banyak hasil adalah berbeza antara kajian. Keputusannya juga sering tidak cukup tepat untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Orang yang mempunyai penyakit dalaman yang serius (cth. jantung atau hati) telah dikecualikan daripada kajian.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 29 Januari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Dikemskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Ateş G, Welsch P, Klose P, Phillips T, Lambers B, Häuser W, Radbruch L. Cannabis-based medicines for chronic neuropathic pain in adults. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 1. Art. No.: CD012182. DOI: 10.1002/14651858.CD012182.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan