Mesej utama
-
Bagi penghidap periodontitis (sejenis penyakit gusi yang serius), kami sangat tidak pasti sama ada pendekatan tingkah laku terhadap nasihat kebersihan oral mempunyai sebarang manfaat penting berbanding nasihat biasa sahaja.
-
Bagi penghidap gingivitis (sejenis penyakit gusi yang kurang serius), kami juga sangat tidak pasti sama ada pendekatan tingkah laku terhadap nasihat kebersihan oral mempunyai sebarang manfaat penting berbanding nasihat biasa sahaja.
-
Kajian pada masa hadapan diperlukan untuk lebih memahami peranan pendekatan tingkah laku dalam menyokong penghidap penyakit gusi.
Apakah itu penyakit gusi?
Simptom penyakit gusi termasuk gusi berdarah, gusi bengkak dan nafas berbau. Gingivitis ialah peringkat terawal penyakit ini. Jika tidak dirawat, gingivitis boleh menyebabkan periodontitis, iaitu sejenis penyakit gusi yang lebih teruk. Periodontitis boleh mengakibatkan kerosakan yang berpanjangan pada tisu lembut dan tulang di sekitar gigi, dan dalam sesetengah kes, seseorang akan kehilangan gigi mereka.
Bagaimanakah penyakit gusi dirawat?
Pesakit penyakit gusi mungkin memerlukan rawatan daripada doktor gigi atau pakar kebersihan gigi mereka, yang kadangkala termasuk pembedahan atau penggunaan antibiotik. Walau bagaimanapun, orang ramai boleh mengurangkan simptom penyakit gusi dengan mengamalkan tabiat kebersihan oral yang baik (memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan menggunakan flos atau alat lain untuk membersihkan garis gusi di antara gigi). Penjagaan diri adalah sangat penting bagi orang yang menghidap penyakit gusi, dan kejayaan sebarang rawatan gigi bergantung pada perkara ini. Walaupun pesakit penyakit gusi diberikan nasihat kebersihan oral oleh doktor gigi atau pakar kebersihan gigi, kami tahu bahawa sesetengah orang masih tidak mengamalkan kebersihan oral yang cukup baik untuk mengawal penyakit mereka.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada pendekatan tingkah laku terhadap nasihat kebersihan oral adalah lebih berkesan, berbanding dengan nasihat biasa, dalam meningkatkan kebersihan oral di kalangan orang dewasa yang menghidap penyakit gusi. Pendekatan tingkah laku merangkumi teknik perubahan tingkah laku yang direka untuk membantu seseorang mengubah corak tingkah laku biasa mereka.
Khususnya, kami mengkaji pendarahan (selepas pemeriksaan atau tekanan lembut pada bahagian yang terjejas), keradangan (gusi bengkak), plak (lapisan bakteria melekit yang terbentuk pada gigi), kedalaman poket (ruang di sekeliling gigi yang disebabkan oleh penyakit gusi), serta tahap pelekatan gigi pada tulang. Kami juga menilai sama ada orang lebih cenderung untuk melaporkan tabiat kebersihan oral yang dipertingkatkan, dan sama ada terdapat sebarang kemudaratan yang berkaitan dengan pendekatan tingkah laku itu.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah meneliti kajian yang melibatkan orang dewasa dengan penyakit gusi. Kami menyertakan kajian yang membandingkan pendekatan tingkah laku dalam pemberian nasihat kebersihan oral dengan nasihat biasa sahaja. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan berdasarkan sama ada intervensi diberikan kepada penghidap periodontitis atau gingivitis. Bagi penghidap periodontitis, kami melaporkan keputusan secara berasingan bagi penghidap yang tidak pernah dirawat untuk penyakit gusi (rawatan aktif), atau penghidap yang sedang menerima penjagaan jangka panjang (rawatan sokongan). Kami menilai tahap keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 25 kajian yang melibatkan 1422 orang. Sembilan belas kajian melibatkan hanya penghidap periodontitis, lima kajian melibatkan hanya penghidap gingivitis, manakala satu kajian merangkumi penghidap kedua-dua jenis penyakit.
Kajian yang disertakan menggunakan pendekatan tingkah laku berbeza untuk mengubah tabiat kebersihan oral seseorang. Jenis pendekatan termasuk menggunakan aplikasi telefon bimbit (bagi memberikan maklumat kebersihan oral atau menghantar peringatan), menggunakan kamera intra-oral atau cermin (untuk memberikan maklum balas kepada pesakit tentang perkembangan penyakit gusi mereka), memberikan nasihat yang lebih terperinci dan peribadi, membekalkan rawatan kebersihan oral untuk kegunaan di rumah, perbincangan menggunakan teknik kaunseling atau temu bual motivasi (bagi membantu mengubah tingkah laku orang ramai), serta penulisan diari untuk perbincangan kemudian semasa temu janji pergigian.
Keputusan utama
Bagi orang dewasa yang menghidapi periodontitis, tidak jelas sama ada pendekatan tingkah laku adalah lebih berkesan daripada nasihat biasa sahaja dalam mengurangkan pendarahan, keradangan, plak, atau kedalaman poket. Ia juga tidak jelas sama ada orang yang menerima pendekatan tingkah laku lebih cenderung untuk melaporkan peningkatan dalam tabiat kebersihan oral mereka, berbanding orang yang menerima nasihat biasa sahaja. Penemuan ini adalah sama bagi pesakit yang menerima rawatan aktif atau rawatan sokongan untuk penyakit gusi mereka.
Bagi orang dewasa yang menghidap gingivitis, tidak jelas sama ada pendekatan tingkah laku adalah lebih berkesan daripada nasihat biasa dalam mengurangkan simptom gingivitis, atau meningkatkan tabiat kebersihan oral mereka.
Sewaktu carian dijalankan, kami tidak menemui sebarang kajian yang melaporkan maklumat tentang pelekatan gigi pada tulang atau kesan mudarat.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti dalam ulasan ini kerana:
-
peserta mungkin menyedari pendekatan rawatan yang sedang diterima oleh mereka, dan ini boleh menjejaskan keputusan kajian;
-
kajian tidak sentiasa melaporkan semua maklumat yang diperlukan oleh kami;
-
kebanyakan kajian hanya melibatkan bilangan peserta yang sangat kecil, atau bilangan peserta tidak mencukupi untuk memastikan keputusan yang diperoleh adalah sahih;
-
Kajian-kajian tersebut direka bentuk secara berbeza, dan kadangkala terdapat perbezaan dalam keputusan antara kajian.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga 3 Julai 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Petrina Ponniah. Disunting oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.